NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GST: selepas mansuh, PAS yakin ada cara lain jana ekonomi Negara


SHAH ALAM: PAS yakin negara masih mampu memperolehi pendapatan yang tinggi meskipun cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan jika parti itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia boleh berlaku apabila negara tidak lagi terpalit dengan masalah rasuah dan sistem kewangan negara diurus dengan baik. 

"Bila hasil sumber negara tanpa cukai diurus dengan baik, tiada kebocoran, tiada projek membazir sudah tentu banyak perkara yang boleh kita hapuskan. 

"Satu contoh yang menarik umpamanya Jepun. Jepun strategi keselamatan melalui pemakanan yang cukup bagi negaranya. Jepun memberi subsidi 99 peratus kepada petani-petani yang menghasilkan makanan, bermakna petani hanya belanja 1 peratus sahaja. 

"Dari mana sumbernya? Sumbernya ialah melalui cukai-cukai yang drastik. Hasil yang banyak akan diperoleh melalui industri yang ditampung disitu. Ini boleh berlaku insyaAllah. 

"(Jadi) Dan apabila tiada rasuah, tiada salah laku di mana mereka selesa walaupun dikenakan cukai sebegitu rupa," katanya kepada pemberita selepas hadir ke program Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera, di De Palma Hotel Shah Alam pagi tadi. 

Terdahulu Hadi ditanya pemberita bagaimanakah PAS akan menjana pendapatan negara jika GST dimansuhkan sekiranya mereka menakluk kerajaan nanti. 

PAS sebelum ini mengumumkan akan memansuhkan GST dalam senarai manifesto Gagasan Sejahtera yang dilancarkan minggu lalu. 

GST itu bagaimanapun akan diganti dengan cukai baru yang akan diterangkan dengan lebih lanjut kelak. 

Selain GST, manifesto PAS bertemakan 'Malaysia Sejahtera' turut menawarkan sembilan teras dengan 20 tawaran utama dan khas. 

Antara lain janji manifesto PAS adalah melupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meringankan bebanan golongan muda sebagai inisiatif permulaan ke arah pelaksanaan pendidikan percuma. 

PAS juga berjanji akan menjalankan pengstrukturan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun selain memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan. 


-ze

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo