NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan Harapan tak mampu sisihkan BN - Mustafa Ali



Oleh: Wan Zulkifli Wan Yaacob

KUALA TERENGGANU 27 Mac - Pakatan Harapan tidak mungkin dapat mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan menguasai pemerintahan negara  dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tanpa sokongan Pas.

Veteran PAS, Datuk Mustafa Ali yang juga penasihat parti itu secara peribadi berpendapat, ini kerana mereka tidak berupaya menarik keyakinan pengundi di luar bandar terutama di Semenanjung.

Katanya, dalam senario politik semasa, dengan jumlah kerusi yang lebih banyak di kawasan luar bandar, kerusi yang dimenangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini ternyata masih sukar digugat.

"Tanpa Pas tak mungkin (Pakatan Harapan) dapat mengalahkan BN, kerana bukan senang, kerana memang banyak kerusi kawasan Melayu (majoriti). Di kawasan bukan Melayu, DAP dah menang banyak, hampir majoriti terutama di Semenanjung,"ujarnya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau merumuskan demikian berasaskan pengamatannya di peringkat akar umbi dan berpandukan beberapa hasil kaji selidik oleh pelbagai pihak berhubung peluang Pakatan Harapan dalam mencabar BN.

"Ini pandangan (peribadi) saya... ini pun berdasarkan hasil beberapa kaji selidik yang dibuat dan saya tengok. Kaji selidik, tak mudah dapat tepat, mungkin (sekadar) atas 50 peratus tepat dan yang Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR), sebut paling tidak tepat," kata Mustafa.

Namun beliau menegaskan tidak akan berbangkit lagi soal Pas bersama Pakatan Harapan kerana masing-masing sudah mempunyai pakatan sendiri dan strategi sendiri biarpun bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru atau lebih di setiap kerusi.

Katanya, BN masih mempunyai kelebihan di Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak dan  Sabah manakala beliau yakin Pas dapat mengekalkan kuasanya di Kelantan selain berdepan pertembungan sengit dengan BN di Terengganu dan Kedah.

Menurut beliau cuma di Perak dan Selangor persaingan sengit antara BN dengan Pakatan Harapan dan di sinilah Pas mungkin boleh menjadi 'king maker' namun 'king maker' sebenar PRU-14 pada hematnya ialah Sabah dan Sarawak. - UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo