NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PGSM desak Kerajaan Negeri pinda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri



Ahad, 3 Februari 2018
Bersamaan 17 Jamadilawal 1439H

KENYATAAN MEDIA 

PGSM DESAK SEMUA KERAJAAN NEGERI MEMINDA ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM NEGERI DENGAN MEMBERI KUASA SEMAKAN KEHAKIMAN KEPADA MAHKAMAH SYARIAH UNTUK MENDENGAR SEMAKAN KEHAKIMAN ATAS APA-APA KEPUTUSAN YANG DIBUAT OLEH MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI ATAU INSTITUSI ISLAM LAIN DI PERINGKAT NEGERI

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Ghandi lwn Mohd Ridhuan Abdullah pada 29 Januari 2018 lalu, PGSM dengan ini mengeluarkan kenyataan susulan sebagaimana berikut :

1. PGSM sedar bahawa dalam kes berkenaan, Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa semulajadinya (inherent power) untuk melakukan “judicial review” bagi menentukan keesahan (legality) Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pendaftar Muallaf, Jabatan Agama Islam Perak, di bawah Majlis Agama Islam Perak.

Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Perakuan Pemelukan Islam itu tidak sah/batal di sisi undang-undang, lantaran “anak-anak tersebut” tidak melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 96 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004. 

2. PGSM berpandangan bahawa apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tersebut adalah disebabkan Mahkamah Syariah tidak diberi kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh mana-mana Jawatankuasa atau institusi di bawah Majlis Agama Islam. 

Disebabkan itu, apabila ada pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan yang dibuat oleh mana-mana institusi Islam, kebanyakannya akan di bawa ke mahkamah Sivil. Maka, di situlah berlakulah campurtangan mahkamah sivil terhadap perkara-perkara yang sepatutnya didengr dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

3. Oleh itu, PGSM dengan ini MENGGESA dan MENCADANGKAN semua Kerajaan Negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi Majlis, di bawah Enakmen berkenaan.

Pindaan sedemikian telah pun dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor pada Mei 2015, dengan memasukkan peruntukan baharu Seksyen 66A dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015) sebagaimana berikut:

Seksyen 66A- Bidangkuasa Mahkamah tinggi syariah bagi semakan kehakiman

66A. Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.”

4. Keputusan mengejutkan Mahkamah Persekutuan tersebut sepatutnya menjadi “wake-up call” kepada pihak Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama negeri untuk SEGERA memperkemaskan undang-undang syariah masing-masing, agar dapat melindungi kepentingan orang-orang Islam dan tidak memberi sebarang ruang untuk dibawa ke mahkamah sivil, dalam memutuskan perkara berkaitan orang Islam. 

Sekian, untuk siaran. 

 “Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,
MUSA AWANG
Presiden,
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)










________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo