NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan negeri mesti pinda enakmen pentadbiran Islam - PGSM


Oleh: Musa Awang

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sedar bahawa dalam kes M Indira Ghandi lawan Mohd Ridhuan Abdullah pada 29 Jan lalu, Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa semulajadinya (inherent power) untuk melakukan judicial review bagi menentukan keabsahan (legality) Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pendaftar Muallaf, Jabatan Agama Islam Perak, di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Perakuan Pemelukan Islam itu tidak sah/batal di sisi undang-undang, lantaran “anak-anak tersebut” tidak melafazkan dua kalimah syahadah seperti dikehendaki Seksyen 96 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004.

PGSM berpandangan bahawa apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tersebut disebabkan mahkamah syariah tidak diberi kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh mana-mana jawatankuasa atau institusi di bawah majlis agama Islam.

Disebabkan itu, apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh mana-mana institusi Islam, kebanyakannya akan dibawa ke mahkamah sivil.

Maka, di situlah berlakulah campur tangan mahkamah sivil terhadap perkara-perkara yang sepatutnya didengar dan diputuskan mahkamah syariah.

Oleh itu, PGSM dengan ini menggesa dan mencadangkan semua kerajaan negeri meminda enakmen pentadbiran agama Islam negeri dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberikan kuasa kepada mahkamah syariah mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi majlis, di bawah enakmen berkenaan.

Pindaan sedemikian telah dilakukan Dewan Undangan Negeri Selangor pada Mei 2015, dengan memasukkan peruntukan baru (seksyen 66A) dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015) sebagaimana berikut:

Seksyen 66A - Bidang kuasa mahkamah tinggi syariah bagi semakan kehakiman

"66A. Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.”

Keputusan mengejutkan Mahkamah Persekutuan tersebut sepatutnya menjadi wake-up call kepada pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri untuk segera memperkemaskan undang-undang syariah masing-masing, agar dapat melindungi kepentingan orang Islam dan tidak memberi sebarang ruang untuk dibawa ke mahkamah sivil, dalam memutuskan perkara berkaitan orang Islam.

MUSA AWANG ialah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).













________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo