Besut pintu tawan Terengganu, sebuah Ilusi?




Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Anak-anak muda menjadi peserta paling teruja dalam pesta demokrasi kali ini, mereka menghijaukan daerah agrarian ini dengan bendera bulan berlatar hijau sehingga menenggelamkan bendera dacing. Pertandingan tidak seimbang dan seperti orang gila mabuk kuasa bagi BN di daerah lain,bendera PAS diturunkan oleh pihak PBT. Di daerah Besut, menurunkan bendera sesuka hati maka kesannya fatal!, masing-masing tahu akan batasan berpolitik. Daerah ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar.

Besut pada tahun 1959 ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini. Saat itu semua DUN berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951. Besut dengan jajaran sekolah pondok, sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu juga dilantik daripada anak Besut, iaitu Haji Daud Samad.

PAS kali kedua memenangi Terengganu pada tahun 1999, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman UMNO/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh  Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger dijalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh regim Mahathir. Kawasan "Malay Belt" sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat-empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini.

Melihat kepada kebangkitan rakyat Terengganu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kesannya turut mewabak ke Besut. Rakyat Terengganu muak dengan ketidakcekapan, ketirisan dan perangai bodoh sombong UMNO Terengganu. Pembaziran dan salah urus kerajaan negeri Terengganu sudah berada pada tahap maksima. Menjadi pemimpin kerajaan di negeri penyu menangis ini seolah lesen untuk menumpuk kekayaan, membina rangkaian kroni kapitalisme tanpa sepicing pun rasa malu.

PAS Terengganu menyedari bahawa usaha menawan Wisma Darul Iman mestilah melibatkan penglibatan Besut, maka program HARAP  juga diadakan di kampung Raja, Besut pada tahun 2017.  Presiden PAS memberikan mesej yang serius untuk menawan Terengganu dengan melantik Dato Husein Awang, anak Besut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk sesi 2017-2019.

PAS kawasan Besut di bawah kepimpinan Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad telah menunjukkan keseriusan gerak kerja dengan menumpukan kepada kekuatan akar umbi. Pelbagai program tajnid dan amal tarbawi telah diadakan seperti ijtimak tarbawi, tamrin qiadi, aktiviti pembinaan fikrah di cawangan-cawangan. Kegiatan jihad ta'lim disuburkan dengan menubuhkan institusi pendidikan seperti SRIDAF, PASTI serta pelbagai maahad untuk mencetak kader-kader dakwah.

PAS kawasan Besut telah menampilkan empat tokoh tempatan untuk merebut empat kerusi DUN bagi membantu PAS Terengganu. Haji Asbi Salleh, seorang jutawan perniagaan emas diletakkan di DUN Kuala Besut, Haji Khuzaini Abdul Rahman, seorang jurutera pakar komunikasi yang pernah berkhidmat di Arab Saudi bagi Kota Putera. Bekas setiusaha Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan saat saya menjadi Ketua Dewan Pemuda Wilayah itu juga mantan pimpinan mahasiswa. Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, aktivis dakwah tegar yang hanya kalah bawah seribu undi dalam PRU 13 dahulu di DUN Jerteh.Ustaz Wan Azhar adalah antara pengasas PAS di negeri Sabah, antara bekas pendidik yang dizalimi regim BN.

Ustaz Mat Daik, pengasas pondok Ubudiah, Pasir Akar akan menentang Ketua Bahagian UMNO  di DUN Hulu Besut. Tokoh agama yang pernah menabur bakti belasan tahun sebagai pendakwah bebas di Kuala Lumpur ini mendapat pendidikan lebih 10 tahun di Makkah al mukarramah. Gelombang hijau kebangkitan pengundi Besut kali ini sangat luarbiasa, bergelombang hebat daripada Pulau Perhentian N01 sehingga ke kawasan perdesaan keruak. Tiada yang mustahil bagi sang Penggenggam nasib untuk meruak hati pengundi, Besut pernah dua kali melakukan tsunami politik, iaitu pada tahun 1959 dan 1999. Doakan teman-teman semua, di samping membantu kami membantu PAS Terengganu menawan Wisma Darul Iman,menghembus angin kesejahteraan Islam pada tanah leluhur Tok Ku Paloh ini.

(Penulis ialah calon P033, Besut)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget