NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kakitangan awam: Mukhriz musnah Harapan ...



PUTRAJAYA 19 Mac - Ugutan Datuk Seri Mukhriz Mahathir memecat pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) merupakan kedangkalan Timbalan Presiden PPBM itu dalam menilai etika dan profesionalisme penjawat awam di negara ini. 

Lagipun, siapa Mukhriz untuk menilai penjawat awam sebagai berniat memihak kepada kerajaan BN sedangkan matlamat sistem perkhidmatan awam adalah berbakti kepada rakyat di samping menjunjung kedaulatan negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta (Pejasma), Datuk Abd. Rahman Manan berkata, kenyataan Mukhriz yang mengugut untuk menghukum pegawai-pegawai kerajaan itu akan hanya menimbulkan ketidakstabilan dalam perkhidmatan awam. 

"Kita perlu ingat bahawa penjawat awam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan tertakluk kepada peraturan dan etika di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mana boleh hendak dipecat mereka sewenang-wenangnya. 

"Tidakkah hasrat Datuk Seri Mukhriz ini menimbulkan huru-hara dalam perkhidmatan awam, pegawai-pegawai kerajaan kita adalah pegawai-pegawai yang cekap belaka tetapi bagaimana mereka hendak bekerja kalau ada pihak yang menakutkan-nakutkan mereka," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mukhriz semasa sesi dialog 'Tak Ado Apo Nak Sorok', di Seremban, semalam, bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP akan memecat semua pegawai tertinggi kerajaan dalam masa 30 hari pertama selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). 

Menurut Ab. Rahman yang merupakan Presiden Persatuan Bekas Kastam, sistem perkhidmatan awam Malaysia merupakan antara sistem perkhidmatan awam yang diakui kecekapannya di mata dunia. 

Beliau yang juga bekas Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan tindakan ugutan daripada Mukhriz adalah pendekatan yang hanya menjejaskan dedikasi dan produktiviti penjawat awam. 

"Dalam waktu ini, mereka (Pakatan Harapan) sepatutnya menerangkan manifesto mereka dalam pilihan raya , bukannya datang untuk mengugut penjawat awam," katanya. - UTUSAN ONLINE 





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo