NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hanya enam rumah sembelihan di Terengganu miliki sijil halal


KUALA TERENGGANU, 2 Rejab 1439H, Selasa – Hanya enam rumah sembelihan ayam dan unggas di Terengganu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) setakat ini.
Jumlah itu hanya sekitar 4.7 peratus berbanding lebih 90 unit rumah sembelihan yang beroperasi di seluruh Terengganu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dr Ghazali Taib berkata, perkara itu sangat menyedihkan kerana ayam adalah antara makanan utama rakyat Terengganu setiap hari.

“Oleh itu, kerajaan negeri mahu agensi pembimbing seperti Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Risda, Felcra, Yayasan Pembangunan Usahawan dan seumpamanya memastikan semua pengusaha di bawah bimbingan mereka memohon dan mendapatkan SPHM.

“Dengan kata lain bantuan modal diberikan kepada mereka setelah mengambilkira keperluan SPHM supaya apabila mereka membuat permohonan, tidak banyak pindaan perlu dilakukan terhadap premis.

“Kesedaran pengguna juga perlu dipertingkatkan supaya hanya memilih produk dan premis yang mempunyai sijil logo halal sahaja.

“Namun sikap pengguna terutamanya orang Islam di negeri ini yang kurang peka terhadap SPHM menjadikan produk dan premis yang tidak mempunyai SPHM juga mendapat sambutan yang menggalakkan. Perkara ini perlu diubah agar tidak lagi diambil mudah pada masa depan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Enam rumah sembelihan yang telah memperolehi SPHM ialah TD Poultry, HDA Poultry Sdn Bhd, Musalmah Farm Sdn Bhd, Kompleks Abatoir Dungun, Kompleks Abatoir Gong badak Kuala Nerus dan Ayam Besut Trading.

Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh rumah sembelihan untuk memperoleh SPHM ialah melantik seorang eksekutif halal dan minima dua penyembelih Muslim yang mempunyai Sijil Tauliah Penyembelih yang diperoleh dari Bahagian Pengurusan Halal, JaHEAT, seorang pemeriksa halal Muslim (kecuali bagi penyembelihan yang kurang dari 500 ekor unggas sehari) dan mempunyai Surat Perakuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Dr Ghazali berkata, sehingga 28 Februari lalu, seramai 99 orang penyembelih telah lulus dan berjaya memperoleh Sijil Tauliah Penyembelih JaHEAT.

“Berdasarkan statistik yang diberikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) perlu menggandakan usaha promosi dan juga program kesedaran terutamanya di kalangan pengusaha dan industri untuk memohon SPHM. Kerjasama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi lain terutama agensi pembimbing boleh dipertingkatkan.

“Harapan kita adalah menjadikan Terengganu sebagai antara negeri yang terkehadapan dalam SPHM, walaupun industri bertaraf multinasional amat kurang di negeri ini,” katanya. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo