NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Keajaiban" Nik Omar


Oleh: Dr. Kamarul Yusoff

Tinggi sekali nampaknya lambungan beberapa penganalisis politik terhadap Nik Omar Datuk Nik Abdul Aziz yang menjadi calon AMANAH di N6 Chempaka dalam PRU 14 ini.

Paling terkedepan dalam membuat lambungan terhadap Nik Omar ini adalah pensyarah kanan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia,  Dr Mazlan Ali, yang membuat pengkisahan itu melalui dua portal berita, Malaysia Date Line dan Malaysia Kini.

Dalam laporan portal berita Malaysia Date Line, Dr Mazlan menyebut:
(1) “Penyertaan Nik Omar menjadi calon Pakatan Harapan di Chempaka seolah-olah meletakkan logo ‘halal’ kepada Pakatan Harapan dan AMANAH khasnya”.
(2) “Penyertaan beliau telah berjaya memecahkan doktrin bahawa hanya PAS parti Islam dan mereka mula fikir undi Pakatan Harapan ini tidak ada masalah”.
(3) “Kalau Dr Mahathir Mohamad hasilkan gelombang di kalangan Melayu luar bandar yang menyokong Umno selama ini, Nik Omar telah melahirkan gelombang baru kepada pengundi yang menyokong PAS selama ini.”
(4) “Bagi saya ini satu kejayaan besar Husam Musa dalam karier politiknya khasnya di Kelantan.”

Dalam laporan portal berita Malaysia Kini pula, Dr Mazlan menyebut:
(1) “Apabila Nik Omar, seorang anak yang rapat dengan arwah Tok Guru memilih HARAPAN, bermakna doktrin kononnya hanya PAS membawa Islam, sudah pecah.”
(2) “Nik Omar telah menghapuskan keraguan yang lama bersarang, yang menakutkan mereka memilih parti selain PAS. Jika orang sealim Nik Omar boleh masuk AMANAH, maka siapa yang lain-lain?”
(3) “Gelombang Nik Omar itulah akan bergabung dengan gelombang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecahkan tembok Melayu luar bandar selama ini menghalang pakatan pembangkang.”
(4) “Saya percaya tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara terhadap orang yang pro-Islam tetapi was was sama ada boleh atau tidak mengundi AMANAH selain PAS atau tidak.”

Bagaimanapun, tiada bukti saintifik seperti dapatan mana-mana kaji selidik diberikan oleh Dr Mazlan bagi menyokong kenyataan beliau bahawa “Nik Omar telah melahirkan gelombang baru” atau bahawa “tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara”.

Dr Khairudin Damanhoeri dalam laporan portal berita Malaysia Date Line juga menyebut kononnya Nik Omar telah berjaya menarik sokongan pengundi wanita dengan ketara sekali  di mana, kata beliau, “60% undi wanita Kelantan kini bersama Pakatan Harapan”.

Bagaimanapun, tiada bukti saintifik seperti dapatan mana-mana kaji selidik diberikan oleh  Dr Khairudin selain pandangan beliau bahawa “endorsement artis-artis wanita seperti Abby dan Wardina akan semarakkan lagi sokongan di kalangan pengundi wanita muda”.

Ajaib sekali nampaknya kuasa yang digambarkan sebagai dimiliki oleh Nik Omar mengikut penceritaan Dr Mazlan ini hinggakan dalam tempoh sesingkat dua tiga hari sahaja terus berjaya “melahirkan gelombang baru” dan “memberi impak besar seluruh negara”.

Ajaib sekali nampaknya kuasa yang digambarkan sebagai dimiliki oleh Nik Omar mengikut penceritaan Dr Khairudin ini hinggakan dalam tempoh sesingkat dua tiga hari sahaja terus berjaya menarik sokongan 60% undi wanita Kelantan kepada Pakatan Harapan.

Saya tiada masalah dengan komentar yang dibuat oleh mana-mana penganalisis politik terhadap sesiapa atau terhadap mana-mana parti politik pun kerana mereka, seperti juga saya, mempunyai kebebasan akademik yang perlu dihormati oleh semua pihak di negara ini. 

Hanyasanya, pesan saya adalah bila memberikan komentar terhadap Nik Omar ini perlulah kita lebih beringat-ingat kerana dibimbangi lambungan yang terlalu tinggi ini akan membahayakan bukan sahaja Nik Omar sendiri tetapi membahayakan AMANAH juga.

Bayangkanlah apa yang boleh berlaku pada Nik Omar bila dilambung sebegitu tinggi begini, apatah lagi bila adinda beliau, Nik Muhammad Abduh, telah memaklumkan bonda mereka akan turut berkempen di N6 Chempaka bagi memenangkan calon lawan Nik Omar.

Bayangkanlah juga perasaan golongan berpendidikan agama lain di dalam AMANAH, khususnya Ahmad Awang dan Abdul Ghani Samsudin, bila mereka dianggap tidak sealim dan tidak sehebat Nik Omar, malah gagal meletakkan logo ‘halal’ kepada AMANAH.

Begitulah juga dengan lambungan bahawa Nik Omar adalah calon Menteri Besar yang bercanggah dengan kenyataan “rakan rapat Nik Omar” yang “pernah tinggal bersama selama lima tahun ketika sama-sama belajar di Universiti Al Azhar”, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Kata Datuk Dr Mujahid pada 13 Mac lalu: “Nik Omar ini orangnya lembut. Beliau tidak suka suasana tegang dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan dalam politik. Jadi saya tidak fikir beliau sesuai untuk menjadi Menteri Besar kerana ia perlukan orang yang keras hati.”

Pemerhatian saya masih sama, iaitu tindakan ini boleh memakan diri AMANAH sendiri dengan memberikan persepsi AMANAH pemecah-belah keluarga, AMANAH tidak mempunyai kekuatan sendiri dan AMANAH amat ketandusan pemimpin yang berwibawa.

Tidak dinafikan bahawa kedudukan Nik Omar selaku anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz boleh mendatangkan sedikit “excitement” tetapi dengan ketidakaktifan dan ketiadaan jawatan dalam parti sebelum ini adalah terlalu sukar untuk “gelombang Nik Omar” terhasil.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo