NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagasan Sejahtera umum 8 calon lagi di Pulau Pinang



KEPALA BATAS: Gagasan Sejahtera Pulau PInang malam tadi mengumumkan lapan lagi pertambahan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) menjadikan jumlah kerusi yang ditandingi lapan parlimen dan 24 Dewan Undangan Negeri (Dun).
Pengisytiharan itu menjelaskan PAS bersama rakan partinya dalam Gagasan Sejahtera bukan ‘main-main’ dalam PRU ini yang berhasrat ingin menawan Pulau Pinang dengan menang 'simple majority' lebih 21 kerusi yang membolehkan pembentukan kerajaan Gagasan Sejahtera.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Fauzi Mohd Yusof berkata tujuh daripada mereka mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan rakan komponen dalam Gagasan Sejahtera manakala seorang lagi adalah wakil PAS.
Beliau yang mengumumkan pengisytiharan calon di Markas Tarbiyah PAS Pongsu Seribu di sini berkata, pertambahan itu melibatkan dua parlimen iaitu Parlimen Batu Kawan diwakili oleh calon DHPP, B Jay Kumar dan Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Dato' Huan Cheng Guan akan mencabar Lim Guan Eng bagi kerusi parlimen Bagan.
Ujarnya lagi, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, Ustaz Jamil Abdul Rahman dicalonkan untuk kerusi Dun Machang Bubok, dua lagi wakil dari DHPP akan bertanding di Dun Batu Uban iaitu Dato' Dr M Vigneswaran dan A Kumaravelu di Dun Bukit Tambun, Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), G. Asoghan di Dun Perai, Tan Beng Huat (PAP) di Dun Jawi dan R Manikandan (PCM) di Dun Air Putih.
"Kita telah kenal pasti dan buat semakan dengan peguam dan calon yang kita tampilkan ini tidak terlibat dengan bankrapsi. Malam ini juga kita telah buat akujanji dengan calon DHPP dan rakan Gagasan Sejahtera, calon PAS pula telah dibai'ah disaksikan oleh saya sendiri," katanya pada sidang media selepas tamat program tersebut.
Ditanya sama ada PAS Pulau Pinang telah memutuskan calon Ketua Menteri dari Gagasan Sejahtera, katanya perkara terbabit akan dimaklumkan sehingga selesai PRU.
Turut hadir memberi sokongan pada malam pengisytiharan tersebut, Ketua DHPP Pulau PInang, P Asokan, Pengarah PIlihan Raya PAS Pulau Pinang, Ghazali Bukhori dan Setiausaha PAS negeri yang juga calon parlimen Bayan Bayu, Izuree Ibrahim. 

HARAKAHDAILY 27/4/2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo