NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Menolak Kajian Semula Persempadanan Pilihan Raya







Catatan Parlimen: PAS Menolak Kajian Semula Persempadanan Pilihan Raya

1. Para Ahli Parlimen PAS hari ini menyatakan pendirian menolak Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018.


Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Dato' Takiyuddin Hassan menjadi pembahas yang mewakili PAS membahaskan Laporan yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

2. Semenjak pagi tadi, suasana Dewan sememangnya hangat bukan sahaja di dalam bahkan di luar dewan juga.Laluan masuk ke Parlimen dikawal ketat oleh Polis bagi menyekat perarakan Himpunan BERSIH yang diketuai oleh Tun Mahathir.

Cuma agak geli hati apabila melihat Tun M menyebut mengenai Pilihan Raya di Malaysia ini penuh penipuan kerana bagi sesiapa yang tidak tergolong dalam sindrom "Mudah Lupa" pasti akan ingat apa yang Tun M buat ketika dia berkuasa selama 22 tahun jadi PM dahulu.?

Ketika persempadanan terakhir tahun 2003, SPR diperguna oleh Tun M untuk menjana kemenangan besar UMNO-BN pada PRU ke 11 tahun 2004. Kini, apabila dia sudah tidak berkuasa, lain pula bicaranya.  PM Najib hanya meneruskan tradisi warisan jejak langkah Tun M juga.Hakikatnya, Persempadanan sememangnya senjata ampuh milik UMNO-BN untuk terus kekal berkuasa.

3. Ketika di awal sesi pembentangan Kajian Semula Persempadanan, suasana begitu tegang sehingga memaksa Speaker menangguhkan Dewan selama hampir 30 minit bagi meredakan suasana. 
Selepas PM membentangkan Kajian Semula Persempadanan, Tan Sri Speaker menetapkan syarat perbahasan hanya 10 minit setiap orang dengan jumlah 5 wakil Pembangkang dan 6 wakil Kerajaan. 
Kerajaan UMNO-BN kelihatan begitu terdesak untuk 'bulldoze' dan menyegerakan kelulusan Kajian Semula Persempadanan ini.

4. Dalam had masa 10 minit, YB Kota Bharu yang mewakili PAS berjaya berhujjah secara fakta dan tenang tanpa provokasi mana-mana pihak.
Beliau menyenaraikan 5 kelainan dalam urusan pembentangan Kajian Semula Persempadanan kali ini.
Antaranya;
a) Tempoh masa begitu lama iaitu selama 15 tahun bagi persempadanan baru dibuat sedangkan persempadanan dahulu dibuat pada tenggang masa 9 tahun sahaja.
Kajian Kali ke 1 pada 1958
Kajian Kali ke 2 pada 1974 
Kajian Kali ke 3 pada 1984
Kajian Kali ke 4 pada 1994
Kajian Kali ke 5 pada 2003.

b) Tiada penambahan kerusi baru Parlimen sedangkan setiap kali persempadanan sebelum ini pasti berlakunya pertambahan kerusi.
Tahun 1958- 104
Tahun 1974- 114 (+10)
Tahun 1984- 133 (+19)
Tahun 1994- 145 (+12)
Tahun 2003- 166 (+21)

c) Tempoh kuatkuasa persempadanan baru kali ini amat segera jikalau dibanding dengan Persempadanan Tahun 2003, ia berkuatkuasa setahun kemudian iaitu pada PRU ke 11 Tahun 2004.

d) Mengapa Negeri Sabah tercicir daripada persempadanan kali ini sedangkan tidak pernah ianya berlaku sedemikian sebelum ini.?
Rekod menunjukkan Sabah senantiasa bersekali dengan Semenanjung (Negeri-Negeri Tanah Melayu) dalam urusan kajian semula persempadanan.
Hanya Negeri Sarawak sahaja yang kajiannya tidak serentak dengan Semenanjung dan Sabah.

e) Tempoh perbahasan kali ini amat singkat iaitu suku hari sahaja sedangkan ketika Kajian Semula Persempadanan tahun 2003, ia dibentangkan pada 07 April 2003, dibahaskan selama 2 hari lalu diluluskan pada 08 April 2003.

5. YB Kota Bharu turut membangkitkan mengenai mengapa negeri Terengganu dinafikan hak untuk mendapat pertambahan kerusi baru.?
8 kerusi Parlimen yang ada sekarang tidak berubah sejak tahun 1984, iaitu sudah 34 tahun.
Negeri Kelantan pula kali terakhir mendapat pertambahan hanya 1 kerusi pada tahun 1994.

6. PAS sedia menyokong Kerajaan sekiranya pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti dibuat untuk menambah kerusi agar rakyat mendapat perkhidmatan dan pembelaan yang sewajarnya oleh Ahli Parlimen mereka. 
Namun, Kerajaan UMNO-BN kelihatan takut untuk mendapatkan sokongan Pembangkang dalam hal ini.

7. Selain itu, YB Kota Bharu turut menyuarakan mengenai ketidakseimbangan jumlah pengundi yang terlalu ramai di kerusi Parlimen luar bandar.
Sebagai contoh;
Parlimen Baling- 94,089 pengundi
Parlimen Kuala Kedah- 91,478 pengundi
Tumpat- 101,318 pengundi
Bachok- 83,139 pengundi
Marang- 95,904 pengundi
Dungun- 82, 492 pengundi

Ironinya, Parlimen Muar dan Ayer Hitam di Johor yang sifatnya Parlimen bandar mempunyai pengundi hanya 40 ribu lebih sahaja.
Adakah ini adil.?

8. Akhirnya, YB Kota Bharu turut menuntut penjelasan SPR mengapa begitu susah untuk bertemu dengan parti Pembangkang sedangkan parti politik adalah pelanggan utama atau 'stakeholder' yang SPR sepatutnya berjumpa dan berunding.?

9. Dewan selesai berbahas menjelang jam 5 petang. 
TPM Zahid pula menjadi Menteri yang menggulung perbahasan.
Sungguh mengecewakan, TPM Zahid tidak pun menjawab soalan dan isu yang dibangkitkan oleh Pembangkang.
Kerajaan mahu segera dibuat pengundian tanpa berlengah lagi.
Hasil keputusan pengundian menunjukkan undian menyokong sebanyak 129 manakala undian menolak sebanyak 80.

10. Apabila Kajian Semula Persempadanan sudah diluluskan ia bermakna pada bila-bila masa daripada sekarang PM akan mengumumkan pembubaran Parlimen kerana sempadan yang baru sudah boleh digunapakai dalam PRU 14 nanti.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
28 Mac 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo