NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Demi kelangsungan politik, Azmin 'dera' PAS?


Mengapa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tidak berani berterus terang dalam isu ‘mendera’ PAS Selangor yang disekat peruntukan dana 13 wakil rakyatnya di negeri itu?

Adakah motif Azmin berbuat demikian demi mempertahankan kepentingan peribadinya atau PKR, atau, beliau sebenarnya akur pada strategi besar Pakatan Harapan (PH)?

Atau, adakah Azmin mahu membuat persiapan awal “memusnahkan” PAS kerana sudah tidak lagi menganggap PAS Selangor sebagai rakan kongsi dalam pentadbiran negeri itu? 

PAS sebelum ini mengumumkan akan bersaing dengan PH dan juga Barisan Nasional dan ingin mencetuskan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

Justeru, mungkinkah Azmin mahu menjolok kesabaran PAS dan mendorongnya ‘marah, kecewa serta merajuk’ dengan harapan ia akan ‘memaksa’ PAS menarik diri dari kerajaan Selangor?

Banyak manfaat bagi Azmin, PKR dan PH jika PAS boleh dipaksa memilih langkah berkenaan kerana dalam PRU14, PAS akan menjadi seteru PKR dan PH.

Sebab itu agaknya, kredibiliti PAS harus dibunuh sekarang. Jika PAS semakin lemah wibawanya, akan lebih mudah bagi PKR merampas kerusi milik PAS.

Azmin sedar jika PKR dapat ‘mencuri’ sebahagian daripada 13 kerusi milik PAS sekarang, tentu partinya dapat mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju Selangor selepas PRU14.

Namun PKR agak cuak dalam PRU14 kelak dua anggota PH – PPBM dan Amanah – akan dapat menambat bukan sahaja kerusi PAS dan juga mungkin juga 12 kerusi milik Umno.

Jika ini berlaku, kebarangkalian PKR gagal terus memerintah Selangor akan menjadi realiti dan beliau pula tidak lagi menjadi menteri besar.

Namun yang lebih hampir pasti ialah, DAP mungkin mampu mengekalkan kemenangan 15 kerusi seperti dalam PRU ke-13 dan kemudian mengambil alih kedudukan peneraju Selangor.

Ini bukan mustahil kerana kebarangkalian DAP menambah bilangan kerusi dalam PRU14 adalah besar dan ia boleh menampilkan beberapa ahli Melayu-Islamnya untuk menjadi Menteri Besar.

Atau, Azmin mungkin cuma ditugaskan PH untuk ‘memperkecilkan peluang’ PAS dan Umno untuk “berkongsi” memerintah Selangor selepas PRU14.

Lantas, PH mungkin mahu Azmin ‘melemahkan’ PAS dengan menyekat peruntukan dana ADUN-ADUNnya supaya ia jauh di mata rakyat Selangor.


Kemungkinan ini dilontarkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi apabila beliau mempersoalkan tindakan Azmin itu mirip tindakan “dengki” Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau merujuk kepada tindakan Dr Mahathir semasa menjadi presiden Umno dan perdana menteri, menafikan Terengganu dan Kelantan di bawah teraju PAS, pelbagai hak dan peruntukan.

Sallehen berkata tidak ada rasional untuk Azmin berlaku tidak adil kepada PAS kecuali jika ada tekanan luar, khususnya daripada PKR atau PH yang dipimpin oleh Dr Mahathir. 

“Ini yang saya kata ada tekanan. Boleh jadi datang sendiri daripada presiden ataupun pengerusi Pakatan Harapan sendiri, Dr Mahathir...sebab ini cara Dr Mahathir,” kata Sallehen.

Namun peersoalan lebih besar yang harus dirungkai oleh Azmin ialah soal integriti politiknya sendiri. Ketika beliau baru dilantik menjadi Menteri Besar, bermatian beliau mempertahankan PAS menganggotai kerajaan negeri. 

Pelbagai alasan beliau berikan kepada DAP dan Amanah. Yang paling nyata beliau cuba mempamerkan prinsip ketelusannya dengan memberi alasan PAS juga adalah pilihan rakyat Selangor dalam PRU13.

Atau, mungkin ketika itu Azmin masih belum lupa peranan PAS mencadangkan pada Istana Selangor supaya melantiknya menjadi Menteri Besar apabila ada masalah melantik presiden PKR menduduki kerusi berkenaan.

Justeru seperti mana anggota Pakatan Rakyat ketika itu, DAP dan Amanah harus sokong PAS terus berada dalam kerajaan Selangor dengan PR hujah PAS juga secara kolektif wajar melangsaikan tanggungjawab kepada rakyat yang memilih PAS dalam kerajaan Selangor.

Bagaimanapun kini pendirian itu nyata longlai apabila Azmin sendiri nampaknya terpaksa akur pada ‘tekanan’ DAP, Amanah dan kini PPBM supaya PAS tinggalkan PH.

Jika begini sikap politik Azmin, beliau tidak perlukan kawan atau sekutu politik, pada bila-bila masa beliau boleh bertukar kesetiaan tanpa mengambil kira tindakan itu bakal merugikan rakyat sendiri. Mujur PAS sedar.

Namun apa pilihan yang Azmin ada. Dalam PKR nyata ada belah bahagi. Ada yang menyokongnya dan ada yang menentangnya. Apatah dalam PH Amanah memang mengidam mahu ambil alih kedudukan PAS yang sudah meninggalkan Pakatan.

Tambahan pula, PPBM adalah satu parti yang yakin bahawa aura politik Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah cukup untuk menarik minat rakyat mengundinya. 

Jika kebarangkalian ini berlaku bererti PKR mesti bersedia bahawa undi keseluruhan DAP akan bertambah. Undi PKR akan dikempiskan oleh bukan sahaja PPBM tetapi Amanah juga.
Sebelum kemungkinan ini menjadi kenyataan, Azmin perlu “memiskinkan” PAS dalam sisa-sisa hari memerintah Selangor dengan harapan ini boleh memberi persepsi PAS itu lemah. 

Namun kini sudah sedar bahawa dengan kawan politik seperti Azmin, ia tidak perlu berkerabat dengan PKR, PPBM, Amanah dan DAP. Mungkin PAS perlu melayani ‘keramahan’ Umno sejak akhir-akhir ini.
© all rights reserved
made with by templateszoo