NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sarawak :Tiada Istilah ‘Calon Langsung’ Pada PRU14



KUCHING – Formula ‘calon langsung’ yang diguna pakai Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi membolehkan calon dari luar parti komponen BN untuk bertanding mewakili BN pada pilihan raya negeri ke-11 (PRN11), tidak akan diguna pakai dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini kerana pilihan raya akan datang adalah pilihan raya umum bagi memilih calon ke kerusi parlimen, jadi semua calon BN adalah dari parti komponen BN, tidak seperti PRN. 

Beliau berkata sekiranya status ‘calon langsung’ diguna pakai di Sarawak pada peringkat PRU sebagaimana PRN sebelum ini, BN perlu juga mengambil kira calon-calon di Semenanjung dan juga Sabah, sedangkan di sana sememangnya tidak ada istilah ‘calon langsung’. 

Ditanya sekiranya beliau sebagai Pengerusi BN Negeri mempunyai kuasa sepenuhnya dalam aspek pemilihan calon-calon dari Sarawak yang akan bertanding dalam PRU ini, Abang Johari yang ditemui selepas merasmikan Jambatan Besi Kampung Kudei Lama/Baru di Jalan Rubber West di sini menjawab: “tidak mutlak.” 

Istilah ‘calon langsung’ diguna pakai oleh BN Sarawak pada PRN lepas apabila ia membenarkan calon-calon dari parti serpihan komponennya yang ‘mesra BN’, untuk bertanding mewakili BN di kawasan tertentu dengan syarat calon itu perlu meletak jawatan dalam parti, dan tidak menyertai mana-mana parti politik semasa bertanding. 

Ia diilhamkan oleh bekas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem selepas perpecahan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), menyaksikan kemunculan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang ‘mesra BN’, namun tidak mendapat persetujuan semua parti komponen BN untuk menjadi parti komponennya. 

Formula itu membolehkan BN meraih kejayaan cemerlang pada PRN lepas, dan calon langsung berjaya memenangi 11 daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya. 

Sementara itu semasa diminta mengulas lebih lanjut mengenai kelebihan kerajaan negeri mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas industri minyak dan gas dalam kawasannya sebagaimana yang diumumkan beliau baru-baru ini, Abang Johari berkata perkara itu perlu diharungi selangkah demi selangkah. 

“Saya tidak mahu banyak sangat bercakap mengenainya, apa yang terbaik ialah biar saya laksanakan dahulu, kemudian kita lihat apa yang berlaku selepas itu,” katanya. 

Pada 6 Mac lepas Abang Johari semasa melancarkan syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dilaporkan berkata Sarawak akan mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri ini menjelang Julai nanti sebagai sebahagian daripada penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan. – BERNAMA




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo