NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ROS didesak batal PPBM



KLANG: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) didesak menggantung atau membatalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika isu perlanggaran perlembagaan yang dilakukan pimpinan parti bertentangan dengan mana-mana Akta Pertubuhan Malaysia.

Bekas Ketua Pemuda PPBM Bahagian Klang, Mohd Kairol Faizal Mohd Nordin, berkata sehingga kini pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas daripada ROS walaupun sudah membuat tindakan susulan ke pejabat jabatan itu.

"Setakat ini, ROS masih berdiam diri dan tidak memberi sebarang maklum balas berkenaan tindakan yang akan mereka ambil terhadap PPBM dan pimpinan tertinggi PPBM.

"Kami difahamkan ROS menerima lebih daripada 400 aduan daripada ahli-ahli PPBM berkenaan isu perlanggaran perlembagaan ini.

"Perbuatan melanggar perlembagaan parti demi kepentingan politik peribadi tidak boleh diterima dalam mana-mana pertubuhan yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara.

"Ini jelas bahawa bagi mereka, suara ahli bukanlan sesuatu yang penting malah perbuatan mementingkan kuasa dan kroni adalah satu penganiayaan dalam organisasi politik," katanya dalam sidang media di sini.

Justeru, Mohd Kairol Faizal berkata, Pemuda PPBM Bahagian Klang menyambut baik penganjuran Himpunan Aman untuk mendesak ROS mengambil tindakan terhadap PPBM dan pimpinan tertinggi PPBM yang melanggar perlembagaan parti dalam beberapa perkara termasuk melakukan penipuan.

"Antara penipuan yang dilakukan termasuk mewujudkan Sayap Armada yang tidak selaras dengan perlembagaan parti dan menganjurkan Perhimpunan Agung Tahunan yang bertentangan dengan Peraturan Perhimpunan menurut Perlembagaan PPBM.

"Kira-kira 200 ahli Pemuda PPBM Bahagian Klang akan turut sama menghadiri Himpunan Aman yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari ini di Perkarangan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya.

"Ahli pemuda PPBM Selangor juga mendesak ROS segera mengambil tindakan terhadap PPBM dan pimpinan tertinggi.

"Pada masa sama Pemuda PPBM Bahagian Klang meminta ahli-ahli akar umbi PPBM yang merasakan ditipu dan dianiaya oleh pemimpin-pemimpin hipokrit ini untuk hadir pada Himpunan Aman ini untuk memastikan hak-hak sebagai ahli didengari ROS," katanya.

Beliau berkata, Pemuda PPBM Bahagian Klang sudah bersedia berhadapan dengan apa juga tindakan parti terhadap mereka.

"Sama ada kami ahli atau tidak, tidak ada bezanya kerana jika kami bersuara sekali pun pimpinan tertinggi tiada ambil kisah mengenai kami.

"Kebajikan kami juga tidak dijaga. Malah, apabila seorang ahli kematian anak dia tidak dilawati sebaliknya diarahkan membuat aktiviti parti, jika tidak akan dibuang keahlian.

"Jika organisasi itu betul, sudah tentu ahli tidak akan buat aduan kepada ROS. Jadi, sekiranya dibatalkan kami terima.

"Tidak kisah walaupun Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah jadi perdana menteri, jika melakukan kesalahan perlu dikenakan tindakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa ada pemimpin PPBM membawa masuk keluarga terdekat, kroni dan rakan mereka ke Klang dan diberikan jawatan dengan menyingkirkan individu yang diamanahkan di peringkat awal termasuk beliau sendiri.

"Kalau sudah ada Ketua Pemuda, kenapa perlu ada penyelaras? Begitu juga Ketua Penyelaras Srikandi yang baru diwujudkan dengan melantik kroni walaupun sudah ada Ketua Srikandi Klang?

"Kroni mereka datang dari luar Klang yang diberi jawatan di Klang kerana mereka fikir mereka akan dapat rebut kerusi Pelabuhan Klang, hendak bertanding, hendak jadi calon tetapi tidak turun padang jaga kebajikan," katanya.--BHarian

















________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo