NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa hubungan Guan Eng dengan suspek SPRM?



GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng diminta memberi penjelasan mengenai hubungannya dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan rasuah untuk menutup siasatan projek terowong dasar laut.

Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN negeri, Jason Loo, berkata ia susulan penularan sekeping gambar memaparkan dua individu menyerupai Guan Eng dan ahli perniagaan terbabit yang viral di laman sosial, sejak semalam.

Sehubungan itu, katanya, Guan Eng wajar mengemukakan penjelasan berhubung penularan gambar itu kerana ia mempunyai kaitan dengan isu projek mega bernilai RM6.3 bilion, selain turut membabitkan kepentingan awam.

"Kita nak tahu adakah kedua-dua individu menyerupai Guan Eng dan ahli perniagaan itu benar-benar mereka. Beliau juga perlu jelaskan sama ada ahli perniagaan terbabit kini disiasat SPRM? Adakah mereka sudah lama berkenalan?

"Apakah hubungan mereka, adakah hanya sebagai ahli politik dengan seorang ahli perniagaan atau rakan karib? Guan Eng juga perlu perjelas bila gambar terbabit diambil?," katanya pada sidang media di sini.

Semalam, Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang direman bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM19 juta untuk menutup siasatan projek mega terowong dasar laut.

Kelmarin, sekeping gambar menyerupai Guan Eng dan seorang individu dipercayai ahli perniagaan bergelar Datuk Seri di sebuah kediaman mewah, viral di laman sosial.

Sementara itu, Naib Pengerusi GERAKAN negeri, Lee Boon Ten mengkritik pendirian Kerajaan DAP Pulau Pinang yang masih mengekalkan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) sebagai syarikat pemaju utama bagi projek terowong dasar laut.

Katanya, tindakan itu antara lain jelas memaparkan sikap pilih kasih diamalkan kerajaan negeri apabila tetap mengekalkan CZC yang kini dibayangi pelbagai kontroversi dan dakwaan memberi rasuah untuk menutup siasatan SPRM.

"Ini kerana, kerajaan negeri sebelum ini, menggugurkan Beijing Urban Construction Group (BUCG) daripada konsesi projek berkenaan selepas syarikat itu terbabit dalam insiden kren jatuh di Kuala Lumpur, pada Ogos 2016.

"Justeru, rakyat perlu tahu apa justifikasi kerajaan negeri mengekalkan CZC sebagai syarikat pemaju utama projek terbabit, walaupun ia dibayangi pelbagai kontroversi dan dakwaan merasuah RM22 juta untuk menutup siasatan SPRM.

"Kita juga mahu bertanya mengenai isu pembayaran yang dibuat kepada CZC, sama ada ia akan dipulangkan kepada kerajaan negeri jika kontrak syarikat terbabit digugurkan?" katanya.

Dalam sidang akhbar berasingan, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP enggan menerima sebarang soalan berkaitan isu terowong dasar laut.--BHarian









________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo