NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Majlis Syura PAS tapis calon 'harum manis'



KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengelak 'musang berbulu ayam' yang boleh menjejaskan persiapan parti, Majlis Syura Ulama (MSU) PAS tegas mengetepikan beberapa pencalonan kelompok 'harum manis' yang diangkat oleh badan perhubungan negeri untuk proses tapisan.

Calon terbabit dikenal pasti oleh ahli MSU ketika proses saringan selama dua hari yang berlangsung di ibu pejabat parti itu, bulan lalu walaupun pemikiran dan ideologi kelompok berkenaan tidak diperlihatkan secara terbuka.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata selepas mengenal pasti kelompok berkenaan, pihaknya mengeluarkan notis peringatan mengenai latar belakang calon kepada kepemimpinan PAS negeri.

Beliau berkata, notis peringatan itu dikeluarkan selepas memperoleh alasan kukuh bagi menyokong penolakan daripada badan tertinggi parti.

"Selepas disaring dan mendapatkan penjelasan daripada Pesuruhjaya PAS Negeri dan Setiausaha PAS negeri, peringatan dikeluarkan dengan alasan cukup kuat.

"Individu ini tidak ditolak tetapi kita minta perhatian daripada kepemimpinan negeri. Apa yang saya boleh katakan, kami menerima calon harum manis bawah (kurang) lima orang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harum manis adalah buah mangga berwarna hijau di luar tetapi berisi oren di dalam yang terkenal di Perlis, sekali gus merujuk kepada kelompok dalam PAS yang cenderung menyokong Parti Amanah Negara (PAN).

Ahad lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan, berkata parti itu sudah memuktamadkan senarai calonnya yang akan bertanding pada PRU-14.

Senarai nama calon dikemukakan PAS negeri diluluskan MSU tiga minggu lalu dan setakat ini, parti memutuskan untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, MSU tidak hanya berpandukan kepada laporan secara bertulis daripada negeri, sebaliknya turut memanggil Pesuruhjaya dan Setiausaha PAS negeri untuk mendapatkan maklumat tambahan setiap calon.

Beliau berkata, pihak menetapkan setiap kawasan mengemukakan tiga nama calon dengan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bertanggungjawab memutuskan calon berkelayakan berasaskan hasil saringan MSU.

Katanya, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan calon yang dikemukakan PAS negeri yang disifatkan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Ini kerana Majlis Syura memperoleh lebih banyak maklumat mengenai calon hasil perbincangan dengan kepemimpinan negeri dalam menentukan kelayakan calon dan penerimaan masyarakat terhadap calon berkenaan," katanya.--BHarian (Nazura Ngah)













________________ Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo