NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: SPR perkenal kaedah 'urutan jari' pada pengundi



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan kaedah ‘urutan jari’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi mengelak sebarang penipuan semasa proses pembuangan undi.

Pendaftar Akademi Pilihan Raya SPR Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata menerusi prosedur baru itu, kerani yang bertugas di pusat pengundian akan memeriksa kedua-dua belah jari pengundi dengan lebih teliti untuk memastikan mereka tidak memakai sarung jari atau mempunyai kesan dakwat.

“Kerani yang bertugas akan memakai sarung tangan untuk memeriksa jari pengundi sebelum mereka dibenarkan mencelup jari ke dalam botol dakwat pilihan raya dan langkah ini kita lakukan memandangkan pada masa sekarang sudah ada sarung jari tiruan.

“Dalam masa sama ia juga untuk memperkemaskan lagi prosedur dalam proses pengundian bagi mengelakkan sebarang penipuan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat sempena Siri Jelajah Taklimat PRU14 di Auditorium RTM di Kuantan hari ini.

Lebih 60 pengamal media Pahang mengikuti taklimat itu yang bermula dari 9 pagi hingga 1 tengah hari yang turut disampaikan Penolong Pengarah Pendidikan Pengundi Akademi tersebut Abdul Fatah Mohd Pilus.


Dalam program itu, pihak media diberi penerangan berhubung perjalanan sistem pilihan raya di negara ini di samping prosedur permohonan pas media dan tatacara membuat liputan sepanjang PRU ke-14.

Akademi Pilihan Raya SPR turut melakukan simulasi senario proses pengundian dan pengiraan undi yang dilakukan sepenuhnya di pusat mengundi di seluruh negara pada hari pengundian, selain turut menyentuh isu berbangkit setiap kali pilihan raya.

Beliau turut berharap hasil maklumat yang diperoleh itu dapat digunakan pengamal media untuk disebarkan kepada orang ramai bagi mengelak persepsi negatif rakyat kepada SPR.


Katanya Pahang merupakan negeri keempat program SPR turun padang selepas Terengganu, Kelantan dan Selangor.

“Kami akan teruskan program seperti ini, dengan penjelajahan ke negeri lain berdasarkan jemputan untuk memberikan lebih banyak maklumat dan pendedahan kepada rakyat dalam meningkatkan kesedaran bahawa prosedur pilihan raya yang SPR lakukan selama ini telus dan tidak memihak kepada mana-mana parti,” katanya.

-Bernama








________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo