NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penjawat awam berhak bersuara dalam politik


Oleh Dr Siti Suriani Othman
CADANGAN membenarkan guru aktif berpolitik mungkin bukan isu sebenar yang harus dibincangkan. Isu ini sebenarnya lebih daripada itu, dan memerlukan kematangan untuk semua pihak berupaya menelitinya bagi kebaikan bersama.

Isunya lebih besar daripada apa yang kita fikirkan kerana ia sebenarnya mempersoalkan seluruh penjawat awam profesional iaitu: Wajarkah menzahirkan kepada umum jika mereka berpihak?

Nyata setiap manusia berpihak, terutama dari segi politik tetapi menzahirkan pendirian politik sesuatu yang berbeza.

Menjadi ahli dalam parti politik dan aktif berpolitik juga dua perkara berbeza. Dalam masa yang sama, mengkritik dengan niat memperbaiki keadaan dan menghancurkan mempunyai persamaan, tetapi nyata dua perkara yang lain. Lain niatnya, lain prosesnya dan lain kesannya.

Dalam menyusuri isu ini, yang jelas kita tidak boleh menafikan hak individu dalam memberi pandangan. Itu jelas. Maksudnya, memberi pandangan tentang politik hak individu. 

Namun, kita juga perlu jelas dengan perbezaan tadi. Menzahirkan pendirian politik, aktif berpolitik dan mengkritik perkara yang menyulitkan keseimbangan dalam kalangan penjawat awam.

Kekalkan integriti kerja

Keseimbangan merujuk kepada sama ada mereka boleh mengekalkan integriti kerja dan tidak berlebih-lebihan dalam mengerjakan sesuatu yang bukan hakiki.

Namun, yang paling jelas ialah keperluan meraikan pandangan yang membina, termasuk berbentuk kritikan. Golongan profesional harus dilihat sebagai golongan yang berupaya memacu kemajuan negara bukan hanya melalui keringat sebagai penjawat awam, tetapi juga sebagai warganegara yang mempunyai pengalaman dan pandangan tersendiri terhadap sistem negara.

Dalam hal ini, menafikan hak mereka sebagai warga negara untuk bersuara dalam politik tidak seharusnya disekat. Pandangan yang diberikan juga harus dilihat dengan lebih terbuka, jangan pula dengan sewenang-wenangnya mereka dikatakan sebagai penentang kerajaan. 

Dengan perkembangan media tanpa sempadan hari ini, kerajaan perlu terbuka mendengar dan meneliti kritikan agar setiap rasa dan pandangan rakyat diambil kira dan diambil berat, tanpa rasa gusar dalam hati penjawat awam yang mereka akan dilabel sebagai 'penentang'.

Ada sesuatu yang perlu kita pelajari daripada falsafah kebebasan yang dianjurkan oleh Rudolf Steiner, ahli falsafah Austria yang cuba memahami sejauh mana manusia dilihat dan boleh dikatakan bebas. 

Pada pandangan Steiner, pada prinsipnya, tiada had bagi pengetahuan tetapi kita perlu mengetahui asas kepada setiap perbuatan. Jika asas tidak diketahui, mustahil kebebasan boleh wujud. Dalam proses ini, Steiner menekankan aspek berfikir, yang dilihat sebagai tunjang kepada keseluruhan proses kebebasan.

Dalam memahami sejauh mana penjawat awam boleh berpolitik, mungkin pandangan Steiner ini boleh dijadikan landasan untuk kita semua mula berfikir dalam meneliti proses politik. Pandangan dan kritikan tanpa proses berfikir pula menampilkan kebodohan, dan bukannya kebebasan. 

Dalam pada itu, niat seseorang itu perlulah murni, bahawa setiap pandangan berbaur politik yang diutarakan untuk kebaikan bersama, dan bukannya untuk tujuan membantut kemajuan dan menafikan keamanan.--BHarian

Penulis adalah Pensyarah Kanan Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia
















________________ Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo