NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagasan Sejahtera: 4+1 formula penuhi hasrat anak muda


PETALING JAYA: PAS telah mengemukakan tawaran besar dan bervisi dalam Manifesto Sejahtera khususnya kepada anak muda. 

Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Syahir Sulaiman berkata, tawaran itu boleh disimpulkan sebagai formula 4+1 yang meliputi agenda menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera. 





Beliau berkata demikian semasa Forum Manifesto Anak Muda – Tawaran PAS.


Menurut Syahir, formula pertama yang ditawarkan dari PAS Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang mana merupakan satu ‘political education’ kepada PAS sendiri dan rakyat serta anak muda yang berpaksikan kepada dua prinsip utama. 

Ujarnya, pertama adalah politik damai dan yang kedua adalah konsep berkerjasama yang mana PAS terbuka kepada mana-mana parti politik dan NGO-NGO yang ingin berkerjasama dengan PAS. 

Jelas beliau, antara kejayaan awal BPMS yang boleh dilihat adalah PAS dan NGO-NGO dapat duduk bersama dan berkumpul tanpa masalah. 

Selain itu katanya, PAS juga boleh berhubung terus dengan jururawat-jururawat, pegawai keselamatan dan juga kakitangan-kakitangan awam yang lain. 

Formula yang kedua pula kata Syahir adalah Dokumen Hijau, di mana dokumen ini sebenarnya telah dilancarkan pada tahun 2015. 

Jelas beliau, dalam dokumen ini terdapat lima prinsip Islam. 

Prinsip yang utama yang diambil oleh PAS tambahnya, adalah berpandukan kepada surah Al-Hajj yang mana boleh dirumuskan bahawa tidak boleh berlakunya perlegaran harta dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. 

Maka kata beliau, melalui dalil tersebut, PAS telah mengadakan beberapa program untuk menyampaikan tiga isu utama berkaitan ekonomi anak muda. 

Pertamanya, kata beliau ia berkaitan GST dan kedua berkaitan kejatuhan nilai mata wang Ringgit sementara ketiga kos sara hidup. 

Formula yang ketiga pula, menurut Syahir berkisarkan kepada Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS) yang telah dilancarkan pada September 2017. 

“Di sini PAS menyasarkan pada tahun 2051 iaitu selepas 100 tahun penubuhan PAS, PAS berjaya merealisasikan segala hasrat dan matlamat penubuhan PAS,” ujarnya lanjut. 

Formula yang keempat pula adalah pelancaran manifesto awal pada peringkat pertama Gagasan Sejahtera, ujar Syahir lagi. 

Manakala manifesto PAS bagi peringkat kedua pula kata beliau adalah pakej khusus untuk golongan pengundi dari kalangan belia, wanita, penjawat awam, petani, peneroka Felda dan beberapa kumpulan masyarakat yang lain. 

Tambah Syahir, manifesto peringkat kedua akan dilancarkan dalam masa terdekat. 

“Begitu juga akan ada manifesto diperingkat negeri seperti mana yang telah dilancarkan oleh Selangor, Terangganu, Kedah dan Perak,” jelasnya. 

Dalam forum tersebut juga, Syahir turut menyentuh isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). 

Menurut Syahir, mana-mana negara yang melaksanakan GST akan dimulakan dari kadar yang paling rendah dalam empat higga enam peratus dan kemudian akan dinaikkan sedikit demi sedikit. 

Dalam manifesto BN pada 2013, tiada pun dinyatakan berkenaan dengan GST namun kata beliau, pada 1 April 2015, BN telah memperkenalkan GST. 

Ujarnya, amat mengejutkan bilamana dikenakan kepada semua rakyat dalam bentuk cukai barangan pada setiap masa. 

“Yang mana amat berbeza dengan kaedah zakat. Zakat dikenakan apabila cukup nisab, cukup haul tempoh setahun, dan cukup kadarnya. 

“Zakat ada penerima zakat dan pemberi zakat, namun dalam GST, yang bayar zakat kena GST yang terima zakat juga akan dikenakan GST,” ujar beliau lagi. 

Untuk konsesi tol pula, PAS bersama Gagasan Sejahtera akan mengkaji kadar tol, berbeza dengan PH yang mana mereka mahu mansuhkan. 

“Mana-mana konsesi tol yang menerima lebih dari 15 peratus contohnya dan mendapat keuntungan yang sangat tinggi akan dikaji semula,” katanya lagi. 

Seterusnya Syahir juga menjelaskan mengenai bantuan pembelian kereta pertama yang dibawah 1300 cc kepada anak muda dimana PAS menawarkan pinjaman tanpa faedah. 

Dalam pusingan kedua pula, Syahir menyimpulkan bahawa anak muda harus memberi peluang dan yakin PAS mampu menerajui negara. 

Ini kerana kata beliau, pemimpin PAS terbukti bebas rasuah dan telah diakui sendiri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbanding BN dan PH yang penuh korupsi. – HARAKAHDAILY 5/4/2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo