PAS, bukan PH ganti Umno?




PAS adalah ganti UMNO-BN untuk Malaysia. Itu sahaja yang difahami oleh ahli dan penyokong PAS hari ini. Ia adalah matlamat utama PAS memasuki PRU14 nanti.

Ramai yang akan menyangkal dengan berkata, bagaimana mahu ganti UMNO jika hanya mensasarkan kemenangan 40 kerusi? Ia jauh daripada mencukupi. PAS hanya beromongan, dakwa pembangkang PH pula.

PAS menjawab, jika pun PAS memenangi lebih daripada 40 kerusi sebagaimana yang disasarkan, itu pun belum mencukupi untuk memintas UMNO-BN. Tetapi semua sedar, pada masa itu PAS telah begitu kuat. Apabila PAS kuat, UMNO akan lemah. UMNO akan lemah sebaik sahaja kerusinya menurun dengan banyak, walaupun masih mendahului PAS dalam jumlah kerusinya.

Hari ini, kekuatan UMNO bukan lagi pada kejayaannya menempa negara ini dengan kejayaan dan kecemerlangan. Tidak. Negara kita kini hanya sedang bertarung untuk tidak rebah sahaja, bukan pun untuk sihat, sejahtera dan maju. Negara kita masih sakit daripada sakit lamanya yang bermula daripada zaman keangkuhan Tun Dr Mahathir memerintah negara 20 tahun dulu dengan kuku dan taringnya. Sakit itu masih belum diubati dan jauh lagi daripada sembuh.

Keangkuhan adalah musuh Allah. Keangkuhan sifatnya memerangi Allah dan ugama-Nya. Sesiapa yang memerintah dengan angkuh, Allah akan meletakkannya di barisan yang bertentangan dengan Allah, lalu Allah mengisytiharkan perang ke atasnya secara menghadap. Tun Mahathir masih berbangga dengan sejarahnya memerangi kerajaan Kelantan yang dulu dan kini terus membawa sinar dan obor Islam yang benar untuk tatapan dan hidangan rakyat Malaysia.

Beliau telah gagal dan sememangnya beliau pasti gagal. Beliau gagal mengemudi UMNO, lalu meletak jawatan dan meninggalkan UMNO dan Malaysia dalam kesakitan dan kelesuan. Tun Abdullah datang dengan penawar 'minyak wangi seribu bencana'-nya. Ia melalikan untuk tempoh yang pendek, kemudian negara bertukar kembali kepada sakit asalnya.

Doktor veteran yang gagal itu enggan menyerah kalah. Beliau memerangi ubat pertamanya sendiri, lalu menawarkan ubat seterusnya, DS Najib bin Abdul Razak untuk memimpin negara. Ubat barunya gagal lagi. Doktor veteran itu tersentak dengan tindak balas ubat barunya itu yang kini makan tuan. Beliau mengisytiharkan kepada negara bahawa beliau telah tersalah mencadangkan ubat. 

Hari ini beliau mencadangkan ubat yang ketiga. Siapa? Dirinya sendiri. Beliau berkata kepada PAS dengan suara angkuh 20 tahunnya dulu, "Pilih. Saya atau Najib." Kelakar, kelakar dan kelakar. Inilah kentut politik seribu bencana seorang doktor veteran yang sakit dan gagal yang sedang mengetuai sebuah hospital bernama PH untuk mengubati negara yang sakit akibat angkaranya sendiri dulu. Orang sakit mengubati orang sakit.

Saya tegaskan negara kita hari ini sakit. Sakit lama yang belum sembuh. Saya tegaskan lagi, UMNO-BN hari ini kuat dan gagah di sisi rakyat bukanlah kerana kejayaannya menempa apa-apa kejayaan besar untuk negara. Tidak. Tetapi UMNO hari ini masih gagah kerana mereka adalah penyandang sejak tahun 1957. Penyandang memang sukar untuk ditumpaskan hatta pada zaman pemberontakan terbesar ahli UMNO memerangi Tun Dr Mahathir pada tahun 1999 di bawah DS Anwar Ibrahim.

Penyandang yang terus gagal akan dimamah tua dan kelesuan. Tongkat saktinya akan dimakan anai-anai sedikit demi sedikit. Hanya nabi Sulaiman alaihissalam yang wafat berdiri bertongkat kerana anai-anai terus menyayangi baginda dengan arahan tuhannya. Adapun UMNO, ia sedikit demi sedikit akan lesu. Samada tongkat dulu yang patah atau lututnya sendiri. Takdir memilih dan menentukan.

Sasaran memenangi minima 40 kerusi parlimen adalah sebuah gerakan besar untuk pengislahan negara daripada PAS. Ia adalah realistik bagi PAS daripada terus berilusi dengan penawar seribu bencana ciptaan seorang doktor veteran gagal yang terus angkuh dengan taubat demi taubatnya yang bohong dan palsu.

Sasaran minima 40 kerusi adalah kekuatan bagi PAS dan kelemahan yang ketara bagi UMNO. Kemenangan lebih besar untuk PAS pasti akan menjelma. Ia akan menjelma sebaik PAS terus kukuh dengan thabat dan istiqamahnya memperjuangkan Islam dan nilai-nilainya yang tinggi dalam menjamin tadbir urus negara yang penuh integriti, sejahtera dan cemerlang.

Dalam persaingan bola sepak Eropah, pasukan yang mensasarkan hanya kejuaraan liga akan kecewa teruk jika gagal memenanginya. Tetapi pasukan yang turut mensasarkan kelayakan ke Liga Juara-Juara (CL) akan kekal ceria dan bangga apabila mencapainya walaupun tewas kejuaraan liga. #YNWA

PH akan kecewa teruk bersama penyokongnya jika UMNO terus memenangi PRU14. Hanya itu sasaran mereka yang satu. Gagal bererti gelap selamanya. Kerja selepas itu adalah menanti PRU15 pula. Tetapi PAS adalah sebaliknya. PAS melihat negara dan politiknya dengan mata hatinya yang lebih jelas dan benar. UMNO-BN bukan boleh ditumbangkan dengan idea karut untuk negara oleh doktor veteran yang gagal, sakit dan telah menyebabkan negara sakit dengan ubat ciptaannya samada pada zamannya sendiri atau zaman selepasnya. 

PAS adalah realistik. Apa yang akan dicapainya nanti adalah nilai bermakna bagi terus menyumbang ke arah kejayaan negara mengubati dirinya, seterusnya melangkah lebih laju menempa kejayaan. Anda boleh nanti meneliti dan mentelaah Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang kini giat dibina dan dibangunkan oleh PAS sebagai wawasan terbaiknya untuk negara dan rakyat tercinta.

PAS, sifat perjuangannya adalah islah. Untuk melakukan Islah atau pembaikan, ia bukan dengan hanya satu jalan iaitu menunggu UMNO tumbang. Anda tidak perlu menunggu taubat nasuha datang, barulah hendak bersolat dan beramal soleh. Terus bersolat dan beramal soleh dalam dosa. Itu persaingan yang jika diisi keikhlasan tinggi akan mencetuskan taubat nasuha yang akan menghancurkan kerajaan dosa dan maksiat dalam hati setiap hamba-Nya. Begitulah islah PAS untuk negara. Ia bergerak tanpa henti walau penat dan lama..
Negeri Kelantan dibina lebih 20 tahun di dalam tekanan tinggi serangan bertalu-talu tanpa kesihan belas Tun Dr Mahathir. Kelantan disisihkan dengan kebencian dan dendam kesumat seorang diktator yang tidak mampu melihat keupayaan orang lain untuk turut membangunkan negeri dan negara. Baginya, kejayaan adalah mesti daripada hasil usaha dan wawasannya. 

Kelantan terus teguh sebagai negeri model dan sejahtera pada saat Tun Dr Mahathir melihat negara binaannya yang hebat itu tiba-tiba diserang garuda ekonomi, seterusnya menyaksikan partinya memberontak ke atasnya untuk kali kedua yang akhirnya memaksanya meletak jawatan dan menyerahkan negara kepada penggantinya yang gagal.

Hari ini Wawasan 2020 sudah masuk muzium tanpa penghargaan tinggi daripada UMNO hari ini selain kemarahan, perlecehan dan kebencian. PAS sejak awal pembinaannya lagi telah menyatakan bahawa Wawasan 2020 akan gagal kerana ia tidak dibina di atas rukun-rukun yang kukuh dan tahan. Jika daripada PAS, Tun Mahathir akan menyumbat telinganya dengan kapas bergulung-gulung.

Kejayaan Tun Dr Mahathir hari ini ialah terus berjaya menumpaskan DS Anwar Ibrahim yang dipenjarakannya dulu melalui para pendukung PKR-nya yang gagal bertahan dengan tonik keramat 'REFORMASI' itu. Mereka masih mampu untuk terus ditipu dengan taubat palsu yang bersalut keangkuhan. 

Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah menghilangkan ketajaman perseteruannya dengan DAP yang dimusuhinya melalui dasar kerasisan UMNO yang dibinanya dulu. Hari ini DAP membuntut di belakang Tun.

Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah membenam PAN ke dalam lumpur. DAP menyucuk hidung PAN lalu membiarkan Tun Mahathir menariknya ke kubang lumpur. Berkubanglah di situ dengan penuh amanah kepada tuan yang melahirkanmu..

Itulah kejayaan Tun Mahathir, mengulangi

kejayaannya dulu menubuhkan UMNO Baru untuk mengalahkan Ku Li. Dia meninggalkan UMNO untuk mengalahkan Pak Lah. Dia menubuhkan PPBM untuk mengalahkan Najib. Aksi terbaiknya kini ialah memenjarakan Anwar Ibrahim di dalam dan memenjarakan pengikutnya di dalam jeriji telunjuknya di luar. What a Kajang kick!!

Adapun kejayaannya ke atas PAS hari ini ialah kentut politiknya, "Pilih. Saya atau Najib.' Kelakar, kelakar dan kelakar..

PAS mendominasi pengalaman menghadapi UMNO yang gagah dengan sifatnya sebagai penyandang kepimpinan negara yang tidak pernah kalah sejak merdeka. PAS hidup dalam susah dan senang, lemah dan gagah, kejian dan pujian. PAS menembusi segala kesukaran itu dengan cemerlang sehingga hari ini. Hari ini tiada siapa sedia berkata bahawa PAS sedang menuju kegelapan kecuali musuhnya yang terus membenci dan mendengki. Benci dan dengki tidak akan sama sekali menumbangkan PAS.

Ia adalah PAS yang kuat sebagai ganti kepada UMNO yang kian lemah. Bukan PPBM, bukan PKR dan sama sekali bukan DAP-PAN.


Majulah PAS untuk negara menuju keredhaan Allah.

Tahniah Harimau Muda U23 tewaskan Arab Saudi, negara World Cup. Sinar hebat anak muda negara..


Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz adalah Pengerusi Lujnah Dakwah PAS Pusat
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget