NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu terowong : Ka Siong dakwa Guan Eng umpama ‘burung kakak tua’



Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, perlu berhenti menjadi ‘burung kakak tua’ dengan mengitar semula pelbagai tuduhan liar, sebaliknya tampil mengemukakan bukti berhubung projek terowong dasar laut.

Nasihat itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang juga Timbalan Presiden MCA, ketika mengemukakan penjelasan berhubung 10 dakwaan tidak berasas oleh Guan Eng.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Ka Siong berkata, siri persoalan belum terjawab, termasuk modal berbayar syarikat tujuan khas (SPV) Terowong Dasar Laut Pulau Pinang tidak menepati piawaian ditentukan, iaitu RM381 juta ketika pemberian kontrak oleh kerajaan negeri pada Mac 2013.

Selain itu, katanya, tuduhan bahawa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ingin mensabotaj dengan mendapatkan beberapa butiran daripada China Railway Contruction Corporation International (CRCC) mengenai projek terowong dasar laut berkenaan adalah cubaan mengelirukan rakyat.

“Jika soalan demi kepentingan awam seperti ini dikatakan sabotaj, saya rasa ramai ahli DAP ketika ini cuba berbuat demikian (sabotaj) terhadap ekonomi dan pembangunan negara menerusi sesi soal jawab di Parlimen serta pelbagai saluran lain.

“Tiong Lai hanya menjalankan tugasnya mencakupi bidang logistik dan kemudahan pengangkutan supaya kontroversi melanda CRCC angkara Guan Eng, tidak menjejaskan reputasi syarikat berkenaan dalam menyelesaikan pembinaan projek lain yang dilaksana menerusi kerjasama dengan kerajaan.

“Tindakan sama dibuat bagi memastikan orang ramai tidak menuding jari kepada CRCC, susulan kelewatan menjangkau lima tahun yang berlaku terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Kenyataan dangkal Guan Eng sekadar mencerminkan keangkuhannya selepas memperlekehkan tanggungjawab memikul amanah kepentingan awam dan ketelusan membabitkan projek kerajaan negeri,” katanya.

Secara kesimpulannya, Ka Siong berkata, Setiausaha Agung DAP itu mempunyai daya pemikiran seakan burung unta dan terperangkap dalam dunianya sendiri kerana beranggapan masyarakat tidak berupaya menyedari masalah melanda Pulau Mutiara ketika ini.

Katanya, MCA tidak akan ‘berpeluk tubuh’ terhadap pelbagai isu membabitkan Guan Eng kerana ia berkaitan kepentingan awam, justeru perjuangan parti terbesar masyarakat Cina itu dalam ‘memburu’ kebenaran akan diteruskan.

“Apa sekalipun, isu membabitkan kepentingan awam dan keselamatan seperti ini ternyata menghakis keyakinan rakyat,” katanya.



Wartawan Watan-Online














________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo