NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KENYATAAN MEDIA : Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Pertukaran Agama Anak-Anak




KENYATAAN MEDIA : Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Pertukaran Agama Anak-Anak

Oleh: Gerakan Pembela UMMAH
31 Januari 2018

1. Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) memandang berat keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 29 Januari 2018, berhubung kes agama bagi tiga anak-anak kepada Muhamad Ridhuan bin Abdullah (dahulunya Pathmanathan a/l Krishnan) dan bekas isterinya, Indira Gandhi a/p Mutho. Berdasarkan kepada “Press Summary” yang disediakan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia, intipati daripada kes tersebut antara lainnya adalah seperti berikut:-

(a) Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidangkuasa eksklusif semakan kehakiman, termasuk untuk mendengar dan membicarakan perkara-perkara yang jatuh di bawah hukum syar’ie, walaupun Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil “tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah”;

(b) Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan — yang memperuntukkan bahawa “the religion of a person under the age of eighteen years shall be decided by his parent….” — adalah merujuk kepada ibu DAN bapa, dan oleh yang demikian persetujuan kedua-dua ibu dan bapa adalah diwajibkan sebelum seseorang anak itu boleh didaftarkan agamanya sebagai Islam; dan

(c) Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Syariah di negeri Perak tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan penentuan sama ada kemasukan ke agama Islam seseorang itu adalah sah ataupun tidak, kerana seksyen 50(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak hanya memperuntukkan bidangkuasa untuk Mahkamah Syariah membuat pengisytiharan keluar Islam, bukan untuk menentukan kesahihan kemasukan Islam seseorang itu.

2. Ketiga-tiga perkara di atas antara lainnya menyentuh tiga aspek genting mengenai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan; Pentadbiran agama Islam di negeri-negeri di bawah kekuasaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu; dan pembahagian bidangkuasa di antara Mahkamah Sivil dan Syariah. Ketiga-tiganya juga melibatkan hak-hak keibu-bapaan yang sepatutnya perlu ditangani secara cermat bagi melindungi hak kesemua pihak, tetapi malangnya keputusan Mahkamah Perekutuan tersebut, pada hemat UMMAH, gagal memastikan hal ini.

3. Berhubung penentuan agama anak-anak, misalnya, sungguhpun syarat persetujuan kedua-dua ibu dan bapa mesti diperolehi terlebih dahulu sebelum agama anak-anak boleh ditukarkan nampak seperti memberi keadilan kepada suami dan isteri; tetapi jika dicermati dengan lebih mendalam, ia sebenarnya adalah amat berat sebelah dan sama sekali tidak adil kepada pasangan yang memeluk agama Islam.

4. Hal ini kerana apabila seseorang itu memeluk Islam, sedangkan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, perkahwinan di antara mereka akan perlu dibubarkan. Dalam menjalani proses pembubaran perkahwinan atau perceraian ini, ada kalanya kedua-dua pasangan tidak lagi bercakap di antara satu sama lain melainkan melalui peguam masing-masing. Justeru, sudah tentulah syarat untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua belah pihak dalam hal penentuan agama anak adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dicapai. Ini bererti jika seseorang Mualaf itu memeluk Islam, dia juga perlu bersedia untuk melepaskan haknya di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung penentuan agama dan pendidikan agama anak-anaknya. Hal ini sudah tentu tidak adil.

5. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini juga telah menyimpang daripada keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu, yang pernah diputuskan pada tahun 2008, dalam kes Subashini Rajasingam v. Saravanan Thangothoray Other Appeals [2008] 2 CLJ 1. Dalam kes tersebut, Mahkamah telah mengambil pendekatan yang lebih berharmoni, di mana Mahkamah mengatakan bahawa persetujuan mana-mana ibu ATAU bapa adalah memadai (dan tidak semestinya persetujuan kedua-duanya) untuk mendaftarkan pertukaran agama anak apabila salah seorangnya memeluk agama Islam. Dalam masa yang sama, jika pasangannya yang bukan Islam merasakan pertukaran agama anaknya itu tidak adil dan menzalimi haknya, maka dia juga berhak untuk membantah. Jika bantahan dikemukakan, maka Mahkamah akan menghakimi dengan mengambil kira kepentingan kanak-kanak tersebut, serta diimbangkan dengan hak di antara ibu dan bapa, serta fakta-fakta lain berasaskan kepada case to case basis.

6. Pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2008 dahulu dilihat lebih adil, kerana setiap kes akan diadili berasaskan meritnya masing-masing; berbanding keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi baru-baru ini, yang seolah-oleh memberikan kuasa veto kepada pasangan bukan beragama Islam untuk menafikan hak menentukan agama anak kepada pasangan Mualaf. Ia adalah diskriminasi yang tidak adil kepada hak beragama seseorang Mualaf.

7. Meskipun demikian, UMMAH tetap menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, tetapi dalam masa yang sama, UMMAH akan menggembelengkan usaha bagi membetulkan kembali kekhilafan dalam sistem keadilan negara ini, melalui jalan-jalan yang sah di sisi undang-undang, termasuk melalui pendekatan perbincangan, wacana, engagement, desakan, tuntutan, dan termasuk juga, jika perlu, masuk sebagai pencelah (intervener) bagi memfailkan semakan semula di Mahkamah Persekutuan.

8. Wajar diambil perhatian bahawa keputusan Mahkamah semalam turut menyentuh beberapa kelompongan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri Perak, terutamanya berkait cakupan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang tidak lengkap dan menyeluruh, sehingga menyebabkan Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa atas kelompongan tersebut. Dalam hal ini, UMMAH menggesa Dewan Undangan Negeri di semua negeri untuk memastikan dan memasukkan cakupan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang holistik dan menyeluruh, ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing, dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri-Negeri.

9. UMMAH menegaskan bahawa prinsip perundangan dan keadilan Islam hendaklah senantiasa dihormati dan dipakai dalam sistem keadilan di negara ini, berasaskan kepada konsep kedaulatan watan dan Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam. Seperti yang pernah ditegaskan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, Common Law di negara ini adalah Islamic law. Justeru, sebagai peringkat permulaan bagi merungkaikan permasalahan ini, UMMAH mencadangkan Kerajaan mengusulkan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang dengan menjemput pakar-pakar dalam bidang berkaitan termasuk para pemimpin politik untuk medapatkan pandangan dan hujah masing-masing, sebelum kerajaan membuat sebarang tindakan lanjut — seperti memperkenalkan semula seksyen 88A yang telah dibantah oleh UMMAH sebelum ini — atas keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

10. Akhir sekali, UMMAH juga mendesak agar suatu SURUHANJAYA KEDAULATAN NEGARA (SUKEN) segera ditubuhkan oleh pihak kerajaan, bagi memastikan keutuhan perlembagaan dari digugat oleh mana-mana pihak dengan matlamat untuk menyebarkan kefahaman dan tafsiran yang betul lagi bersifat watan tentang kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan; juga memastikan prinsip pengharmonian undang-undang Malaysia digubal dan dikuatkuasakan di atas premis kedaulatan watan Raja-raja Melayu bersumberkan ajaran Islam.

HJ AMINUDDIN YAHAYA
Ketua Sekretariat
Gerakan Pembela UMMAH (UMMAH)






________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo