NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Razif sahkan bertanding, calon wanita Umno juga ada pada PRU14



KUALA NERUS, 20 April – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengesahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bersama-sama empat calon lain termasuk pakar motivasi Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Beliau bagaimapun enggan menyatakan kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi sehingga pengumuman rasmi.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, saya umumkan calon-calon untuk Kuala Nerus, tetapi tempat saya tak akan umum lagi. Yang sah (akan bertanding) Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, saya sendiri, Datuk Basir Ismail, Tuan Arif Sahibul Fadilah Tuan Ahmad dan Che Mansor Salleh. Ini lima orang yang sah bertanding kerusi DUN dan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Serikandi Terengganu 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Ahmad Razif turut menunaikan janji Barisan Nasional (BN) negeri apabila turut mengemukakan calon wanita yang akan bertanding pada PRU kali ini iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Bagaimanapun, BN negeri masih belum memutuskan kerusi yang akan ditandingi Zaitun yang juga Setiausaha Wanita UMNO negeri.

“Saya dah maklumkan perkara ini kepada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (Ketua Pergerakan Wanita UMNO) yang hari ini saya umumkan Toh Puan Zaiton Mat Amin sebagai calon wanita yang akan diketengahkan pada PRU ini,” katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata senarai calon untuk keseluruhan 32 DUN dan lapan kerusi parlimen akan diumumkan dalam masa terdekat secara rasmi.

“Insya-Allah, saya akan umum (senarai calon) secara rasmi, mungkin Ahad atau Isnin ini.

“Paling kurang, kita ada 19 muka baharu dan tiga orang calon muda berusia di bawah 40 tahun dan ada juga mereka yang menang (penyandang) digugurkan dari senarai,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru, Ahmad Razif berkata beliau percaya ia akan memberi kelebihan kepada BN negeri untuk kekal menerajui Terengganu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo