NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nik Abduh ulangi sejarah bapa tanding di Bachok?



PRU14 l Ayam tambatan PAS Kelantan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melahirkan rasa gembira apabila dicalonkan di kerusi Bachok sekali gus mempertahankan kemenangan parti itu sejak pilihan raya umum (PRU) 10 tahun lalu.

Menurut penyandang kerusi parlimen Pasir Mas itu, beliau yakin pilihan yang dibuat kepimpinan partinya adalah yang terbaik dan ia diterima dengan penuh rendah diri.

Malah kata anak bekas menteri besar Kelantan itu, PAS Bachok sendiri menyambutnya dengan besar hati.

"Alhamdulillah apabila keputusan (bertanding) saya terima, PAS Bachok datang kepada saya dan menggalu-alukan saya.

"Ini satu berita yang menggembirakan saya," katanya kepada media ketika ditemui di Kota Bharu, malam tadi.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh hadir pada majlis pengisytiharan calon PAS Kelantan untuk PRU ke-14 yang disempurnakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebagai rekod, pencalonan Nik Mohd Abduh ke parlimen itu menyaksikan beliau meninggalkan kerusi Pasir Mas selepas memenanginya pada penggal lalu.

Ada ramai muka baru

PAS pada PRU ke-13 berjaya mempertahankan parlimen Bachok tetapi dengan majoriti tipis 201 undi menyaksikan wakilnya, Ahmad Marzuk Shaary mengatasi calon BN, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Begitu pun, Nik Mohamad Abduh menyatakan keyakinan untuk menyambung tanggungjawab yang dipikul oleh Ahmad Marzuk sebelum ini.

"Saya juga berterima kasih kepada Ustaz Ahmad Marzuk yang melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik, insya-Allah saya akan cuba sambung dengan lebih baik setakat saya mampu," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat.

Perpindahan Nik Mohamad Abduh ke kawasan parlimen Bachok juga menyaksikan Ahmad Marzuk diletakkan sebagai calon PAS di Pengkalan Chepa. Mengikut sejarah ia adalah satu daripada kerusi paling selamat buat parti itu.

Sementara itu, pengisytiharan calon PAS Kelantan malam tadi menyaksikan 21 calon muka baru menjadi taruhan dalam usaha mereka mempertahankan kerajaan negeri yang ditadbir sejak 28 tahun lalu.


Antara wajah baru yang diketengahkan ialah Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari yang dipilih menjadi calon parlimen Pasir Mas, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian) dan Setiausaha Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (Pasir Puteh).


PAS Kelantan juga meletakkan muka baru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah menggantikan Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang dipindahkan ke parlimen Tumpat.

Selain itu, DUN Guchil juga menyaksikan calon baru iaitu Hilmi Abdullah; Selising (Tuan Mohd Sharipuddin Tuan Ismail); Pulai Chondong (Azhar Salleh); Mengkebang (Muhammad Mat Sulaiman) dan Gaal (Mohd Rodzi Ja'far).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo