NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

As-Syahid Dr Fadi Pakar Teknologi Dron dan Roket



PEMBUNUHAN DR. FADI AL-BATSH; ANTARA MURKA MUSUH DAN KEDAULATAN NEGARA

oleh: Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman

1. Tatkala penduduk Gaza setiap hari berdepan berita syahid dan kecederaan ahli keluarga dalam siri The Great Return March, sangat menyedihkan apabila mereka terpaksa pula menanggung berita pembunuhan as-syahid Dr Fadi Al-Batsh di pelosok akhir dunia, khususnya di negara kita Malaysia yang dianggap tempat selamat untuk para pelarian, penuntut ilmu asing lebih-lebih lagi ilmuwan Islam hebat yang menjadikannya sebagai negara kedua mereka.

2. Mutakhir ini terlalu banyak kedengaran isu kedaulatan negara dinodai yang menyebabkan kemampuan malah kemahuan kita bertindak tegas terhadap penjenayah yang memandang mudah kehormatan negara yang kita cintai dipertikaikan.

3. Pada tahun lepas, tanggal 13 Februari 2017 rakyat Malaysian dikejutkan apabila abang tiri Kim Jong-un, Kim Jong-nam dibunuh ala-ala filem Hollywood di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menggunakan racun. Pagi semalam pula sekali lagi musuh dengan penuh berani membunuh pula Dr Fadi Al-Batsh, cendekiawan muda Islam berasal Palestin di tengah-tengah ibunegara.

4. Peristiwa semalam mencemarkan nama Malaysia dengan lebih buruk apabila stesyen TV utama di Gaza, stesyen Al-Aqsa menyiarkan temubual bersama saksi mata yang bersama as-syahid menyatakan bahawa pihak ambulans dan polis hanya tiba setelah 50 minit berlalu. Walaupun saya secara peribadi meyakini ia disebabkan kelemahan pihak terbabit dan tidak sepatutnya berlaku, suara-suara sumbang di Gaza tertanya-tanya kalau ada tangan-tangan tersembunyi yang memainkan peranan memastikan operasi tersebut berjaya dengan melambatkan pihak berwajib daripada bergegas ke tempat kejadian.

5. Sangkaan mereka barangkali jauh daripada kebenaran, tetapi di sebuah negara maju dan moden, kelewatan tersebut tidak sepatutnya berlaku.

6. As-Syahid Dr Fadi dijulang oleh HAMAS sebagai salah seorang pendokongnya yang komited. Tetapi misteri di sebalik pembunuhannya tidaklah terlalu kelabu. Beliau adalah pakar di bidang ‘power electrics’, mempunyai kemahiran merekacipta ‘transmitter’ yang digunakan di atas dron tanpa pesawat, dan disebut mempunyai kemahiran di dalam pembuatan roket. Sejauh mana ilmunya telah dimanfaatkan oleh pejuang di Gaza tidak akan terjawab sampai bila-bila.

7. Yang penting, ini bukanlah kali pertama Mossad melakukan operasi di luar negara haram Israel dan menceroboh kehormatan dan kedaulatan negara lain demi menyingkirkan anasir-anasir yang mengancam mereka.

8. Pada 15 Disember 2016, Mossad menembak mati jurutera dan pakar dron, Muhammad Az-Zawari di hadapan rumahnya di Tunisia. Pada 28 Februari tahun ini, jurutera Fizik Nuklear Hisyam Murad berasal Lubnan, dibunuh di Perancis. Kemudian bakal lulusan PhD Hasan Ali Khairuddin dibunuh kerana tesisnya bertajuk penguasaan Yahudi ke atas ekonomi dunia. Seterusnya mayat jurutera Iman Husam, pakar kimia ditemui pada 25 Mac 2018 dan terakhir Dr Fadi yang dibunuh di Malaysia.

9. Di kala pilihanraya umum semakin dekat dan rakyat berpecah disebabkan ideologi dan pemikiran masing-masing, isu Palestin sejak zaman-berzaman telah menyatukan kita. Justeru tanpa melihat warna dan parti, saya menyeru rakyat mendesak pihak berwajib mempercepatkan siasatan dan menghadapkan penjenayah ke muka pengadilan. Langkah tegas juga perlu diambil ke atas Zionis dan sekutunya agar insiden seperti ini tidak berulang.

10. Nama Malaysia sangat harum di persada dunia Islam sebagai pembela keadilan dan suara yang jelas menyokong umat di kala sendirian berdepan kemelut dan kezaliman pihak musuh. Justeru sangat malang sekiranya insiden ini menampakkan kontradiksi terhadap pendirian tegas negara menentang penjajahan Zionis yang bukan sahaja meliputi tanah air Palestin milik ummah, malah juga menjajah dan membunuh keilmuan dan hak mereka untuk hidup.

11. Zionis sudah melampau, apabila bukan sahaja membunuh saudara kita di Gaza tetapi juga membunuh mereka di tanahair kita sendiri. Keangkuhan mereka terserlah apabila hari ini, Naftali Bennet dan lain-lain pemimpin kerajaan haram mereka berkata tidak akan membenarkan Malaysia mengembalikan jenzah as-syahid ke Gaza sebelum HAMAS membebaskan tawanan tentera mereka yang berada di Gaza.

12. Hadapkan yang bersalah ke muka pengadilan, ketatkan keamanan dan keselamatan negara, jangan takut dimurkai musuh sehinggakan kedaulatan negara menjadi bahan mainan mereka!

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman,
Rakyat Malaysia di Gaza.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo