NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS sokong tuntutan 20 peratus royalti minyak



Oleh ZARA ADEELA ARIF

PETRA JAYA: Tuntutan PAS Negeri Sarawak supaya Kerajaan Persekutuan memulangkan hasil petroleum kepada negeri itu sebanyak 20 peratus adalah wajar sebagai hak dan keperluan Bumi Kenyalang itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, perkara sama juga terdapat dalam tuntutan PAS ke atas negeri pengeluar minyak lain antaranya Kelantan dan Terengganu.

Namun sebagaimana dimaklumi, Kelantan dan Terengganu telah sekian lama dinafikan pembayaran royalti petroleum tersebut walaupun terma perjanjian berkaitan memperuntukan 5 peratus hasil kepada negeri.

Penafian itu merupakan sekatan politik sejak zaman rejim bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini Pengerusi PH, setelah dua negeri itu diambil alih PAS pada tahun 1990 dan 1999.

Ariffin yang juga Adun Limbat menegaskan perkara itu semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Petra Jaya Kali Ke-18, di sini kelmarin.

Tegas beliau, dengan pemulangan royalti yang menjadi hak kepada Sarawak itu juga Kelantan dan Terengganu akan membolehkan pelbagai usaha pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat diadakan.

Mengulas perkara sama, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, tuntutan tersebut amat penting kepada Sarawak sesuai dengan keadaan buminya yang luas serta penduduk ramai.

Lebih penting ujarnya, ajaran Islam juga memperuntukkan perolehan pendapatan dan hasil bumi dari sesuatu negeri itu harus diutamakan kepada rakyat tempatannya dahulu sebelum diagihkan lebihan ke lain.

"Apatah lagi, Sarawak berada pada kedudukan ketiga dalam kadar kemiskinan negara, selain hampir dua pertiga rakyatnya belum menikmati asas bekalan air bersih.

"Itu tidak termasuk Indeks Pembangunan Jalan Raya (RDI) pada kadar tercorot. Dengan royalti 20 peratus, Sarawak boleh dapat lebih RM8 bilion," maklum beliau.

Perolehan sebanyak itu menurutnya, jika dikendalikan secara penuh integriti, tanggungjawab dan bijaksana akan membantu kepada kemakmuran rakyat negeri ini.

Malangnya ujar beliau, hasil dan kekayaan Bumi Kenyalang dikaut banyak untuk kepentingan Persekutuan selama ini dan pihak tertentu sedangkan rakyatnya hidup dalam penuh kesukaran.

http://harakahdaily.net.my/index.php/berita/15-tanah-air/5698-pas-sokong-tuntutan-20-peratus-royalti-minyak

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo