NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

JAKIM ditubuh selaras hak kebebasan Muslim


Oleh Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula dengan perkenan Majlis Raja-Raja pada 1968 untuk menubuhkan badan bagi mengembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan. Daripada urusetia kepada Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia, ia dikembangkan sebagai Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri. Kemudian Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri dinaik taraf sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), pada 1 Januari 1997, peranannya diambil alih oleh JAKIM.

Fungsi JAKIM dinyatakan seperti berikut; bertanggungjawab seperti perancang yang menentukan pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di negara ini; merangka dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam; membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran sedia ada dari semasa ke semasa dalam usaha menyelesaikan masalah umat Islam; melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam dalam pengurusan negara; menyelaras mekanisme penguatkuasaan undang-undang serta peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh negara; membuat penilaian program hal ehwal Islam yang dilaksanakan di negara ini; bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam; dan melaksanakan usaha pembangunan ummah melalui kerjasama pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Kedaulatan negara berkonsepkan Raja-Raja Melayu

Sekiranya dilihat daripada fungsi JAKIM, ia selaras dengan budi bicara Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(6)(d) Perlembagaan Persekutuan, iaitu "mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;". Satu perkara tidak boleh diabaikan bahawa kedaulatan negara kita ialah berkonsepkan Raja-Raja Melayu.

Pada paras umum, kedaulatan ialah penguasa agung yang mencorakkan sistem politik dan undang-undang serta kedudukan penguasa agung itu masih diabsah dan terpelihara dalam kerangka undang-undang tertinggi kerajaan atau negara. Kedaulatan negara kita berkonsepkan Raja-Raja Melayu kerana baginda yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan kedudukan itu masih terpelihara dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, "Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah mereka masing-masing seperti yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas".

Perlu ditegaskan bahawa sistem demokrasi berparlimen di Malaysia hari ini diwujudkan oleh Raja-Raja Melayu, berserta struktur teras Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perjanjian Negeri 1948 yang menjelaskan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti pada 1 Disember 1941, dan ia juga terakam dalam laporan Suruhanjaya Reid 1957. Peruntukan, "sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas" mentakrifkan dengan tuntas bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu itu sudah wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, bukan dicipta melalui kontrak sosial seperti yang digagaskan oleh Rousseau.

Konsep kedaulatan negara kita ialah warisan tanah air yang dipelihara oleh Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti dijelaskan oleh Konsep Kedaulatan Watan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia menurut sejarah perundangan (Wan Ahmad Fauzi 2017) merujuk kepada kerangka kedaulatan bersumberkan ajaran Islam, seperti terbina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, sama ada berlaku lebih awal atau terkemudian daripada itu. Justeru, kedaulatan watan Raja-Raja Melayu ialah konsep kekuasaan agung bersumberkan syariat Islam yang mengimani bahawa penetapan sistem politik dan undang-undang tertinggi ialah milik mutlak Allah SWT, seperti dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah. Berasaskan kerangka konsep itu, maka:

Kepemimpinan manusia, termasuk Raja Melayu, adalah berposisi sebagai khalifah atau pemegang amanah kedaulatan milik mutlak Allah SWT.

Konsep kedaulatan menggariskan sistem politik dan undang-undang berbentuk dasar umum yang menjadi panduan mandatori apabila suatu undang-undang atau peraturan kontemporari digubal pada sepanjang zaman.

Pemegang amanah

Sebagai pemegang amanah, apa yang didelegasi atau diserahkan oleh Raja-Raja Melayu ketika penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, pasti perlu berada dalam ruang lingkup diizinkan oleh Allah SWT. Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja Melayu ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong pula ketua agama bagi negeri tidak beraja. Islam dalam bidang kuasa negeri seperti Senarai II Jadual 9 dan pada sisi Persekutuan pula seperti Senarai I Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai tambahan, Senarai III Jadual 9 dimasukkan sebagai bidang kuasa bersama bagi negeri dan persekutuan. Justeru, amat jelas lagi tersuluh bahawa JAKIM ialah sebuah entiti berwibawa yang ditubuhkan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan ciri kepada kedaulatan negara kita.

Memang sah bagi Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memperuntukkan perbelanjaan khas bagi JAKIM selaras Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan, "tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyelenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyelenggarakan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana perlu bagi maksud itu".

Akhirnya, penubuhannya JAKIM itu juga selaras dengan hak kebebasan orang Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 11(1) untuk mengembangkan ajaran Islam. Atas prinsip keluhuran perlembagaan, kedudukan di atas perlu dihormati dan dijunjung tinggi oleh setiap warga negara Malaysia.

Penulis ialah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah









________________ 

Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo