NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Konsep kearifan lokal sebagai wahana pengukuhan negara






Oleh: Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

PENGENALAN 

Kearifan lokal itu adalah salah satu teras kepada pemikiran watan yang penulis sedang kembangkan pada hari ini. Sebelum dibincangkan konsep kearifan lokal sebagai wahana pengukuhan Negara, penulis mendahului penjelasan secara ringkas latar belakang kuasa- kuasa asing dari Eropah yang mencampuri hal ehwal Tanah Melayu dari sudut matlamat dan pemikiran mereka. 

Kefahaman tentang matlamat utama dan pemikiran kuasa-kuasa asing itu dapat menilai tindak-tanduk mereka sepanjang tempoh campur tangan di Tanah Melayu. 

Fakta-fakta itu amat relevan kerana ia berkaitan dengan sejarah undang-undang watan tanah air. 

Kearifan lokal perlu diihat dalam konsep atau bingkai pemikiran yang betul dan bersifat watani. Untuk memastikan konsep yang betul, penulis mengambil kesempatan untuk menjelaskan penggunaan istilah ‘penjajahan’ dan `kontrak sosial’. 

Hal ini kerana kedua-duanya, ‘penjajahan’ dan `kontrak sosial’ sering dieksploitasi untuk menafikan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu. 

Akibatnya, peranan Raja-Raja Melayu dalam penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 sering dikesampingkan, dan ia digambarkan sebagai hasil rundingan antara pemimpin politik dan rakyat termasuklah kaum penghijrah. 

Pandangan sedemikian selain berupa satu ancaman kepada kesinambungan warisan watan ia juga tidak menggambarkan fakta-fakta dan kedudukan sebenar Tanah Melayu dari aspek kearifan lokal bersendikan sejarah undang-undang watan. 

Sejarah undang-undang watan tanah air itu amat mustahak kerana ia adalah sumber jurispruden. 

Oleh kerana Makalah ini bertajuk ‘Konsep Kearifan Lokal Sebagai Wahana Pengukuhan Negara’ maka amat perlu ditonjolkan ketatanegaraan Negara dalam kerangka watan. 

Justeru, Makalah ini akan menghuraikan aspek ketatanegaraan Negara dari aspek prinsip raja berperlembagaan demokrasi berparlimen, prinsip kuasa eksekutif Persekutuan dan pemakaian undang-undang Islam. 

Isu-isu tentang prinsip raja berperlembagaan demokrasi berparlimen, prinsip kuasa eksekutif Persekutuan dan pemakaian undang- undang Islam perlu dimuktamadkan dalam kerangka prinsip kedaulatan Negara kerana kesemuanya itu terkait dalam pembinaan geopolitik Malaysia. 

Tanpa ketentuan sedemikian, tidak mustahil jati diri watan Negara kita akan terpinggir, malah lebih dahsyat lagi umat Melayu lagi Islam yang merupakan bangsa asal Tanah Melayu tidak lagi mampu mempertahankan kebebasan untuk beramal dengan ajaran Islam secara sempurna.

MATLAMAT CAMPUR TANGAN DAN PEMIKIRAN KUASA ASING

Apabila kuasa-kuasa asing datang ke Tanah Melayu, mereka mempunyai pelbagai tujuan. Portugis dikatakan mempunyai tujuan-tujuan lebih terserlah kerana ia ditonjolkan daripada aktiviti-aktiviti sepanjang penjajahan Kota Melaka, iaitu, `gold, gospel and glory’

Daripada pelbagai tujuan itu, matlamat utama yang tidak boleh dinafikan adalah kepentingan ekonomi; untuk mengaut kekayaan hasil mahsul dan teknologi Tanah Melayu di samping meluaskan pasaran produk Eropah. 

Apabila British menjejak kaki di Pulau Pinang, Revolusi Perindustrian baru bermula di Eropah. Perubahan sosial dan institusi akibat `Glorious Revolution’ pada tahun 1688 mencetuskan Revolusi Pertanian di Britain.

Perkembangan di atas menggalakkan kegiatan perdagangan, kewujudan pasaran kewangan dan pengumpulan modal seiring dengan peluasan wilayah jajahan dan campur tangan. 

Inovasi teknologi selaras dengan kebangkitan era baharu yang dipopularkan sebagai ‘the Age of enlightenment’ mengakibatkan kemunculan persaingan antara Negara- negara Eropah yang bangkit daripada kemunduran dan penindasan zaman `the Dark Ages’

The Age of Enlightenment menandakan satu era percambahan pemikiran ‘scientific- rationale’ sebagai sumber kekuasaan dan legitimasi.

Pemikiran scientific-rationale mencetuskan idea-idea baharu bagi orang-orang Eropah seperti kebebasan (liberty), kemajuan (progress), tolak-ansur (tolerance), semangat persaudaraan (fraternity), kerajaan berperlembagaan (constitutional government) dan pemisahan antara gereja dengan Negara. 

Ahli-ahli falsafah Perancis mempelopori doktrin kebebasan individu (individual liberty) dan tolak-ansur keagamaan (religious tolerance) berbeza dengan pemikiran lama berasaskan kemutlakan monarki (absolute monarchy) dan dogma-dogma gereja Roman Catholic

Pemikiran baharu itu merintis kepada kebangkitan revolusi politik dalam abad ke-18 dan ke-19 yang mula meminggirkan kuasa monarki. 

WARISAN DAN UNSUR LOKAL

Warisan watan atau jati diri Tanah Melayu yang jelas tercatat dalam sejarah dan peristiwa- peristiwa penting tanah air adalah seperti berikut:
  1. Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah empayar berdaulat.
  2. Islam sebagai undang-undang watan (‘law of the land’) bagi Tanah Melayu.
  3. Hukum Kanun Melaka adalah Perlembagaan Tanah Melayu.
  4. Kedaulatan watan bagi Kesultanan Melayu Melaka bersumberkan Islam.
  5. Islam dan Institusi Raja Melayu adalah unsur teras (‘unified central-core element’)
    jati diri Melayu.
  6. Bahasa Melayu bertaraf ‘lingua-franca’ selewat-lewatnya abad ke-15.
  7. Tulisan Jawi adalah salah satu tamadun Melayu yang dimartabatkan.
  8. Alam dan Laut Melayu sudah wujud lebih awal daripada zaman Kesultanan Melayu
    Melaka.
  9. Orang Melayu adalah bangsa asal Semenanjung Tanah Melayu.
  10. Pengasasan Kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat di Tanah Melayu selepas
    terbubarnya Kesultanan Melayu Melaka.
  11. Pemersekutuan semula Kerajaan-kerajaan Melayu melalui Persekutuan Tanah
    Melayu 1948.
  12. Penginstitusian perlembagaan-perlembagaan moden bagi setiap negeri melalui
    kedaulatan Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam.
  13. Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 melalui kedaulatan
    Raja-Raja Melayu.
    Sarjana sejarah tempatan Khoo Kay Kim (1977) bersetuju bahawa Kesultanan
Melayu Melaka adalah sumber tradisi dan kekuasaan yang mengabsahkan asas struktur politik Kerajaan-Kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. 

Sehingga hari ini didapati masih banyak penulisan dan pemikiran yang mengabaikan fakta-fakta di atas. 

Lantaran itu penghujahan tentang satu-satu isu dibuat lebih bersifat persepsi, bukan bertunjang pada fakta dan hakikat. 

Setiap unsur di atas hendaklah diambil kira apabila membicarakan sejarah undang-undang dan ketatanegaraan watan tanah air. 


ISTILAH PENJAJAHAN

Sehingga kini masih ramai para pemimpin, sarjana dan rakyat Malaysia terkeliru tentang status Tanah Melayu semasa pendudukan dan campur tangan kuasa-kuasa asing. 

Lantaran itu, ramai menganggap Tanah Melayu telah dijajah ratusan tahun bermula dengan kejatuhan Kota Melaka, dan diikuti dengan campur tangan British dalam hal-ehwal Tanah Melayu melalui pengenalan doktrin nasihat. 

Istilah penjajahan tidak wajar dimainkan semata-mata untuk meniupkan semangat patriotisme kerana ia menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu dan pembinaan ketatanegaraan Malaysia pada masa kini dan hadapan.

Penggunaan istilah ‘penjajahan’ bagi sembilan buah Negeri Melayu pastinya tidak tepat kerana sekira penjajahan itu benar-benar berlaku, pasti Raja-Raja Melayu tidak dipaksa untuk menandatangani Perjanjian MacMichael dalam tahun 1945, sebaliknya kedaulatan Raja-Raja Melayu diakui dalam beberapa kes mahkamah sebelum Hari Merdeka. 

Selanjutnya, sekira Kerajaan-kerajaan Melayu sudah terjajah pasti tidak diperuntukkan Perkara 181(1) dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas’. Perkara 181(1) berbunyi:

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.

Sejarah undang-undang menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu yang memerintah sembilan buah Kerajaan-kerajaan Melayu sehingga hari ini masih mengekalkan kedaulatan watan seperti pada 1 Disember 1941. 

Tarikh 1 Disember 1941 adalah konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu yang diakui dalam Perjanjian Negeri 1948 antara Raja-Raja Melayu dengan British dan juga Laporan Reid 1957.

Sayugia dinyatakan bahawa Hari Merdeka yang disambut oleh Malaysia pada setiap 31 Ogos adalah tarikh Tanah Melayu bebas daripada campur tangan British dan terbentuknya sebuah persekutuan yang menerapkan sistem demokrasi berparlimen dan penerusan raja berperlembagaan.

DOKTRIN KONTRAK SOSIAL

Penggunaan istilah penjajahan tanpa disedari oleh sebahagian besar para pemimpin, sarjana dan ahli-ahli NGO boleh dieksploitasi untuk menafikan kesinambungan kedaulatan watan bersumberkan ajaran Islam. 

Dakwaan Tanah Melayu telah dijajah juga memberi satu konotasi bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 itu adalah sebuah kontrak sosial yang dirundingkan antara kaum akhirnya disepakati oleh `our forefathers’, iaitu pemimpin Perikatan. 

Ia secara terselindung menafikan bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu itu sebenarnya diinstitusikan oleh sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Kontrak sosial itu sebenarnya adalah satu doktrin fahaman sekular yang dipelupori oleh Jean-Jacques Rousseau. 

Rousseau berpendapat rakyat merupakan pemilik kedaulatan yang legitimat. Beliau memperkenalkan idea baharu mengenai pemegang kuasa kedaulatan melalui bukunya berjudul ‘social contract’

Buku itu menyatakan, ‘a state can be legitimate only if it it is guided by the general will of its member’. ‘General will’ dianggap sebagai sumber perundangan yang menjadi kehendak oleh setiap warganegara. 

Apabila seseorang warganegara mematuhi undang-undang, itu bererti mereka memiliki kebebasan kerana undang-undang digubal atas kehendak rakyat sendiri.

Doktrin Kontrak Sosial itu sekira diterima dalam kerangka undang-undang Malaysia akan menafikan kedaulatan Negara kita memposisikan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah atau wakil Allah (vicegerent of Allah) seperti dibangunkan oleh Kesultanan Melayu Melaka dan diwarisi oleh Kerajaan-Kerajaan Melayu yang menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan Malaysia hari ini.

Justeru dilihat kumpulan yang tidak bersetuju dengan status Malaysia sebagai Negara Islam begitu beriya-iya mempromosikan bahawa Perlembagaan Persekutuan pada hari ini adalah sebuah kontrak sosial dan Tanah Melayu telah dijajah. 

Mereka meletakkan taraf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 sebagai `a consequence of  constitutional bargaining’. Misalnya, Verma (2002: 33) menyatakan, “Malaysia became independent as a consequence of constitutional bargaining between colonial rulers and nationalist elites and was not the product of popular uprising”.


Dakwaan `kontrak sosial’ itu seterusnya membina satu teori baharu bahawa tanpa persetujuan kaum penghijrah dan rakyat British yang mendiami Negeri-negeri Selat tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, peranan Raja-Raja Melayu dalam pemerintahan negara, hak istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu, pastinya kemerdekaan tanahair tidak diberikan oleh British. 

Pendapat lain pula mengatakan kesemuanya itu adalah ciptaan perlembagaan (creation of constitution) yang digubal oleh Suruhanjaya Reid berasaskan amalan `westminstermanakala kekuasaan Raja-Raja Melayu hanya bersifat simbolik. Verma (2002: 59) menyatakan:

The Malay states and their rulers were significant more in terms of their symbolic importance than in the actual powers and functions provided them. Except for matters of Muslim law, the judicial power resided largely in the federal government, apart from the right of state rulers to grant pardons and reprieves.

Timbulnya persepsi sedemikian adalah kerana pihak-pihak berkenaan berpegang bahawa akibat daripada penjajahan maka kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa dan hak orang-orang Melayu sudah terhapus dan hanya dikembalikan apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dimasyhurkan. Padahal Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957 yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah diasaskan oleh persetujuan dalam Perjanjian Negeri 1948. Sekira ia tidak diteruskan sudah pasti Semenanjung Tanah Melayu pada hari ini mempunyai sembilan buah Negara Melayu dan dua buah Negara Selat.

Pada hari ini didapati golongan yang berfikiran liberal menjadikan pegangan kontrak sosial itu satu alasan untuk mempertikai kedudukan Islam sebagai undang-undang watan tanah air, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai bayangan Allah SWT di atas muka bumi (zillu lahu fil ardi), seterusnya hak istimewa orang-orang Melayu dan status bahasa Melayu adalah suatu kedudukan yang diwarisi.


PENGINSTITUSIAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perjanjian Negeri 1948 adalah batu asas bagi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Itu jelas termaktub dalam Fasal 2 Perjanjian Negeri 1948 yang memperuntukkan:

Federation Agreement means the Agreement which is to be made between His Majesty and Their Highnesses the Rulers of the Malay States of Johore, Pahang, Negri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan and Trengganu for the establishment of the Federation, and includes any amendment thereof;

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu sesuai dengan kedaulatan yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka atau bersumberkan ajaran Islam. Konsep kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka perlu difahami mengikut kacamata Islam, bukannya atas premis sekular. Seperti yang telah dijelaskan, pemerintah atau Raja Melaka adalah berkedudukan sebagai bayangan Allah SWT di atas bumi (Andaya & Andaya (1984: 53-55). Atas pegangan aqidah Islam maka Raja-Raja Melayu memiliki kedaulatan yang pada hakikatnya adalah milik mutlak Allah SWT dalam bentuk pengamanahan kedaulatan (Sovereignty Trust). Pengamanahan kedaulatan itulah yang menjamin kuasa tersimpan (reserved powers) terpelihara pada seorang raja yang menganut ajaran Islam atas kewajipan baginda untuk melaksanakan pemerintahan dengan adil.

Perjanjian Negeri 1948 juga antara lain merakamkan persetujuan Raja-Raja Melayu untuk memerintah berdasarkan perlembagaan bertulis. Tertakluk pada kuasa tersimpan Raja-Raja Melayu, kuasa nyata raja-raja telah samada melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 didelegasi dan/atau diserahkan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dengan syarat-syarat yang termaktub dalam perlembagaan tersebut. Terma dalam Perjanjian 1948 jelas menunjukkan bahawa raja-rajalah yang menginstitusikan Perlembagaan. Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, termaktub pemasyhuran berikut;

AND WHEREAS His Majesty has accordingly entered into a fresh agreement with each of Their Highness and in the case of Negri Sembilan with His Highness the Yang di-Pertuan Besar and the Ruling Chiefs (which Agreements are hereinafter referred to together as “the State Agreements”) for the purpose of ensuring that power and jurisdiction shall be exercised by Their several Highnesses in Their several States and it is in each of such Agreements provided that it shall come into operation on the appointed day;

Semasa rundingan perjanjian bagi maksud penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, Raja-Raja Melayu telah bersetuju bagi maksud pembentukan sebuah kerajaan Pusat yang kuat, kedaulatan mereka yang meliputi baki kuasa perundangan dan eksekutif sebagai raja dalam negeri baginda masing-masing tidak mempunyai batasan, melainkan setakat kuasa-kuasa yang secara sukarela dipersetujui untuk diserah atau dibataskan, yang membenarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen untuk melaksanakan suatu kuasa perundangan, serta membenarkan Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Persekutuan melaksanakan suatu kuasa pentadbiran `as a single independent self-governing unit’ bagi sebuah Persekutuan (Memorandum Cadangan DYMM Raja-Raja Melayu (1956: 5-15)).

Peranan Raja-Raja Melayu dalam penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tidak boleh disangkal kerana Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diberikan kuasa perundangan setelah Majlis Mesyuarat Undangan pada 11 Julai 1957 meluluskan Enakmen Negeri, dan ianya hanya diwartakan setelah perkenan Raja Melayu di setiap negeri diperolehi.

Meskipun penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diseliakan oleh sebuah Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Lord Reid, namun bidang kuasa Suruhanjaya Reid hanya setakat mencadangkan sebuah perlembagaan berdasarkan terma- terma rujukan yang disediakan dengan mengambil kira berbagai aspek dan pandangan daripada banyak pihak. Dalam kata mudah, Suruhanjaya Reid ialah the drafter of the proposed constitution manakala Raja-Raja Melayu dan Ratu England sebenar-benarnya the maker of the Constitution. Sebahagian kecil deraf Perlembagaan Tanah Melayu yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Reid pada Februari 1957 telah dipinda oleh sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Raja-Raja Melayu, Perikatan dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British (Federation of Malaya Constitutional Proposal 1957).
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 akhirnya ditandatangani pada 5 Ogos 1957 oleh semua Raja Melayu dengan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Donald MacGillivray bagi pihak Ratu England. Tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu pastinya Perlembagaan dan Kerajaan Persekutuan tidak akan wujud seperti hari ini. Justeru disebut dalam Federation of Malaya Independence Act, 1957, Perenggan (b) Syarat (2) Seksyen 1:

For the termination of Her Majesty’s sovereignty and jurisdiction in respect of the said Settlements, and of all other Her power and jurisdiction in and in respect of the Malay States or the Federation as a whole, and the revocation or modification of all or any of the provisions of the Federation of Malaya Agreement, 1948, and of any other agreements in force between Her Majesty and the Rulers of the Malay States.

RAJA BERPERLEMBAGAAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

Raja berperlembagaan bukan satu sistem politik baharu di Tanah Melayu. Selain mempunyai adat Melayu tidak bertulis sebagai peraturan, penggubalan Hukum Kanun Melaka kemudiannya itu membuktikan Raja-Raja Melayu sejak zaman purba memerintah berdasarkan perlembagaan semasa, apatah lagi apabila mereka menganut agama Islam. Kedudukan Islam sebagai undang-undang watan Tanah Melayu adalah satu atestasi bahawa Raja-Raja Melayu terikat dengan aqidah dan memerintah menurut ajaran Islam. Justeru, prinsip raja berperlembagaan itu sendiri adalah salah satu ciri-ciri prinsip perlembagaan watan Tanah Melayu.

Meskipun Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini” dan fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan oleh pihak yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan, ia tidak sekali- kali menjejaskan kedaulatan yang diwarisi oleh Raja-Raja Melayu. Stockwell (1979: 75) memberi pandangan yang sama: 


Secara tradisinya Raja Melayu dianggap sebagai sumber semua undang- undang, ketua kerajaan dan agama. Baginda bertanggungjawab untuk mempertahankan adat dan struktur masyarakat Melayu. Namun begitu, kuasa baginda mungkin dilaksanakan oleh pihak lain, dan pihak lain mungkin menjalankan tugas-tugas atau menasihati baginda dengan polisi- polisinya tetapi keabsahan bagi semua tindakan berwibawa terletak pada kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Demokrasi berparlimen pula merupakan sistem baharu yang diperkenalkan bagi maksud pemilihan wakil-wakil rakyat dalam badan perundangan. Sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, para pembesar kerajaan dilantik oleh sultan atau raja pemerintah. Dalam pentadbiran tradisional, para pembesar berperanan menurut pangkat dan kedudukan masing- masing. Ada yang diberi tanggungjawab khusus dalam bidang pentadbiran, perundangan, keadilan dan penguatkuasaan, malah ada yang berbidang kuasa lebih daripada satu seperti dinyatakan di atas. Pengenalan sistem demokrasi berparlimen bolehlah dianggap sebagai pemodenan sistem perundangan tanpa mengubah kedaulatan Negara berkonsepkan Raja- Raja Melayu sebagai pemegang amanah atau wakil Allah SAW (Allah’s vicegerent). Justeru, diperuntukkan sumpah berjawatan bagi Yang di-Pertuan Agong beserta lafaz Allahi, Wabillahi dan Watallahi. Malah kedaulatan watan Raja-Raja Melayu terpelihara seperti diperuntukkan dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

PRINSIP KUASA EKSEKUTIF PERSEKUTUAN

Malaysia adalah sebuah persekutuan, bukannya kesatuan. Posisi itu menjamin kedaulatan tersimpan pada Raja-Raja Melayu dan mereka masih mempunyai kuasa baki perundangan, maka ayat ‘Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini’ dalam Perkara 181(1) itu perlu ditafsirkan seperti berikut:

a. Bertujuan untuk menjelaskan bagaimana kuasa prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing yang bersifat inti (substance) dilaksanakan dalam bentuk (forms) melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 


  1. Sebagai rujukan bersilang (cross-reference) antara ciri-ciri kedaulatan watan dengan ciri-ciri kedaulatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
  2. Pengesahan kuasa-kuasa yang didelegat oleh Raja-Raja Melayu kepada bidang kuasa Persekutuan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong, Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dan pindaan- pindaan peruntukan perlembagaan yang memberi maksud sedemikian.
    Kedaulatan watan itulah pada hakikatnya kedaulatan Raja-Raja Melayu di bawah
Perlembagaan Persekutuan. Kedaulatan Raja-Raja Melayu itu menetapkan ruang lingkup prinsip kedaulatan atau prinsip perlembagaan dalam Persekutuan. Dalam erti kata lain, kedaulatan Raja-Raja Melayu yang diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong itu mencorakkan sistem politik dan undang-undang dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Pemakaian kerangka berkonsepkan kedaulatan watan bersumberkan ajaran Islam dalam pentafsiran kedaulatan Raja-Raja Melayu secara tuntas memberi implikasi berbeza dengan apa yang difahami oleh pemikiran Barat.

Oleh kerana pemegang kedaulatan negara yang terpasak dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan adalah Raja-Raja Melayu, maka prinsip perlembagaan negara semestinya sentiasa berada dalam kerangka kedaulatan Raja-Raja Melayu. Justeru, amat mustahak difahami bahawa posisi seorang raja sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT tidak membenarkan baginda meluluskan undang-undang atau polisi-polisi atau keputusan-keputusan yang bercanggah dengan hukum Syara’. Raja-Raja Melayu ketika menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengabsahkan sebarang undang-undang, polisi-polisi atau keputusan-keputusan yang bercanggah dengan syariat Islam. Prinsip yang sama juga terpakai kepada sesiapa yang diberi kuasa di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 39 berbunyi:

Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya 13 atau oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Justeru, dalam pelaksanaan prinsip kuasa eksekutif Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong apabila menimbangkan rang undang-undang, baginda dipandu oleh prinsip perundangan Islam termasuklah doktrin tata urus tadbir yang baik dan kaedah maqasid assyar’iyyah. Selanjutnya, kedaulatan Yang di-Pertuan Agong didapati tidak terhakis dengan semata-mata berlakunya pindaan untuk menguatkuasakan doktrin nasihat melalui Perkara 40 (1A) dan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan penghapusan imuniti Raja-Raja Melayu daripada prosiding undang-undang melalui pindaan antaranya dalam Perkara-perkara 32(1), 181(2), 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan. Kedaulatan watan pada hakikatnya mendasari prinsip kuasa Persekutuan, ia tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan dalam bentuk dan sifat yang bercanggah dengan prinsip perundangan Islam apatah lagi undang-undang Islam. Ringkasnya, prinsip kuasa eksekutif Persekutuan dilaksanakan melalui Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan hendaklah ‘syariah compliance’. PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG ISLAM Kedaulatan Raja-Raja Melayu termasuklah Yang di-Pertuan Agong itu mengabsahkan pemakaian undang-undang Islam termasuklah prinsip perundangannya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Pada hakikatnya, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan pada hari ini adalah pembahagian bidang kuasa antara Negeri dengan Persekutuan yang diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu. Pembahagian kuasa seperti di atas secara interim sudah berlaku melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Bidang kuasa di bawah Negeri ditakrifkan oleh Senarai II Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Itulah Islam di bawah bidang kuasa Negeri. Bidang kuasa di bawah Senarai I Jadual 9 diamanahkan kepada Persekutuan atau Kerajaan Yang di-Pertuan Agong, kebanyakannya adalah aspek awam undang-undang Islam (Public law).

Menurut sejarah undang-undang watan, Senarai I Jadual 9 adalah bidang kuasa asal yang terletak hak pada Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu; berkuatkuasa dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan dilanjutkan dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, ia didelegat kepada Persekutuan atau Kerajaan Yang di-Pertuan Agong. Untuk menyatakan bahawa bidang kuasa Islam secara mutlak di bawah Negeri, pastinya satu kenyataan tidak tepat kerana Islam itu seperti ditafsirkan dalam Kes Lina Joy adalah bersifat ‘way of life’ sedangkan tidak semua bidang kuasa Islam di bawah bidang kuasa Negeri itu mencakupi ‘way of life’. Selain itu, perlu difahami bahawa di sana terdapat Senarai III atau Senarai Bersama Antara Negeri dengan Persekutuan dan Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan baki kuasa pada Negeri. KETATANEGARAAN MALAYSIA Berbeza dengan ‘doctrine of basic structure’ yang diperkenalkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui kes Indra Gandhi baru-baru ini, Negara kita sudah memiliki kerangka ketatanegaraan tersendiri. Selain daripada prinsip raja berperlembagaan demokrasi berparlimen, prinsip kuasa eksekutif Persekutuan dan pemakaian undang-undang Islam yang dijelaskan, prinsip perlembagaan Malaysia didasari oleh kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Sejarah undang-undang tanah air menetapkan empat perkara pokok yang mendasari prinsip kedaulatan Malaysia, iaitu: a. Raja-Raja Melayulah yang menandatangani atau menginstitusikan Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu masing-masing bertarikh 21 Januari 1948 ditandatangani oleh sembilan orang Raja-Raja Melayu. b. Perjanjian Negeri 1948 adalah batu asas kepada perlembagaan moden Kerajaankerajaan Melayu (kecuali Johor dan Terengganu yang lebih awal memiliki perlembagaan moden) dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dalam semua preamble Perjanjian Negeri 1948 bertarikh 21 Januari 1948 dinyatakan matlamat umumnya untuk menyediakan bagi perkembangan perlembagaan di bawah perlindungan British dan bagi keamanan, tertib dan pentadbiran baik kerajaan Negeri-negeri Melayu akan datang. Dalam beberapa Preamble Perlembagaan Negeri-negeri Melayu ada rujukan dibuat kepada Perjanjian Negeri 1948 seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu. d. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang Raja-Raja Melayu yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu. e. Kedaulatan Raja-Raja Melayu bukanlah ciptaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (creation of the modern constitution) tetapi diwarisi bersusur-galur daripada Kesultanan Melayu Melaka atau bersumberkan ajaran Islam. Ketatanegaraan berdasarkan konsep kedaulatan adalah prinsip asas yang bukan sahaja diterima dalam kerangka watan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka bahkan terpakai pada sisi teori Barat. Kedaulatan itu secara umum pada sisi pemikiran Barat dan ajaran Islam adalah penguasa agung yang memiliki hak mutlak untuk menetapkan undangundang. Penguasa agung itulah yang mengabsahkan keluhuran suatu undang-undang (rule of law). Penguasa Agung itu boleh mendelegat fungsi penggubalan undang-undang kepada entiti lain tanpa memprejudiskan hak mutlaknya. Penguasa agung itu berkuasa untuk mencorakkan sistem politik, undang-undang dan prinsip perundangan sesebuah kerajaan atau Negara dan menguatkuasakannya dalam kerangka undang-undang tempatan, termasuklah juga dalam takrifan kerajaan itu negeri-negeri sama ada bersifat bebas, atau yang menyertai persekutuan mahupun kesatuan (Wan Ahmad Fauzi 2018: 35-36). KESIMPULAN Konsep kearifan lokal itu perlu difahami dalam kerangka watan. Kearifan lokal yang menjadi salah satu aspek pemikiran watan merupakan wahana pengukuhan Negara kerana ia melestarikan jati diri watan tanah air. Sesungguhnya kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah Tanah Melayu, Islam sebagai agama bagi Persekutuan, hak-hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukanlah peruntukan-peruntukan yang diwujudkan hasil rundingan antara perbagai kaum di Tanah Melayu; iaitu bangsa asal dengan kaum penghijrah dan rakyat British di Negeri-Negeri Selat. Dalam kata lain, unsur-unsur tempatan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu pemberian atau kompromi oleh kaum penghijrah dan rakyat British dengan bangsa asal. Apa yang didakwa oleh sebahagian warganegara sebagai kontrak sosial pada hari ini dalam beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan hampir kesemuanya adalah warisan Tanah Melayu yang perlu ditafsir mengikut fahaman dan sejarah watan. Tafsiran bersandarkan sejarah watan hendaklah dijunjung oleh setiap warganegara yang mengaku taat setia pada kedaulatan undang-undang dan patuh pada Perlembagaan Persekutuan. Rakyat perlu diberi kefahaman tentang penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan punca kuasa yang memberi legitimasi pada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Ketentuan punca kuasa asal perundangan dapat menetapkan kaedah yang betul dalam pentafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan pada hari ini. Proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu; Laporan Suruhanjaya Reid, Kertas Putih Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan isu-isu yang dipopularkan selama ini hanya menunjukkan proses untuk memindahkan warisan kedaulatan Kesultanan Melayu dalam bentuk perlembagaan bertulis moden, yang telah mengambil kira aspek-aspek perlu untuk diangkat bagi persetujuan Raja-Raja Melayu dan Ratu England, sesuai dengan terma-tema rujukan Suruhanjaya Reid. Ringkasnya, Tanah Melayu tidak pernah terjajah dan Raja-Raja Melayulah yang memberi kuatkuasa Perlembagaan Persekutuan. Kaum penghijrah dan bukan rakyat Raja yang diberikan kewarganegaraan perlu mematuhi dengan taat setiap peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan pada hari ini diinstitusikan oleh Raja-Raja Melayu yang berposisi sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT, maka ia perlu dipelihara sebagai dokumen perundangan manifestasi kepada kedaulatan Negara. Akhirnya, atas prinsip-prinsip yang telah dihuraikan, ia perlu mendasari geopolitik tanah air kita dan teras kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50).

3 Mac 2018



RUJUKAN 

Kes-Kes Mahkamah 

Duff Development Co. v. The state of Kelantan [1924] AC 797 
Lim Chee Cheng & Anors v Pentadbir Tanah Daerah Seberang perai Tengah, Bukit Mertajam [1999] Mighell v. the Sultan Johor [1894]


Buku dan Jurnal 

Abdul Aziz Bari. 2008. The Monarchy: Symbolism, Guardianship and Stability. Dlm. Malaysia at 50 achievement & aspiration. Kuala Lumpur: Thomson Learning. 

Abdul Aziz Bari & Farid Suffian Shuiab. 2009 (Third Edition). Constitution Of Malaysia, Text and commentary. Petaling Jaya. Prentice Hall. 

Ahmad Ibrahim. 1999. Inti Pati Perlembagaan Malaysia. Dlm. Ahmad Ibrahim (ed.) Perkembangan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. pp. 1-39. 

Allen, J. de, A. J. Stockwell and L. R. Wright (eds.) 1981. A Collection of Treaties and Other Documents Affecting the States of Malaysia. Vol. 2 London: Oceana Publications. Andaya, Barbara W. & Leonard Y. 

Andaya. 1984. A History of Malaysia. Hong Kong: Macmillan Press. 

Arieff Salleh Rosman & Yahaya Jusoh. 2015. Tafsir Maudhu’iy; Politik dan Urus Tadbir. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Braddell, Roland. 1931. The Legal Status of the Malay States. M.P.H., Singapore. 

Dictionary by Farlex at legal-dictionary.thefreedictionary.com). 

Federation of Malaya Independence Act, 1957. CH. 60. 5 & 6 Eriz. 2. 

Federation of Malaya: Summary of Revised Constitutional Proposals. 1947. London: His Majestry’s Stationary Office/HMSO (Cmd. 7171). 

Fernando, J. M. 2002. The Making of the Malayan Constitution. Kuala Lumpur: Malaysian Branch of Royal Asiatic Society. 

Gullick, J. M. 1991. The Role of the Malay Ruler between 1850 and 1950. Dlm. Kajian Malaysia, 9 (2). pp: 1-23. 

Gullick, J. M. 1988. Indigenous political systems of Western Malaya. London: Athlone Press. 

Hashim, Mohamed Suffian. 1972. An Introduction to the Constitution of Malaya. Kuala Lumpur: Government Printer. 

Harris, Mark. 1990. History and Culture of Malaysia. Kuala Lumpur: The Pepin Press. 

Hickling, R. H. 1960. An Introduction to the Federal Constitution. Kuala Lumpur: Government Printers. 

Kennedy, J.A. 2007(reprinted). History of Malaya. Kuala Lumpur: S. Abdul Majeed and Co. 

Kertas Putih Malayan Union (yang disiarkan 22 Januari 1946), 

Lopez, Carolina. 2001. The British Presence in the Malay World: A Meeting of Civilazational Traditions. Sari 19 (2001) 3-33. 

Memorandum Cadangan DYMM Raja-Raja Melayu. 12 September 1956.

Mohd Rizal Yaakop & Shamrahayu A Aziz. 2014. Kontrak Sosial Perlembagaan Persekutuan 1957. Kuala Lumpur.Institut Terjemahan & Buku Malaysia. 

Mohd Salleh Abas, Tun. 2015. Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Mohd Idrus Jusi. 1975. Islam dan Beberapa Pengaruh dalam Sistem Politik Melayu Tradisi. Latihan Ilmiah Jabatan Sejarah sesi 1974/75. Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Muhammad Yusof Hashim. 1992. The Malay Sultanate of Malacca. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Perjanjian Malaya Union 1945 (atau Perjanjian Harold MacMichael), 

Perjanjian Pangkor (1874). Perjanjian Persekutuan Malaysia (27 Ogos 1957). 

Perjanjian Persekutuan 1895 (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu). 

Perlembagaan Persekutuan Malaysia (1963). 

P. Sivakumar. 2010. Social Contract: View it objectively. Aliran. Ms 6. 

Report of the Federation of Malaya Constitutional Conference, held in London in January and February, 1956. Annex A of CABINET - FEDERATION OF MALAYA. Memorandum by the Secretary of State for the Colonies. SECRET. C. P. (56) 47. 21st February, 1956. Copy No. 5. 

Salleh Buang. 2015 (2nd. Edition). Malaysian Legal History, Cases and Material. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Sheridan, L. A. 1961. The Federation of Malaya Constitution. Singapore: University of Malaya Law Review. 

Stockwell, A. J. 1979. British Policy and Malay Politics during the Malayan Union Experiment, 1942–1948. Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 

T. Thomas, 2007. The Social Contract: Malaysia’s Constitutional Covenant. Paper at 14th Malaysian Law Conference 2007: Kuala Lumpur. 

The Rulers of Malaysia, Edition Didier Millet, 2011, Archipelago Press. 

Tun Seri Lanang. Sulalat Al-Salatin. 1997. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji. 1997 (editor Virginia Matheson). Tuhfat Al-Nafis. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd. 

Verma, Vidhu. 2003. Malaysia, state and civil society in transition. Lynne Rienner Publishers. 

Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain, YB Datuk. 2013. Rekonfigurasi Epistimologi Jati Diri Melayu: Manifestasinya Ke Atas Silat Seni Gayong. Latihan Ilmiah Sarjana Falsafah Jabatan Sains Sosial Dan Kemasyarakatan sesi 2012/13. Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain, Datuk Dr. 2018. Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurispruden, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan. Selangor: Abadi Sinergi Sdn. Bhd. 

W.G. Shellaber. 1977 (Edisi Ketiga) Sejarah Melayu. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
© all rights reserved
made with by templateszoo