NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU-14: Pengagihan Kerusi BN Masih Dibincang



KUALA LUMPUR, 25 Feb -- Pembahagian kerusi bagi Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) masih dalam perbincangan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Masih lagi dibincang...belum ada keputusan, kita serah pada Pengerusi (BN)," jawabnya ketika ditanya media mengenai pengagihan kerusi BN bagi PRU14 selepas menyempurnakan majlis pelepasan program larian 'Big Walk Volunteer in Community Engagement' (VOICE) bersempena sambutan Hari Wilayah 2018.

Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung UMNO, sebelum ini berkata parti itu telahpun menyerahkan senarai calon berpotensi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, terdiri daripada gabungan muka baharu dan calon berpengalaman.

Selain UMNO, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam juga dilapor telah menyerahkan senarai lengkap nama calon yang akan bertanding bagi sembilan kerusi Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 kepada Najib, yang juga Pengerusi BN.

MCA pula, sementara menunggu 'restu' Najib, telah mengumumkan beberapa nama calon parti itu bagi kerusi Parlimen dan DUN, antaranya bagi kerusi Parlimen Labis, Padang Serai, DUN Sekinchan dan DUN Bekok, selain meletakkan kriteria utama pemilihan kepada calon yang 'rajin turun padang'.

Dalam pada itu, menjawab soalan mengenai usaha menarik anak muda untuk mendaftar sebagai pengundi, Tengku Adnan berkata pelbagai sesi penerangan telah diatur untuk meningkatkan kesedaran golongan muda untuk mengundi dan kepentingan undi mereka bagi masa depan negara.

"Ada antara mereka yang ambil mudah, ada yang tidak kisah, tapi kami akan mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran mereka untuk mengundi," katanya.

Program VOICE tahun ini disertai kira-kira 500 sukarelawan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain.

Inisiatif baharu itu bertujuan menyemarakkan semangat kesukarelawan melalui penglibatan komuniti di semua peringkat.-- BERNAMA











________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo