NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen: Pembentangan syor persempadanan pilihanraya sub judice? - Pandikar Amin








KUALA LUMPUR: Pembentangan laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor yang dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018 adalah tidak sub judice.

Menurut Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, isu sub judice hanya terkait dengan kes-kes tertentu sahaja dan bukan semua perkara yang sedang dipertimbangkan di mahkamah.

"Bukankah ini demokrasi... anda bersetuju untuk tidak bersetuju. Masing-masing ada pendapat. Itu (sub judice) pendapat orang lain, pendapat saya lain.

"Pendapat saya kata, sub judice itu kadang-kadang ia hanya terkait kepada kes-kes tertentu. Adakah ini bermakna Dewan Rakyat tidak boleh buat apa-apa pun?

"Bagi saya, pengasingan kuasa adalah membiarkan Parlimen buat kerja, mahkamah buat kerja dan eksekutif buat kerja masing-masing," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis makan tengah hari sempena Hari Komanwel 2018 di Parlimen, di sini, hari ini.

Jelasnya, kajian persempadanan itu tetap akan dibentangkan kerana ia telah diserahkan kepada semua ahli Parlimen Khamis lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan siapa yang akan membentangkan kajian tersebut.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman kerajaan Selangor untuk mencabar proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan terhadap inkuiri tempatan oleh SPR di Selangor.

Perkara sama turut berlaku kepada kerajaan negeri Pulau Pinang apabila mereka memfailkan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan lapan soalan perundangan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi negara ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo