NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

P.Pinang : Pengundi bakal berubah arah?


Ahmad Zahid dalam lawatannya ke Pulau Mutiara minggu lepas melahirkan keyakinan bahawa BN mampu menambah bilangan kerusi DUN dan Parlimen dan bagi Teng, sebagai orang yang bertanggjungjawab mengepalai jentera BN, apa yang disuarakan timbalan perdana menteri itu merupakan suntikan semangat kepada jentera parti di peringkat akar umbi bahawa kemungkinan besar BN boleh menerajui semula kerajaan negeri.

“Apa yang ditegaskan timbalan perdana menteri itu bukan tiada asasnya memandangkan kini telah banyak rungutan dan rasa tidak puas hati terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Kalau kita kumpulkan semua perasaan ini, maka boleh buat rumusan berbanding PRU lepas dari segi sentimen dan perubahan, corak mengundi mungkin berubah. Perubahan itu juga dirasai oleh BN negeri dan kami kirakan ini mungkin ada pertanda jauh lebih baik daripada apa yang kami rasa pada PRU lepas,” katanya.

Beliau berkata sentimen rakyat Pulau Pinang juga tidak seperti pilihan raya umum lepas yang mempertahankan apa jua yang dilakukan oleh kerajaan DAP, sebaliknya kini pelbagai pertanyaan dikemukakan.

“Ada juga yang tidak mahu berbicara langsung, dulu kalau kita kritik DAP, ada ramai yang mempertahankan, ada ramai menjelaskan bagi pihak DAP sendiri...sekarang suara-suara itu hampir lenyap, saya tidak kata tiada, masih ada sedikit, masih ada penyokong tegar,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kawasan-kawasan gelap untuk BN yang sukar ditembusi seperti Parlimen Bagan yang diwakili Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Bukit Gelugor yang diwakili Ram Karpal Singh.

Teng berkata komitmen dan kerjasama parti-parti komponen di peringkat akar umbi juga berjalan lancar, walau pun tidak menolak kemungkinan terdapat sedikit percanggahan pendapat yang boleh diselesaikan segera.

“Dari segi keseluruhan prinsip dan rangka kerja, sudah tiada masalah. Sudah selesai semua, semua beres...isu-isu pendirian parti masing-masing, isu-isu operasi biasalah bukan isu besar, persiapan ejen-ejen pilihan raya kira undi juga sudah selesai,” katanya.

Mengenai permintaan Ahmad Zahid untuk mendapatkan tiga kerusi DUN daripada Gerakan, Teng yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata: “Kami berkeyakinan boleh berjaya menembusi target tiga kerusi yang ditetapkan timbalan perdana menteri, mungkin melebihi”.

Ditanya mengenai sentimen pengundi Cina, beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada penyelaras parti yang turun padang, sambutan daripada pengundi Cina tidak lagi seteruk PRU lepas.

Beliau berkata tiada perubahan dari segi pengagihan kerusi-kerusi negeri dan Parlimen antara parti-parti komponen di negeri ini iaitu Umno bertanding di 15 kerusi DUN, Gerakan 13 kerusi; MCA 10 kerusi; dan dua MIC; manakala bagi kerusi parlimen Umno bertanding di lima kerusi; Gerakan dan MCA masing-masing empat kerusi.

Pakatan Harapan baru-baru ini mengumumkan pembahagian kerusi-kerusi negeri yang bakal mereka tandingi dengan DAP kekal di 19 kerusi (Sungai Puyu; Bagan Jermal; Bagan Dalam; Berapit; Padang Lalang; Perai; Jawi; Tanjong Bungah; Air Putih; Pulau Tikus; Padang Kota; Pengkalan Kota; Komtar; Datuk Keramat; Sungai Pinang; Batu Lancang; Seri Delima; Air Itam; dan Paya Terubong.

PKR di 14 kerusi iaitu Pinang Tunggal; Telok Air Tawar; Seberang Jaya; Penanti; Machang Bubuk; Bukit Tengah; Bukit Tambun; Sungai Bakap; Sungai Acheh; Kebuh Bunga; Batu Uban; Pantai Jerejak; Batu Maung; dan Pulau Betong; manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di empat kerusi iaitu Penaga; Bertam; Teluk Bahang; dan Permatang Berangan; dan Amanah di tiga kerusi iaitu Sungai Dua; Permatang Pasir dan Bayan Lepas.

“Kita juga tunggu pengumuman, kemudian kita buat keputusan Apakah strategi mereka dan (kami) aturkan strategi… kita pantau dulu apakah perubahan mereka," katanya

Teng bagaimanapun menolak dakwaan bahawa pertandingan tiga penjuru atau lebih akan memberi kelebihan kepada BN kerana bimbang ia akan menarik keluar penyokong BN.

“Sukar kita nak buat unjuran sebab kadang-kadang ada parti-parti yang baharu ini, dia menarik bukan penyokong DAP, dia adalah sepihan-sepihan parti-parti komponen BN, jadi mungkin tarik keluar penyokong BN...kalau ada parti-parti serpihan daripada DAP, itu lain senario dia.

“Jadi saya memang bimbang kemunculan parti-parti baru ini yang datangnya daripada sepihan Gerakan dan MCA,” katanya.



-Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo