NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagasan Sejahtera tawar Kerajaan Teknokrat


Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Saya hadir pelancaran dokumen Malaysia Sejahtera yang dilakukan di Everly Hotel, Putrajaya pada 23hb April jam 9 malam. Pelancarannya agak unik dan bombastik serta futuristik berbanding dengan kali pertama di Cyberjaya sebulan sebelum ini.

Gagasan Sejahtera (GAGASAN) diterajui PAS bersama dengan Parti Ikatan dan Berjasa serta rakan mesra Gagasan seperti PCM dan NewGen akan bertanding 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), menegaskan akan berusaha memenangi 112 kerusi pada PRU ke-14 bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Teknokrat.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Pengerusi GAGASAN menyebut Kerajaan Teknokrat Malaysia Sejahtera yang akan dibentuk Gagasan Sejahtera akan dibarisi oleh tokoh-tokoh professional dalam pelbagai bidang kepakaran yang diperlukan dari kalangan teknokrat, ilmuwan dan badan-badan NGO tetapi tidak bertanding dalam pilihanraya bagi dilantik sebagai Senator dan kemudiannya menjadi Menteri bagi menerajui kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan yang memerlukan kepakaran tertentu.


Pelancaran Dokumen “Malaysia Sejahtera” 



Pelancaran Dokumen Gagasan Sejahtera disempurnakan oleh Pengerusi Gagasan Sejahtera yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pelancaran dokumen Gagasan Sejahtera dihadiri kedua-dua, Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Presiden Berjasa, Abd Kadir Mamat. Turut hadir adalah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamarudin serta bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang kini secara rasmi menyertai PAS dan lain-lain tokoh NGO.


Dokumen Malaysia Sejahtera dibentangkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Pengerusi Bersama Gagasan Sejahtera mengandungi Manifesto Malaysia Sejahtera, dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) dan Dokumen Hijau yang memperincikan penyelesaian berasaskan sistem Islam.

Tawaran tersebut menggariskan 84 tawaran yang meliputi 12 kelompok penting masyarakat merangkumi wanita, golongan kelainan upaya (OKU), anak muda, golongan para petani, penternak dan nelayan, peneroka FELDA, penjawat awam, pekerja swasta, warga emas dan pesara, orang asal, usahawan, korporat dan pejuang alam sekitar.

Tawaran-tawaran dalam Manifesto Malaysia Sejahtera tersebut dimasukkan dan diperincikan dibawah 20 tawaran utama yang dikemukakan pada bulan Mac yang lepas, iaitu;


1. MENGHAPUSKAN Goods and Services Tax (GST) yang membebankan rakyat dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia.


2. Melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.




3. Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi program It’aam Kebangsaan.


4. Menawarkan bantuan sekali (one-off) sebanyak RM 2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah.


5. Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk membantu meringankan bebanan ibu-bapa.

6. Memberikan bantuan pembelian kereta pertama di bawah 1300 cc (1.3 liter) menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (Qardul Hasan).


7. Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM 50 ribu sehingga RM 180 ribu.


8. Mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai program untuk memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar.

9. Menstrukturkan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.

10. Mewujudkan pentadbiran Malaysia yang bebas rasuah selaras dengan kehendak dan tuntutan syarak menerusi konsep tadbir urus yang berkonsepkan ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI).

11. Memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al-Din iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan.

12. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.

13. Mengembalikan sistem kuota di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin, serta masyarakat bandar dan luar bandar.

14. Mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidak seimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

15. Membantu kerajaan-kerajaan negeri membuka rancangan-rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda.

16. Membangunkan penempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga FELDA.

17. Membantu golongan kurang upaya (OKU) menerusi pemerkasaan sistem sokongan berasaskan potensi dan keupayaan diri.

18. Mewujudkan Pusat Komuniti Keluarga Sejahtera (PKKS) di setiap daerah dan lokaliti yang memerlukan untuk memberi khidmat kaunseling, perundangan, kemahiran, bimbingan agama dan latihan keibubapaan.

19. Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk mengurangkan kadar jenayah.

20. Menambah bilangan doktor pakar dan hospital pakar untuk memenuhi keperluan penduduk berasaskan nisbah yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antara tawaran menarik adalah pengapusan cukai GST yang amat membebankan kehidupan rakyat dan diganti dengan satu cukai yang lain bersaskan kepada system Islam bagi menjaga kepentingan rakyat terutama yang miskin. Selain itu, tawaran berkenaan termasuk penyeragaman elaun kepada OKU sebanyak RM600 sebulan dan pelupusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pewujudan Endowment Pendidikan untuk anak muda.

Manakala bagi kelompok penjawat awam pula adalah memperkenalkan tawaran cuti khas menjaga ibu bapa yang sakit kronik, cuti bersalin tiga bulan tanpa had bilangan anak selain skim bonus kekal dua kali setahun.

Dari sudut kepentingan Islam, GAGASAN memberikan komitmen untuk memperkukuhkan Islam dalam perlembagaan selaras dengan kefahaman Islam sebagai ad-Din yang merangkumi pelbagai aspek hidup. Justeru, peruntukan "Islam Agama Persekutuan" sewajarnya ditakrifkan dengan maksud Islam sebagai ad-Din. Dengan itu Islam akan menjadi tonggak dan rujukan dalam penggubalan dasar, polisi dan undang-undang negara dalam aspek bernegara.





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo