Persempadan semula: SPR syor pinda nama 12 kawasan Parlimen, 28 DUN




KUALA LUMPUR: Meskipun usul pembentangan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diganggu Ahli Parlimen pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhirnya berjaya membentangkan usul itu pada jam 12.30 tengah hari tadi. 

Sebelum itu berlaku sedikit kekecohan antara ahli parlimen pembangkang dan kerajaan sehingga Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa menangguhkan usul itu selama 20 minit. 

Dalam pembentangan itu, Najib berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya. 

Katanya, pindaan nama itu melibatkan lima kawasan Parlimen di Selangor diikuti Johor (2), Perak (2) serta masing-masing satu kawasan Parlimen di Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka. 

Menurut beliau, bagi kawasan DUN pula, ia membabitkan sembilan kawasan di Selangor diikuti Johor (8), Melaka (3), Perak (2), Kelantan (2), Negeri Sembilan (2), Kedah (1), dan Terengganu (1). 

“Dalam hal ini, SPR mengesyorkan bahawa tiada perubahan ke atas bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Najib berkata demikian ketika membentangkan Usul-usul Mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018. 


Ini menjadikan bilangan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kekal 222 kerusi dan kerusi DUN keseluruhannya kekal 587 kerusi. 

Bagaimanapun, PRU14 ini tidak akan menyaksikan pertandingan bagi 82 kerusi DUN Sarawak kerana negeri itu sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 7 Mei 2016. 

Keempat-empat syor itu terkandung dalam laporan berkenaan, meliputi kajian semula persempadanan di semua negeri di Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. 

Kata Najib lagi, cadangan perubahan nama itu ada hanya pindaan daripada ejaan lama kepada ejaan baru dan ada meliputi perubahan seperti kawasan Parlimen Bangi yang asalnya dikenali sebagai Parlimen Serdang, Parlimen Subang (Kelana Jaya), Parlimen Damansara (Petaling Jaya Utara) dan Parlimen Iskandar Puteri (Gelang Patah). 

Urusan kajian semula persempadanan itu selaras dengan peruntukan Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan kepada prinsip-prinsip persempadanan dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah perlembagaan itu. 

Kali terakhir kajian semula persempadanan itu diadakan pada 2003 dan menurut Perlembagaan Persekutuan ia perlu diadakan sekurang-kurangnya lapan tahun. 

Menurut laporan berkenaan, kriteria kajian semula itu berdasarkan keadaan geografi dan topografi kawasan, tahap pembangunan kawasan terlibat, keadaan demografi, kepadatan penduduk dan bilangan pemilih, serta kemudahan asas infrastruktur seperti jalan raya dan sistem komunikasi. 

Secara keseluruhannya, sebanyak 600 wakil daripada 1,685 yang diterima diadakan siasatan tempatan. 

Antara bantahan dibangkitkan ialah pemindahan daerah mengundi dari satu kawasan ke kawasan lain dan jurang bilangan pemilih. 

SPR ada menerima dan ada menolak representasi bantahan itu dengan alasan memelihara hubungan komuniti tempatan dan mengurangkan jurang bilangan pemilih antara satu kawasan dengan kawasan lain. 

Kajian semula persempadanan sejak 15 September 2016 itu dilakukan dengan telus melalui proses notis persempadanan, pameran, syor, wakil dan siasatan tempatan. 

Menurut laporan itu, jumlah pemilih di Semenanjung Malaysia adalah 11.3 juta orang atau dengan tepatnya 11,379,352 orang mengikut daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 dan 6 September 2016. 

-na-


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget