NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes murtad: Keputusan Mahkamah Persekutuan iktiraf Mahkamah Syariah



KUALA LUMPUR: “Umat Islam menyambut keputusan Mahkamah Persekutuan Kuching, Sarawak hari ini yang membatalkan permohonan empat individu warga Sarawak untuk mengisyhtiharkan diri mereka keluar dari Islam dengan rasa syukur atas pertolongan Allah menyelamatkan Islam di bumi Malaysia.”

Demikian kata, Dr Riduan Mohamad Nor, AJK Jawatankuasa Pusat PAS menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan bererti mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Isu pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sering berbangkit sehingga ada kalanya Mahkamah Syariah ditenggelamkan oleh kuasa Mahkamah Sivil yang membuat keputusan dalam urusan yang melibatkan Mahkamah Syariah.”

“Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang tepat dengan menolak kes ini sebaliknya menyerahkan kepada Mahkamah Syariah untuk menetapkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan empat individu yang mahu murtad membawa kes mereka ke Mahkamah Syariah.

Keputusan itu sekali gus menolak rayuan individu terbabit yang menyentuh persoalan sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa berhubung kes murtad, ekoran tiada peruntukan sedemikian mengikut Ordinan Mahkamah Syariah 2001.

Keputusan dibuat lima panel hakim dianggotai Zulkefli Ahmad Makinudin, Ahmad Maarop, Hasan Lah, Ramly Ali dan Jeffrey Tan selepas meneliti permohonan berkenaan, termasuk hujah berkaitan.

Alasan panel hakim Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan itu kerana mereka tidak boleh melakukannya melalui Mahkamah Sivil dan menurut mereka berdasarkan undang-undang kes, bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes murtad.

Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin yang membacakan keputusan itu berkata walaupun tidak ada peruntukan seperti itu dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001, terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah.

Menurut Riduan, keputusan ini tentunya melegakan umat Islam seluruhnya.

“Dalam keadaan agama Islam sedang dicabar dan bertarung dengan hebat oleh mereka yang mahu mencemar dan menghina agama Islam, keputusan Mahkamah Persekutuan membela hak agama Islam.”

“Soal murtad bukan sesuatu yang boleh dibuat main dan dipandang remeh. Empat orang pemohon ini telah melakukan suatu jenayah yang besar dalam Islam dan hukuman murtad adalah hukuman yang berat dan keras,” jelasnya lagi.

Tambahnya, sebagai sebuah negara umat Islam seperti termaktub dalam perlembagaan Malaysia Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, hak agama Islam perlu dijunjung dan dijulang setingginya.

“Mana-mana pihak yang berusaha merendahkan atau menghina agama Islam perlu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Perkara murtad mesti diadili mengikut lunas syariah dan hanya Mahkamah Syariah mesti menghakimi mereka.

“Jika tidak, tafsiran hukum syariah boleh diterjemah dan ditafsir mengikut sesuka hati dan selera sesiapa sahaja. Bayangkan jika panel hakim dengan mudah membenarkan pemohon menukar agama, dikhuatiri negeri Borneo seperti Sabah dan Sarawak akan lebih rapuh dengan usaha ramai lagi golongan yang mahu menjadi murtad. Apa yang dibimbangkan, umat Islam dengan mudah keluar agama Islam seumpama menukar baju,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Riduan merakam rasa terkilan dengan Baru Bian, Pengerusi PKR Sarawak selaku peguam mewakili empat pemohon tersebut.

Beliau tergamak bekerjasama dengan para penghina Islam demi kepentingan diri sendiri.

“Jelaslah beliau juga terlibat secara langsung dalam usaha merendahkan kedudukan agama Islam. Beliau tidak layak menjadi pemimpin kerana telah mencemarkan dan menghina umat Islam di Negeri Sarawak.

“Saya hairan mengapa tidak ada suara para pemimpin tertinggi Pakatan Harapan menegurnya ketika pemimpin PKR Sarawak ini tidak mempunyai sensitiviti dengan mewakili keempat pemohon terbabit?” soal beliau sambil menambah penglibatan Baru Bian dalam kes ini menjadi petanda bahawa PH bukan parti yang membawa harapan, tetapi membawa kemusnahan terhadap agama Islam dan negara.
© all rights reserved
made with by templateszoo