Maria Farida Menang Saman Rm400,000


Pelakon Maria Farida hari ini memperoleh ganti rugi berjumlah RM400,000 selepas berjaya dalam kes saman fitnah yang difailkannya terhadap ahli perniagaan kosmetik dan anak perempuannya, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira kegagalan defendan iaitu Hadijah Mohamed Mokhtar dan anaknya Nur Shazleen Anis Mohd Yusoff, untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes saman berkenaan.

Mahkamah memerintahkan Hadijah membayar ganti rugi RM300,000 manakala Nur Shazleen RM100,000 selain mengarahkan dua beranak itu membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Maria Farida atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza selaku plaintif dalam kes saman itu.

Dalam penghakimannya, Wan Ahmad Farid berkata mahkamah juga mengambil kira kesan fitnah yang dilakukan oleh kedua-dua defendan terhadap Maria Farida.

Katanya, kedua-dua defendan telah memuat naik kenyataan yang memfitnah pelakon itu dalam akaun Instagram milik mereka, yang mempunyai ramai pengikut.

“Defendan pertama (Hadijah) mempunyai 17,300 pengikut dalam Instagramnya manakala defendan kedua (Nur Shazleen) mempunyai lebih kurang 13,000 pengikut,” kata Wan Ahmad Farid.

Maria Farida yang diwakili peguam Tengku Haris Tengku Rostam tidak hadir pada prosiding hari ini manakala kedua-dua defendan diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Mahkamah mengeluarkan penghakiman penuh pada 7 Nov 2017 berikutan kegagalan kedua-dua defendan mematuhi arahan mahkamah termasuk tidak hadir pada prosiding perbicaraan yang ditetapkan pada tarikh sama (7 Nov).

Dalam penghakiman itu, mahkamah antara lain mengeluarkan perintah supaya kedua-dua defendan membuat permohonan maaf kepada plaintif dan isi kandungannya perlu dipersetujui oleh plaintif sebelum diterbitkan di semua media termasuk Berita Harian dan disiarkan menerusi akaun Facebook dan Instagram milik defendan.

Mahkamah juga membatalkan tuntutan balas difailkan Hadijah terhadap Maria Farida atas dakwaan pelakon itu membuat kenyataan media berunsur fitnah menerusi sebuah program hiburan pada 25 Oktober 2015.

Pada 6 November 2017, Wan Ahmad Farid telah membenarkan perintah komital yang dimohon oleh Maria Farida terhadap Hadijah atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengingkari perintah injunksi bertarikh 2 Jun 2017 antara lain melarang defendan daripada membuat, mengeluarkan, menerbit, menyiar segala pernyataan terhadap Maria Farida.

Bagi kesalahan tersebut, Wan Ahmad Farid memerintahkan supaya Hadijah membayar denda RM30,000 dan jika gagal hendaklah dikomitkan (dihantar) ke penjara selama dua minggu.

Maria Farida, 48, menyaman Hadijah atau lebih dikenali sebagai Karen Rahman dan Nur Shazleen pada 30 Disember 2016 atas dakwaan mengeluarkan pernyataan berunsur fitnah terhadap pelakon itu yang disiarkan menerusi Instagram, Facebook dan juga di akhbar Berita Harian.

Dalam pernyataan tuntutan, Maria Farida mendakwa beliau telah menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berunsur penghinaan daripada Hadijah selain mendakwa gambarnya turut digunakan bagi tujuan mempromosikan produk KR Beauty Care milik Hadijah walaupun terdapat larangan untuk defendan pertama (Hadijah) berbuat demikian.

Akibat pernyataan berunsur fitnah itu, Maria Farida mendakwa reputasi dan kerjayanya sebagai pelakon telah tercemar.

Sumber Bernama

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget