NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manifesto BN kurang serlah pendaulatan Islam




oleh: DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

SAYA baru selesai membaca kandungan penuh Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi, 7 April 2018. 

Umumnya ia adalah sebuah manifesto yang sangat bagus berbanding Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 8 Mac 2018. 

Berbanding Manifesto PH yang bersifat sangat populis dan dipenuhi oleh segala macam retorik, Manifesto BN ini pula bersifat spesifik dan praktikal. 

Manifesto BN ini juga sangat menyeluruh di mana ia merangkumi 14 teras berbanding Manifesto PH yang hanya mengandungi lima teras sahaja. 

Berbanding Manifesto PH yang memerlukan kepada banyak pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan janji-janji yang dilafazkan olehnya walaupun ia tidak dinyatakan secara spesifik di dalam manifesto itu, khususnya yang membabitkan penghakisan kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong di dalam pelantikan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, Manifesto BN ini tidak memerlukan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan, melainkan pada janjinya untuk “menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang wanita “. 

Lebih penting lagi ialah, berbanding Manifesto PH yang langsung tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam di dalam mana-mana satu daripada lima terasnya, di dalam mana-mana satu daripada 60 janjinya mahupun di dalam mana-mana satu daripada lima iltizam khususnya, selain janji ke-11-nya yang melepaskan diri dari urusan mentadbir agama dengan mengembalikannya ke negeri-negeri dan menghentikan peranan Kerajaan Pusat di dalamnya, Manifesto BN ini meletakkan “Memperkukuh Agenda Bumiputera Dan Mempertahan Kesyumulan Islam” sebagai tajuk kepada teras ke-12-nya di samping mengandungi beberapa janji khusus lain di dalam teras-teras lain yang membabitkan aspek penjagaan kepentingan umat Islam. 

Janji-janji khusus lain ini termasuklah janji untuk “menubuhkan Mahkamah Khas Perkahwinan Hadanah dan Nafkah bermula di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mempercepatkan pendengaran dan penyelesaian kes” serta janji untuk “menubuhkan Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri sebagai satu jawatankuasa induk untuk membincang dan menyelaras isu-isu berkaitan hal ehwal perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia” yang terkandung di dalam teras ke-6 Manifesto BN ini, iaitu “Membahagia Dan Menjayakan Wanita Negara”. 

Janji-janji khusus lain ini termasuklah juga janji untuk “memperkasa pelajar-pelajar lepasan Maahad Tahfiz melalui program keperantisan dan pemadanan latihan amali berstruktur di syarikat-syarikat berasaskan industri halal” yang terkandung di dalam teras ke-7 Manifesto BN ini, iaitu “Generasi Muda Pewaris Masa Hadapan”, serta janji untuk “meneruskan pemberian dana kepada semua institusi agama berdaftar bertujuan untuk melaksanakan program-program persefahaman dan keharmonian di kalangan rakyat” yang terkandung di dalam teras ke-9-nya, iaitu “Memperkukuhkan Pembinaan Negara Bangsa”. 

Walaupun begitu, bila diteliti kepada kandungan penuh teras ke-12 Manifesto BN ini, iaitu “Memperkukuh Agenda Bumiputera Dan Mempertahan Kesyumulan Islam”, maka akan segera didapati bahawa BN masih teragak-agak untuk memberikan komitmen penuh dalam aspek mendaulatkan Islam sebagai agama negara. 

Kita tidak sama sekali menafikan kebaikan janji-janji BN untuk “menubuhkan Universiti al-Quran untuk melahirkan lebih banyak graduan huffaz yang mempunyai kepakaran, bukan setakat menghafal al-Quran tetapi lengkap dengan kepakaran dalam bidang profesional yang lain”, untuk “melahirkan 125,000 huffaz yang mempunyai kelayakan dalam bidang profesional seperti sains, matematik dan kejuruteraan” atau untuk “melengkapkan sekolah-sekolah Tahfiz dengan sistem latihan kemahiran Giat MARA”. 

Kita juga tidak sama sekali menafikan kebaikan janji-janji BN untuk “memperkenalkan Perjanjian Jual dan Beli Rumah Patuh Syariah dengan meminda Jadual H dan G, Akta 118 Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan)”, untuk “meningkatkan kualiti pengurusan ibadah haji dan umrah serta kebajikan jemaah”, untuk “mempertingkatkan peranan masjid sebagai pusat aktiviti komuniti Islam melalui Program Transformasi Masjid” atau untuk “menambah jumlah surau yang dibenarkan untuk mengadakan Solat Jumaat”. 

Begitu juga dengan janji-janji untuk “mewujudkan dana khas untuk menaik taraf pendidikan dan peraturan keselamatan sekolah agama agar memenuhi piawaian kebangsaan”, untuk “meningkatkan kualiti dan kepakaran pihak berkepentingan dalam pentadbiran Islam seperti imam, guru KAFA dan takmir, guru agama, pegawai syariah, Hakim Mahkamah Syariah di Akademi Latihan Islamik Malaysia (ALIM) dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia” atau untuk “menyediakan Kursus Latihan Intensif Bahasa Arab untuk membantu pemegang-pemegang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) lulus peperiksaan Imtihan Qabul, yang menjadi syarat utama kelayakan pendidikan tinggi di negara-negara Arab”. 

Bagaimanapun, ramai daripada umat Islam di negara ini yang mahukan hak mereka untuk mengamalkan agama Islam secara keseluruhannya seperti yang disebut oleh Prof Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan terlaksana dan perkara ini tidak akan terpenuh melalui hanya pemberian janji-janji kabur seperti “menubuhkan Jawatankuasa Menyelia Keharmonian Mahkamah Syariah dan Sivil” dan “menubuhkan Jawatankuasa untuk memperkasa Mahkamah Syariah” kerana pengukuran kejayaan kedua-dua janji ini teramat mudah sekali, iaitu sekadar penubuhan kedua-dua jawatankuasa tersebut. 

Sebab itulah Manifesto Gagasan Sejahtera yang diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 18 Mac 2018 lebih diyakini akan mampu menggamit sokongan pengundi Islam yang mengundi berdasarkan komitmen pihak yang diundi untuk memartabatkan Islam kerana Manifesto Gagasan Sejahtera ini tidak teragak-agak untuk memberikan komitmen penuh dalam aspek mendaulatkan Islam sebagai agama negara. 

Ini kerana salah satu daripada tiga asas utama Manifesto Gagasan Sejahtera ini menyebut dengan jelas komitmen Gagasan Sejahtera untuk “memberikan peranan utama kepada Islam dengan tafsirannya yang sebenar dan selari dengan peruntukan perlembagaan bagi membina Malaysia Sejahtera”. 

Begitu juga dengan salah satu daripada sembilan teras pentingnya, iaitu teras keenamnya, yang menyebut dengan jelas komitmen Gagasan Sejahtera dalam aspek “pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak Syariah”. Ini disusuli oleh kandungan dua daripada janji di dalam teras keenam Manifesto Gagasan Sejahtera ini yang turut menyebut dengan jelas komitmen Gagasan Sejahtera untuk “menjadikan Malaysia sebuah negara yang berkat, aman, makmur dan bebas jenayah menerusi pemerkasaan sistem perundangan dan pentadbiran yang selaras dengan tuntutan syariah yang diredhai Allah S.W.T” serta untuk “meluluskan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (1965) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 ke arah memartabatkan syariah dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang diyakini dapat mengekang industri maksiat”. 

Begitu juga dengan salah satu daripada 20 tawaran utama Manifesto Gagasan Sejahtera ini yang menyebut dengan jelas komitmen Gagasan Sejahtera untuk “memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai ad-Deen iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan”. 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo