NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Negeri Sembilan: DAP paling 'untung' dalam PH



DALAM ucapannya semasa Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke menegaskan beliau tidak mungkin jadi Menteri Besar sekiranya pakatan menang di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 


Katanya, tak perlu bimbang kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri menetapkan Menteri Besar mesti dalam kalangan orang Melayu beragama Islam. Ahli Parlimen Seremban itu sedar dan faham perkara berkenaan.


Di sebalik pengakuan itu, bukan sukar untuk meramalkan sekiranya pakatan pembangkang merampas negeri ini daripada Barisan Nasional (BN), DAP akan menjadi parti paling berkuasa. Anthony Loke bakal muncul individu paling berpengaruh. 

Berdasarkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PH Negeri Sembilan yang diumumkan hari ini, PKR menerima 12 kerusi, DAP mendapat 11 kerusi, PAN (7) dan enam diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 

Di atas kertas, memang tidak nampak DAP seperti terlalu dominan, namun hakikatnya kesemua 11 kerusi itu dimenangi mereka pada PRU-13 lalu dan hampir pasti mampu dikekalkan kali ini. 

Hanya 19 kerusi diperlukan untuk mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri. Justeru, sekiranya pakatan menang dan DAP pula membolot semua kerusi ditandinginya, sudah hampir pasti wakil parti itu paling ramai dalam kerajaan negeri. 

Realiti itu sudahpun dilihat dalam barisan pembangkang di Negeri Sembilan ketika ini. Daripada 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam kalangan pembangkang, hanya seorang iaitu Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) Melayu dan beragama Islam. 

Bayangkan, jika pakatan menang, sudah hampir pasti majoriti barisan exco dalam kerajaan negeri dimonopoli oleh waki rakyat DAP. Impaknya, Menteri Besar ketika itu sukar membuat keputusan kerana terikat dengan suara majoriti parti berkenaan. 

Seandainya itu berlaku, ia akan mengulangi situasi menimpa kerajaan Perak pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dikuasai DAP selepas Pakatan Rakyat menang di negeri itu pada PRU-12. 

Tidak mustahil Negeri Sembilan boleh mengalami nasib sama sekiranya pengundi membuat pilihan mengikut emosi dan tanpa berfikir panjang pada PRU-14. 

Secara ringkasnya, undi kepada PH bermakna memberi kemenangan kepada DAP. - UTUSAN ONLINE





































































________________ 

Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo