NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PPBM Berkeras Tanding 12 Kerusi DUN Selangor


SHAH ALAM -- Kemelut pengagihan kerusi Pakatan Harapan di Selangor dilihat semakin ketara apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor berkeras untuk bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada pilihan raya umum.

PKR sebelum ini turut menyatakan untuk bertanding di 12 kerusi berkenaan.

Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehudin Amiruddin berkata hasrat PPBM untuk bertanding di kesemua DUN berkenaan adalah selaras dengan matlamat asal penubuhan parti yang mahu bersaing dengan UMNO pada pilihan raya umum ke-14.

"Kita tidak akan melepaskan walaupun satu kerusi dan tetap akan pertahankan (bertanding) 12 kerusi itu.

"Justeru, kita menyerahkan cadangan nak bertanding 12 kerusi UMNO ini kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor untuk membuat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat PH Selangor mengenai pengagihan kerusi DUN Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar di sini hari ini.

Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya dimuktamadkan 31 Jan lepas terpaksa dilanjutkan untuk seminggu lagi berikutan perbalahan antara parti-parti dalam pakatan itu.-- BERNAMA


AGIH KERUSI DUN SELANGOR: PPBM TIDAK MAHU BERI LALUAN KEPADA PKR

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor enggan mengambil kira keputusan perbincangan pengagihan 35 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diputuskan semalam.

Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin, berkata parti itu juga tidak berbincang mengenai pengagihan kerusi pada mesyuarat hari ini selepas membuat keputusan mahu bertanding di semua 12 kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, walaupun PPBM menolak kerusi DUN Sijangkang yang disandang Datuk Ahmad Yunus Hairi daripada PAS, pihaknya menerima kerusi DUN Jeram yang kini diwakili BN, selain memberikan cadangan mengenai kerusi yang parti itu mahukan.

“Apa yang dibincang semalam, kita tidak ambil kira. Sebanyak 12 kerusi DUN yang kita mahu itu, ada yang bertindih kerana PKR juga mahu kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Pejabat Pilihan Raya PKR di Seksyen 14, semalam.

Sallehuddin berkata, beliau menyerahkan kepada Pengerusi Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Dr Xavier Jayakumar untuk membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Sallehuddin berkata, PPBM negeri tidak akan bertolak ansur atau memberi kerusi yang dimahukan PKR, malah akan mempertahankan hasrat mereka terhadap kerusi BN.

“Kita mahu kerusi itu kerana matlamat asal penubuhan parti iaitu mahu ganti UMNO, saing UMNO.

“Jika mahu PPBM kurangkan kerusi, itu tidak mungkin tetapi jika bagi kerusi lebih, kami terima,”katanya.

Sementara itu, Setiausaha PH negeri, Zuraida Kamaruddin, berkata mesyuarat hari ini menyelesaikan pengagihan satu kerusi menjadikan 36 kerusi DUN sudah diselesaikan setakat ini.

“Baki 20 lagi kerusi DUN akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang,” katanya.--tv14.my










________________ Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo