NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pahang : BN kekal berkuasa?



Oleh: Shuhaimi Al-Maniri 

Gendang Pilihanraya umum ke14 (PRU14) sudah dipalu dan kian terasa. Ramai pemerhati politik juga membayangkan saingan tiga atau lebih penjuru akan berlaku di seluruh negara. Sama ada daripada pihak Barisan Nasional mahupun pembangkang, masing-masing yakin bentuk kerajaan selepas PRU ke14 yang akan diadakan pada bila-bila masa. 

Senario politik PRU14 sedikit berbeza berbanding dengan dua PRU sebelum ini terutama di Semenanjong, dimana pembangkang berpecah kepada beberapa kelopok, terdiri dari blok Pakatan Harapan (Harapan), blok Gagasan Sejahtera (Gagasan) atau kerjasama blok kiri, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang akan bersaing dalam pilihanraya kali ini. 

Pertarungan sengit di Pahang 

Kali ini, Kalam Perantau menyingkap perjalanan politik Pahang ketika ini berada di bawah kekuasaan BN, yang dipimpin oleh Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Menteri Besar Pahang. negeri yang terbesar di semenanjung itu menawarkan 42 kerusi Dun dan 14 kerusi parlimen. 

Adnan seperti dilaporkan media dilaporkan berkata, “senarai lengkap cadangan calon termasuk daripada parti komponen BN untuk bertanding di 14 kerusi parlimen dan 42 kerusi Dun telah dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak”. 

Untuk rekod, BARISAN Nasional (BN) menguasai 30 daripada 42 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pahang. Di peringkat Parlimen pula BN menguasai 10 daripda 14 kerusi selepas Pilihan Raya Umum 2013. 

Situasi ini menunjukkan BN Pahang dalam kedudukan yang selamat dan masih lagi dianggap sebagai benteng kekuatan BN. Pola perubahan dan pengurangan ini dijangka tidak mustahil akan berlaku jika pembangkang berjaya menggerakkan gelombang perubahan rakyat khusus di kawasan 27 buah kerusi di kawasan Felda. 

BN juga ada kekuatan lain untuk mengimbanginya iaitu faktor Menteri Besar Adnan Yaakob sendiri. Namun hakikatnya, pembangkang sedikit demi sedikit berjaya menembusi kerusi BN di Pahang. Hal ini dapat dilihat daripada 37 kerusi BN pada 2008 kini kerusi BN cuma tinggal 30 sahaja pada 2013. 

Pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, pembangkang berdepan laluan sukar untuk menguasai Pahang dan akan kekal di tangan BN. 

"Tiada isu besar yang boleh gugat BN di Pahang, manakala hasrat pembangkang untuk tawan Pekan dilihat kerja yang rumit," katanya. 

"Senario baru PRU14 ialah faktor PAS dan Pakatan Harapan wujud. Maknanya, undi Melayu terbahagi tiga, jadi undi bukan Melayu mungkin jadi penentu di kawasan yang ramai pengundi bukan Melayu," katanya. 

Namun katanya, beberapa kawasan bandar dan luar bandar yang ramai pengundi bukan Melayu sukar diramal. 

Beliau berkata, kawasan kampung dan desa yang ramai pengundi Melayu terutama kerusi tradisi Umno juga sukar untuk pembangkang pecah masuk, dan perbandingan itu dapat dilihat menerusi apa yang berlaku dalam senario PRU12 dan PRU13. 

Tambahan pula katanya, beberapa isu yang berkaitan peneroka juga telah dapat ditangani kerajaan. 

"Isu tanah Felda Jalan Semarak pun selesai, jadi undi peneroka Felda untuk BN pun saya rasa selamat," katanya. 

PRU14: Cabaran daripada Harapan dan Gagasan 

Pengerusi Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman pula mengesahkan, setakat ini hampir keseluruhan pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan sudah diselesaikan. 

PKR akan mengetuai gabungan HARAPAN di Pahang apabila meletakkan 14 calon daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding 11 kerusi, BERSATU (sembilan) dan DAP (lapan). 

Pada PRU ke-13 lalu, PKR menang dua kerusi Parlimen di Kuantan dan Indera Mahkota, manakala DAP memperoleh satu kerusi di Raub dan PAS pula satu kerusi di Temerloh. Di peringkat DUN, DAP memenangi 7 kerusi, iaitu di Tanah Rata, Tras, Mentakab, Bilut, Ketari, Sabai dan Triang. PAS menang tiga kawasan iaitu, di Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan. 

Pilihan raya umum pada tahun 2013 tersebut, PAS mengetuai gabungan pembangkang bertanding 21 kerusi DUN di negeri kelahiran Perdana Menteri itu dibawah nama, Pakatan Rakyat. 

PAS menjangkakan DAP hanya mampu mempertahankan sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai parti itu di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

“Bagi pihak PAS Pahang pula, Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar memutuskan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 38 DUN dan 13 kerusi parlimen pada PRU14 nanti. 

“Kita telah mengenal pasti calon-calon yang bakal bertanding dengan pelbagai latar belakang termasuk aktivis masyarakat, profesional dan golongan agamawan. Sebanyak 40 peratus merupakan golongan muda dan 10 peratus lagi merupakan calon muslimat,” katanya. 

Mengulas lanjut, Rosli berkata pihaknya yakin dapat menawan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu meskipun tanpa kerjasama parti pembangkang lain bersandarkan sokongan 200 badan bukan kerajaan di bawah Gagasan Sejahtera. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo