PRU-14, BN Sabah akan tumbang?



Oleh : Sahimin Mustapah

Penantian pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri (kecuali Sarawak) semaki n mendebarkan malahan banyak cakap-cakap mengatakan ianya akan dibubarkan pada penghujung bulan mac atau awal april nanti. Yang pasti bulan april dan mei akan menyaksikan rakyat akan menyambut hari raya demokrasi kali ke-14 dimana rakyat sekali lagi akan keluar ke kotak undi untuk menentukan parti manakah yang akan mendapat mandat menerajui kerajaan Persekutuan dan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Di kepulauan Borneo, bahang pilihanraya juga semakin terasa terutamanya di bumi di bawah bayu, lebih-lebih lagi selepas kemunculan bekas Naib Presiden UMNO yang berasal dari daerah Semporna. Datuk Seri Shafie Apdal bersama beberapa orang wakil rakyat yang meninggalkan PKR, DAP dan UMNO seperti YB Dairell Leiking, YB Terence Siambun, YB Junz Wong disamping YB Datuk Jaujan Sambokong mengasaskan Parti Warisan Sabah. 

Kemunculan Parti Warisan ini telah memanaskan suhu politik Sabah malahan sesetangah pihak mengatakan Warisan mungkin mengulangi sejarah kejatuhan parti pemerintah sebelum ini seperti kejayaan Parti BERJAYA (Barisan Rakyat Jelata Sabah) menumbangkan Parti USNO (United Sabah National Organisation) pada tahun 1976 dan PBS (Parti Bersatu Sabah) yang berjaya menumbangkan Parti BERJAYA pada tahun 1985. Kehadiran Warisan dalam kancah politik Sabah ternyata menjadi buah mulut rakyat Sabah malah jumlah kehadiran disetiap program anjuran mereka sentiasa mendapat sambutan hangat.


Persaingan sengit

Apa yang menarik di Sabah kali ini, terdapat sekurang-kurangnya 20 parti politik yang berdaftar samada parti politik berasaskan negeri atau parti politik nasional. Disamping itu beberapa parti politik yang membentuk gabungan atau kerjasama dengan sekurang-kurangnya 3 kumpulan, Barisan Nasional Sabah yang merupakan parti pemerintah sekarang, Gabungan Sabah (United Sabah Alliance) dan Pakatan Harapan (PH Sabah). 

Anggota Barisan Nasional Sabah terdiri daripada United Malay National Organisation (UMNO-YAB Tan Sri Musa Aman), Parti Bersatu Sabah (PBS-YB Datuk YB Dr Maximus Ongkili), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO-YB Datuk Wilfred Tangau), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS-YB Tan Sri Joseph Kurup) Liberal Democratic Party (LDP-YB Datuk Teo Chee Kang), Parti Gerakan (YB Datuk Raymond Tan), MCA dan MIC serta United Sabah Bajau Organisation (USBO-Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia) yang merupakan NGO yang bergabung dalam BN. 

Manakala Gabungan Sabah diwakili oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star-YB Datuk Dr Jeffry Kitingan), Parti Maju Sabah (SAPP-Datuk Yong Teck Lee), Parti Harapan Sabah (Harapan-YB Datuk Lajim Hj Ukin) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS-Arshad Abdul Mualap). PH Sabah pula terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-YB Christina Liew), Parti Tindakan Demokratik (DAP-Stephen Wong) dan Parti Amanah Negara (Haji Hamzah Abdullah). 

Disamping itu Parti Cinta Sabah (YB Datuk Wilfred Bumburing) dan Parti Anak Negeri Sabah (Anak Negeri-Datuk Henrynus Amin) telah membentuk kerjasama politik bagi menyatukan parti-parti politik yang mahu dikenali sebagai MOMOGUN. Manakala Parti Warisan masih gagal membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik sehingga kini. Begitu juga dengan Parti Islam SeMalaysia Sabah (PAS) juga difahamkan masih belum membentuk Gagasan Sejahtera Sabah seperti mana yang telah dilakukan di Semenanjung Malaysia.

Parti lain di Sabah termasuk Parti Kerjasama Rakyat Sabah (PAKAR), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (BERSAMA), Parti Kebenaran Sabah (KEBENARAN) dan Parti Bersatu Bugis Sabah (PBBS), Parti Ekonomi Rakyat Sabah (PERS), Parti Damai Sabah (SPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO Baru) serta Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU)


Apakah Parti Warisan mampu melakukannya?

Sehingga kini parti pembangkang masih berselisih bagaimana untuk mewujudkan satu blok pembangkang yang kuat terutamanya dalam soal pertandingan 2 penjuru sahaja atau lebih dikenali satu lawan satu. Menurut sumber, Parti Warisan berminat bertanding sekurang-kurangnya 70% daripada 60 kerusi DUN dan selebihnya diagih-agihkan kepada PCS dan PH Sabah. Namun demikian hal ini tidak dipersetujui oleh Presiden PCS, YB Datuk Wilfed Bumburing yang mahukan agihan kerusi yang lebih seimbang dan sesebuah parti tidak boleh bertanding melebihi 50% daripada jumlah kerusi DUN. 

Manakala GS pula dalam kenyataannya baru-baru ini, Datuk Lajim memberitahu bahawa 90% kerusi telahpun selesai diagihkan manakala baki 10% sedang dalam perundingan akhir. Ini bermakna GS sudah tidak berminat bekerjasama dengan Warisan apatah lagi dengan PH. Melihat kepada perkembangan yang berlaku ini maka hampir pasti Sabah akan menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru melibatkan BN, GS, PH, Warisan, PCS, Anak Negeri, PAS dan parti-parti lain. 


Maka timbul persoalan, masih adakah peluang kepada Parti Warisan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah dan seterusnya menobatkan Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru?






Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget