NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sarawak: SUPP-UPP tandatangan MOU




Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), dua parti didominasi kaum Cina di Sarawak, menandatangani memorandum persefahaman bersama bagi mengetepikan sebarang perbezaan dan memfokuskan perhatian terhadap perpaduan dalam semangat Barisan Nasional (BN) terutama dalam usaha membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyaksikan majlis itu, mengucapkan tahniah kepada Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, Presiden UPP Datuk Seri Dr Wong Soon Koh serta kumpulan masing-masing terhadap kesanggupan untuk mengorbankan kepentingan mereka demi Sarawak dan negera.

Beliau berkata sejak beberapa bulan lepas pemimpin masyarakat Cina di Sarawak telah menuarakan hasrat agar kedua-dua parti itu meneroka cara untuk bersatu sebagai entiti tunggal yang mewakili kepentingan masyarakat Cina serta komuniti lain untuk membangunkan negeri.

“Sekalung tahniah kita ucapkan kepada Dr Sim dan kumpulannya serta Soon Koh dan kumpulannnya, atas persetujuan untuk mengetepikan apa sahaja perbezaan mereka, bersama-sama kami menghasilkan rentak dalam melipat gandakan usaha untuk memajukan Sarawak ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis itu di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) di Kuching petang semalam.

UPP ditubuhkan oleh Wong Soon Koh yang keluar dari SUPP pada 2014 ekoran pertikaian dalaman, tidak dapat diterima sebagai parti komponen BN kerana ini memerlukan konsensus daripada semua parti komponen BN sungguhpun UPP merupakan parti ‘sahabat BN’.

Pilihan raya lepas (PRU-13) menyaksikan SUPP kalah enam daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandingi, dan beberapa bulan kemudian parti itu menerima satu lagi tamparan apabila Wong Soon Koh keluar parti dan menubuhkan UPP.

Abang Johari yang juga pengerusi BN negeri dan Presiden PBB berkata beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang majlis itu ketika menemui perdana menteri di Putrajaya pagi semalam dan menyampaikan ucap tahniah perdana menteri kepada kedua-dua pihak.

“Saya harap dengan adanya perjanjian ini akan mengurangi permainan politik dan lebih banyak usaha untuk bersama-sama membangunkan negeri... ini (perpaduan), penting dalam perundingan kita dengan kerajaan pusat bagi mendapatkan semula hak negeri yang telah terhakis dalam perjanjian Malaysia 1963,” kata ketua menteri

Ditanya tentang kemungkinan calon UPP bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya umum akan datang, Abang Johari berkata parti itu mempunyai calonnya sendiri tetapi mereka perlu bertanding di bawah parti komponen BN.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan kemudian, dan menyebut bahawa senarai calon PBB untuk pilihan raya akan datangpun belum dimuktamatkan lagi.

Abang Johari berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN Negeri semalam membincangkan perkara berkaitan persiapan pilihan raya parlimen akan datang termasuk manifesto, logistik dan jentera pilihan raya.

Sementara itu Dr Sim berkata beliau gembira terhadap tindak balas UPP terhadap gesaan menyatukan kedua-dua “parti majoriti kepentingan Cina’” itu demi Sarawak yang kuat dan bersatu.

Beliau berkata kebanyakan anggota UPP merupakan anggota SUPP yang telah banyak menymbang kepada negeri dan negara dan telah tiba masanya untukl bekerja bersama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan lebih bertenaga.

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo