NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dewan Rakyat lulus usul kajian semula persempadanan



KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pagi tadi.

Usul itu diluluskan Dewan Rakyat menerusi undi belah bahagi selepas dibahaskan 14 Ahli Parlimen membabitkan tujuh dari pihak kerajaan dan tujuh dari pembangkang.

Usul itu disokong dan digulung oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri turut hadir menyaksikan proses undi belah bahagi dijalankan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mengumumkan keputusan itu berkata sebanyak 80 Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan usul berkenaan manakala 129 lagi bersetuju.

"Ahli Yang Berhormat. Oleh kerana tidak kurang daripada setengah daripada jumlah ahli majis ini mengundi bersetuju dengan usul nombor satu, maka usul ini disetujukan. Ahli Yang Berhormat, mesyuarat ditangguhkan sehingga jam 10 pagi esok," katanya disambut sorakan Ahli Parlimen kerajaan.

Menerusi persempadanan semula itu, tiada pertambahan kerusi bagi kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi persempadanan itu, sekali gus menjadikan jumlah kerusi parlimen kekal 222 kerusi dan 587 kerusi bagi DUN.

Namun, menerusi laporan persempadanan yang diluluskan itu, sebanyak 12 nama kawasan Parlimen dipinda manakala 29 kawasan lagi membabitkan DUN.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika menggulung perbahasan usul itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengambil kira pelbagai perkara ketika menjalankan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Katanya, semua isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen yang membahaskan usul berkenaan juga diambil perhatian SPR dan kerajaan berlapang dada serta terbuka untuk mendengar pandangan berkenaan.

Beliau berkata, SPR menerima representasi dikemukakan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kumpulan 100 pemilih berdaftar termasuk pergi ke kawasan pedalaman untuk mendapat penjelasan daripada pembantah.

"Terdapat syor yang dipersetujui dan tidak dipersetujui oleh kerajaan tetapi kerajaan tidak mengganggu atau mempengaruhi keputusan SPR.

"Sepanjang tempoh pendengaran awam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya, SPR menerima 1,685 representasi sepanjang tempoh pameran pertama dan kedua.

"Secara keseluruhannya SPR mempertimbang semua bantahan merangkumi 36 peratus siasatan kawasan tempatan. Sebanyak 1,041 atau 62 peratus represantasi termasuk sokongan diterima untuk sokongan, 545 atau 32 peratus ditolak dan sebanyak 99 representasi atau enam peratus diterima dan ditolak.

"Kos keseluruhan dibelanjakan SPR untuk menjalankan kajian ini ialah RM5.4 juta membabitkan RM3.9 juta pada taun 2015 dan RM1.5 juta pada tahun 2016," katanya ketika menggulung perbahasan usul berkenaan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/404733/dewan-rakyat-lulus-usul-kajian-semula-persempadanan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo