NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Putuskan hubungan dengan Israel



Oleh Zanariah Abd Mutalib

zanariah_mutalib@bh.com.my

PUTRAJAYA: Negara Islam digesa memutuskan sebarang bentuk hubungan dengan Israel sebagai bukti sokongan padu terhadap perjuangan umat Islam mempertahankan Baitulmaqdis.

Gesaan itu adalah antara 14 resolusi yang dicapai dalam Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, sempena Festival MyAQSA di sini, hari ini.

Penyelaras Persidangan Meja Bulat MyAQSA, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata sebahagian negara Arab mula membentuk hubungan dengan Yahudi dengan menerima kedutaan Israel di negara mereka dan ia jelas tidak membantu perjuangan umat Islam di Palestin.

"Seluruh negara umat Islam perlu memutuskan hubungan ini kerana jika satu negara saja, ia tidak akan berkesan. Malaysia boleh menjadi pelopor dalam menggerakkan perkara ini.

"Jalan membebaskan al-Aqsa adalah memutuskan sebarang hubungan politik, perniagaan, pendidikan dan sebagainya dengan rejim Yahudi. Ini memerlukan tindakan kerajaan dan umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya persidangan itu, hari ini. Persidangan dihadiri 100 ulama dari 30 negara.

Yang turut hadir ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Ketua Kesatuan Ulama Islam Lubnan, Sheikh Ahmad Al Omari; Pengerusi Pusat Pembentukan Ulama Mauritania, Syeikh Muhammad Hasan Walid ad-Dedew dan Pengerusi Majlis Islam Syria, Syeikh Usamah al-Rifa'i.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, persidangan itu juga mencadangkan isu Baitulmaqdis dimasukkan dalam silibus pengajian pendidikan Islam di negara Islam bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.

"Isu Palestin adalah isu akidah, di mana sebuah negara dan masyarakatnya dizalimi, dirampas tanah mereka oleh Yahudi dengan bantuan dunia.

"Saya sebagai Ahli Parlimen akan menyuarakan perkara ini kepada kerajaan supaya ia dapat dimasukkan dalam sistem pendidikan," katanya.

Khairuddin berkata, resolusi berkenaan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dengan beliau di Seri Perdana, di sini, hari ini, selain akan turut diserahkan kepada pemimpin dunia Islam lain.

"Selagi mana isu ini belum berakhir, umat Islam mesti terus berbincang untuk 'menghidupkannya' kerana jika kita tidak bercakap mengenainya, umat Islam akan merasai apa yang berlaku," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/381811/putuskan-hubungan-dengan-israel



________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo