Lim Kit Siang dan Zolkharnain Abidin kaki putar?


Oleh: Dr. Kamarul Zaman Yusoff, UUM


Di dalam kenyataan media beliau semalam, 19 Februari 2018, Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, mempersoalkan penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat dari tahun 2008 ke tahun 2015 yang didakwa tidak selari dengan penegasan pemimpin PAS sekarang bahawa DAP adalah bersifat anti-Islam.



Di dalam kenyataan beliau semalam juga, Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi, menyalahkan pemimpin PAS kerana memecahkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015 di mana tindakan ini didakwa memberikan talian hayat kepada UMNO sekaligus didakwa mewajarkan penubuhan AMANAH untuk menggantikan PAS.





Perlu diingati bahawa penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat adalah digantungkan kepada kelulusan Majlis Syura Ulama’ PAS yang berpegang teguh kepada kertas kerja “Tahaluf Siasi (Kerjasama Politik): Garis Panduan Dari Perspektif Islam” yang menyenaraikan enam perkara yang menjadi syarat kepada penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat tersebut.

Syarat pertama dan terpenting kepada penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat tersebut adalah bahawa “tahaluf (kerjasama) mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam”.

Turut dinyatakan di dalam kertas kerja ini ialah: “Sekalipun atas titik persepakatan seperti menentang kezaliman UMNO dan BN, tahaluf dengan parti non-Islamik atau pihak non-Islamik perlu dikaji semula sekiranya ia boleh menyebabkan berlakunya:

1. Halangan kepada penegakan negara Islam.
2. Kedudukan orang Islam tergugat.
3. Disyaratkan untuk tidak melaksanakan syari’at Islam.”

Sepanjang penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat, tidak terlalu berbangkit soal DAP adalah bersifat anti-Islam kerana penyertaan PAS ini memang “dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam” serta tidak “disyaratkan untuk tidak melaksanakan syari’at Islam”.

Ini kerana selama ini ruang untuk PAS melaksanakan syari’at Islam, khususnya melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan, adalah agak tertutup ekoran pemberian amaran oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalam surat rasmi beliau pada 15 Julai 1994 bahawa Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan jika Kerajaan Kelantan cuba juga melaksanakannya.

Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan ini berbangkit semula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum, memberi jaminan di Parlimen pada 27 Mac 2014 bahawa Kerajaan Persekutuan akan menyokong rang undang-undang persendirian bagi membolehkan Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakannya.

Setelah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, mengumumkan pada 2 April 2014 bahawa Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk menyiapkan rang undang-undang persendirian untuk mendapat kebenaran dan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan dilaksanakan barulah belang sebenar pemimpin DAP mula terdedah.

Tanpa mengambil kira penegasan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 11 April 2014, bahawa semua pihak, terutamanya yang beragama Islam, wajib menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan itu, pemimpin DAP, khususnya Gobind Singh Deo, Teo Nie Ching dan Lim Guan Eng, terus sahaja menyuarakan penentangan terbuka mereka ke atasnya di atas pelbagai alasan yang mereka cipta sendiri.

Lebih teruk lagi ialah tindakan pemimpin DAP, khususnya Anthony Loke Siew Fook, Datuk Mohamad Arif Sabri Abdul Aziz, Gobind Singh Deo dan Tan Kok Wai, yang menggesa secara terbuka supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika ia terus berkeras dengan agendanya untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan ini.

Paling jelas menggambarkan kebencian pemimpin DAP terhadap usaha untuk melaksanakan syari’at Islam ini ialah kenyataan Lim Guan Eng di Nanyang Technological University, Singapura, pada 10 Disember 2014, bahawa “hudud adalah sangat penting (kepada DAP)” di mana “DAP sedia untuk melihat Pakatan Rakyat berpecah jika pemimpin PAS menyerahkan Usul Rang Undang-Undang Persendirian untuk melaksanakan hudud di Parlimen.”

Sebab itulah bila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyerahkan Usul Rang Undang-Undang Persendirian ini kepada Parlimen pada 18 Mac 2015, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 23 Mac 2015 terus sahaja memutuskan bahawa “DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau”.

Sebab itulah juga belum pun sempat Majlis Syura Ulama’ PAS bermesyuarat bagi membincangkan kelulusan satu usul yang dikemukakan di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 pada 6 Jun 2015 yang mendesak agar diputuskan hubungan dengan DAP, Mesyuarat CEC DAP pada 15 Jun 2015 dengan segera memutuskan bahawa “usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat, justeru kini tiada lagi Pakatan Rakyat”.

Sebab itulah juga Lim Guan Eng mengumumkan pada 26 Disember 2017 bahawa “DAP mengambil posisi yang betul untuk memutuskan hubungan dengan para pemimpin PAS selepas persaraan bekas Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz” dan bahawa “DAP sanggup untuk membayar apa sahaja harga politik untuk menegakkan prinsip-prinsip kami dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan memutuskan hubungan dengan PAS”.

Kepada Lim Kit Siang, sila amati betul-betul syarat penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat ini, khususnya bahawa ia perlu dikaji semula sekiranya ia “disyaratkan untuk tidak melaksanakan syari’at Islam”.

Kepada Zolkharnain Abidin, sila amati betul-betul ayat yang digunakan oleh Lim Guan Eng ini, iaitu “DAP memutuskan hubungan dengan para pemimpin PAS” dan “DAP memutuskan hubungan dengan PAS”.

Kepada pemimpin AMANAH, sila jawab soalan ini: Ada tak anda meletakkan syarat bahawa penyertaan AMANAH di dalam Pakatan Harapan perlu dikaji semula sekiranya ia “disyaratkan untuk tidak melaksanakan syari’at Islam”?



________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget