NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuzik temui damai dalam Islam



Populariti tidak hanya berupaya membawa seseorang 'hanyut' malah sebaliknya mampu menarik artis untuk mendekati agama.

Malah bagi sesetengah kes, populariti itu juga membuka hati seseorang untuk mendalami ilmu Islam.

Di Indonesia ada sejumlah penghibur yang memilih menjadi pendakwah ketika nama mereka meniti di bibir peminat.

Berikut adalah antara mereka yang dimaksudkan:

Reza

Pemain dram band Noah ini memulakan fasa baru hidupnya pada 2016.

Namun dia terlebih dulu menarik diri daripada kumpulan yang mempopularkan namanya itu pada 1 Jan 2015.

Kata Reza, pengunduran dilakukan selepas dia tidak lagi berasa apa-apa sewaktu mengetuk peralatan yang ada di depannya semasa membuat persembahan.

“Ini keputusan saya sendiri sejak dua tahun lalu. Saya dan mereka juga bukan bersama cuma untuk satu atau dua tahun saja,” kata Reza ketika sesi wawancara perpisahannya dulu.

Demi meneruskan aktiviti berdakwah, pemuda dengan nama penuh Ilsyah Ryan Reza, 40, itu lebih fokus mendalami Islam.

Selain berdakwah, Reza turut mengembangkan perniagaan yang diusahakan. Dia juga memasang niat untuk menghafal al-Quran.

Sunu Hermaen

Anggota kumpulan Matta Band ini memilih untuk menukar jalan hidupnya pada 2015.

Matta Band mula dikenali ramai sejak lagu Ketahuan dihasilkan sekitar 2008.

Namun, lama-kelamaan Sunu dan Matta Band semakin jarang muncul di publik. Dan di luar pengetahuan ramai Sunu sebenarnya aktif berdakwah.


Dalam sebuah wawancara, Sunu mengakui berhijrah kerana ingin meninggalkan dunia yang “huru-hara.”

Kata Sunu, mulai berhibur di kelab malam hingga menyertai pesta yang menjurus kepada hal maksiat dia akhirnya bersyukur apabila didatangi hidayah.

“Kalau dicari, kebahagiaan dari populariti, wang atau pangkat - saya pernah rasa semuanya.

"Saya pernah popular dan mempunyai banyak wang waktu itu. Kehidupan pun berubah, dulu saya suka majlis sosial,” katanya.

Sakti

Dia ialah pemain gitar kumpulan Sheila on 7 (SO7). Perubahan berlaku selepas dia berkunjung ke India, Bangladesh dan Pakistan untuk mendalami ilmu Islam.

Sejak itu juga Sakti menukar namanya kepada Salman al-Jugjawy atau bermaksud Salman dari Jogja.

Selain nama, penampilan pemilik nama Saktia Ari Seno itu turut berubah dan sama sekali berbeza dari zaman dia masih menganggotai SO7.

Sakti, 37, kini membela janggut panjang dan sehari-harian mengenakan pakaian mengikut sunnah Rasulullah SAW.

“Saya rasa kalau pakaian begini sesuai buat bersantai, inikan sunnah Rasul. Kalau perlu ikut fesyen selalu boleh keliru. Tetapi kalau pakai begini sampai kiamat sesuai. Senang dan selesa,” katanya.
Berry Manooch

Penyanyi rap dari kumpulan Saint Loco sempat mengeggarkan dunia hiburan selepas insiden disimbah asid oleh pihak tidak bertanggungjawab pada 2013.

Akibat peristiwa hitam berkenaan, wajah bapa kepada dua anak itu mengalami kecederaan parah hingga diklasifikasikan sebagai melecur tahap kedua.

Seperti muzik dibawakannya yang mempunyai karakter keras, ia juga mempengaruhi jiwa Berry hingga bersikap ego dan cepat naik angin.


Bukan hanya itu, dia juga dikenali gemar berganti-ganti pasangan, mengambil alkohol serta segala jenis dadah menjadi penghias hidupnya.

Untuk kembali hidup normal bukan perkara mudah bagi Berry biarpun sering keluar dan masuk pusat pemulihan.

Pintu hati Berry mula diketuk dengan hidayah saat dia melihat umat Islam sembahyang berjemaah di masjid - pemandangan yang sebenarnya biasa dilihat - dan tiba-tiba menimbulkan ketenangan buat dirinya.

“Tepat pada 22 Februari 2015 saya melaksanakan proses mengucap dua kalimah syahadah.

"Ia dilakukan secara simbolik di rumah teman saya dan saya jadikan kehidupan saya sebagai seorang mualaf hingga saat kini,” katanya yang menukar nama kepada Muhammad Berry al-Fatah.







________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo