Masih relevankah Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri setelah Darjah Kerabat Kelantan beliau ditarik balik?



Selaku penerima pelbagai anugerah dari pelbagai negeri dan dari pelbagai negara, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin merasakan penarikan balik Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang dianugerahkan oleh Sultan Kelantan pada waktu itu, Sultan Ismail Petra, pada 12 April 2002 tidak mendatangkan impak besar kepada beliau.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa yang menarik balik Darjah Kerabat ini adalah bukan sebarang Sultan kerana Sultan Muhammad V adalah Yang di-Pertuan Agong yang, mengikut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, adalah “seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan”.

Selaku Yang di-Pertuan Agong, Baginda mempunyai budi bicara yang luas, termasuk di dalam urusan perlantikan Perdana Menteri, di mana Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan secara jelas bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri”.

Benar, ada disebutkan di dalam Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”, tetapi di sinilah budi bicara ini timbul.

Di dalam konteks inilah maka pengumuman Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, di dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari lalu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 perlu dilihat.

Adalah diyakini bahawa penarikan balik Darjah Kerabat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ini bukan berpunca dari orang politik dan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik kerana ia adalah kuasa prerogatif yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Peruntukan ini menyebut bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah menarik balik mana-mana pangkat atau gelaran atau pingat-pingat kehormatan yang telah dikurniakan kepada mana-mana penerimanya jika pada pertimbangan Baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh penerimanya yang mengharuskan diperbuat demikian.

Sewaktu mula-mula menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang berbunyi “Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri”.

Sudah tentulah tindakan Baginda menarik balik Darjah Kerabat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berpunca daripada pertimbangan Baginda bahawa ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertepatan pula dengan sumpah Baginda untuk memeliharakan Agama Islam dan memerintah secara adil dan aman.

Serentak dengan itu, pertanyaan yang cukup relevan sekarang ialah apakah masih viable dan feasible lagi hasrat Pakatan Harapan untuk menobatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam keadaan pihak yang mempunyai budi bicara ke atas perlantikan ini telah memutuskan bahawa beliau “ada cukup kesalahan atau dosa”?
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget