NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP nak kelentong takat mana lagi?



Oleh M. Kamal Affandi

Semakin hari berlalu menghampiri PRU14 sebelum tempoh akhir tamat pada bulan Jun 2018, makin menarik scenario politik tanah air. Semua kalangan dah mula ‘berkokok’ kata orang.

Veteran politik yang diam lama dulu pun dah bersuara. Ditambah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kes M. Indira Gandhi vs Muhammad Riduan Abdullah, semakin kalut kabus yang mengelabui umat Islam kita.

Apapun, sudah ada macam-macam kajian tentang kemungkinan aftermath PRU14 yang dapat dijangkakan kesudahannya, termasuklah penolakan umat Melayu-Islam ke atas parti komponen BN yang tak sokong Islam – MCA umpamanya – seperti dalam analisis ini yang ada benarnya juga.


Adakah kelangsungan bangsa Malaysia berada di tangan PPBM dan sekutu Cinanya?

Faktor pecah undi bakal jadi penentu

Ada dua keadaan yang sama pentingnya dalam PRU14 kali ini, iaitu ketika bertanding di mana kita akan dapat melihat semakin banyak pertembungan tiga penjuru dan selepas keputusan pilihanraya diumumkan bagaimana lahirnya ‘kingmakers’ menentu-halakan blok utama yang membentuk kerajaan.

Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam awal tahun ini (6 Jan) sudah berlalu dengan mengumumkan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri seandainya puak pembangkang mendapat mandat rakyat.

Malah pembahagian kerusi yang bakal ditandingi parti-parti komponen Pakatan Harapan di parlimen semenanjung adalah sebagai berikut:

Jumlah 165 kerusi dibahagikan kepada:

PPBM – 52
PKR – 51
DAP – 35
PAN – 27

Sekali pandang, pemerhati politik dan orang ramai seolah-olah boleh menyokong konvensyen Pakatan Harapan yang digambarkan “mengutamakan parti-parti Melayu-Islam berbanding DAP” dengan pandangan umum bahawa:

(i) DAP tidak pernah mengawal ke atas sekutunya
(ii) Ini terbukti dengan DAP hanya kemukakan 35 calon di semenanjung berbanding parti lain
(iii) persetujuan DAP supaya calon perdana menteri dan timbalannya dari kalangan orang Melayu

Itulah wayang DAP yang ditularkan di media sosial, kononnya betapa ‘mulianya’ hati DAP dan betapa ‘jahatnya’ mereka yang menabur fitnah ke atas DAP.

Kononnya juga DAP tidak berniat untuk menjadi taiko kepada parti-parti sekutunya yang lain. Kononnya DAP tidak menghina orang Melayu dan agama Islam, dan tidak menentang kedaulatan Islam dalam perlembagaan.



Anak Lim Kit Siang dan anak Tun Mahathir sekarang duduk bersebelahan

Sandiwara DAP tidak meyakinkan pengundi

Ada beberapa pemerhatian yang dapat kita lihat hasil daripada konvensyen Pakatan Harapan berkenaan itu juga.

Pertamanya, kita sebagai pengundi jangan sekali-kali terpedaya oleh pemain-pemain politik licik pimpinan DAP yang kekal dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’nya; kekal dengan pelbagai usaha melunturkan Islam sebagai agama negara dengan sokongan puak sekularis-liberalis, terutama NGO seperti G25, IRF dan SIS dan seangkatannya.

Jangan juga kita lupa DAP masih terus mengetuai Pakatan Harapan meskipun yang kuat berkokok adalah Tun M yang angkat dirinya sebagai “top dog” menerusi PPBM.

Angka 35 kerusi yang ditandingi DAP adalah di kubu-kubu strategik terkuat mereka yang pernah dimenangi dalam PRU13 dan sedang dikuasai yang “hampir menjaminkan kemenangan” berbanding PPBM, PAN dan dan PKR.

Dengan kata lain, DAP jelas jadi primus inter pares (pihak yang berstatus paling tinggi meskipun para sekutunya digambarkan sama rata) dalam Pakatan Harapan.

DAP nak kelabui siapa ni dengan dongeng “hanya 35 kerusi” yang dijaja mereka di merata-rata? Dalam PRU14 kali ini, warga Melayu-Islam yang dominan dan warga Cina serta India yang setia sudah bersedia untuk membuat pemilihan buat sekian kalinya.

Rentetan peristiwa agama Islam dihina oleh DAP dan konco-konconya, terutama ketika pembentangan usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) – diberi singkatan RUU355 – yang turut disokong oleh MCA dan MIC cukup menyedarkan pengundi Melayu-Islam bahawa jauh di dalam hati sanubari warga, Islam akan hanya mampu dibela oleh orang Islam itu sendiri.

Pelan induk lawan tiga penjuru oleh PAS-Umno-Pakatan Harapan hampir menjadi kenyataan. Kempen pilihanraya kecil serentak di Sungai Besar dan Kuala Kangsar amat perit buat DAP dan Pakatan Harapan. Inilah strategi dan kerjasama politik PAS-Umno yang paling ditakuti dan menghantui si Tokong dan evangelis-politikusnya.


Agenda evangelis DAP sudah diketahui umat Islam
Pertembungan tamadun: Islam dicabar

Di sinilah timbulnya kesedaran betapa perlunya ummah bersatu; hatta relevannya NGO bergelar Ummah yang membuat deklarasi dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah pada 13 Jan lalu di Kuala Lumpur.

NGO-NGO Islam sudah menyatakan hasrat dan tekad “untuk berjihad mempertahankan kedaulatan Islam dalam negara”. NGO-NGO Islam dalam satu nada dan suara akan tetap melawan mana-mana parti Melayu-Islam yang tidak memartabatkan Islam sebagai agama negara.

Fahamilah mengapa perlunya kita wujudkan undang-undang untuk menangani gerakan evangelisme radikal 

Isu yang berbangkit dalam PRU14 nanti amat mudah. Ianya adalah pertembungan langsung di antara dua blok sahaja, iaitu DAP dan parti-parti sekutunya menentang PAS dan Umno/BN.

Ia bukan pertembungan antara kaum tetapi pertembungan antara dua pihak yang jelas: Umno ingin kekalkan malah bersedia memartabatkan kedaulatan Islam dalam perlembagaan sedia ada dengan sokongan PAS. Manakala DAP dan sekutu hampir pasti akan meminda perlembagaan sedia ada untuk memberi jalan ke arah sebuah secular state yang sepenuhnya.

Itulah yang mereka perjuangkan selama ini bersama-sama NGO sekular-liberal yang gilakan pluralisme, bukan?

Adakah institusi-institusi Islam tergugat?

Kenyataan-kenyataan pemimpin Harapan dan NGO-NGO yang mendokong puak pembangkang berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan terkini atas hak penjagaan anak Indira Gandhi menjelaskan hasrat kumpulan ini untuk menumpaskan Umno dan PAS yang pertahan kedaulatan Islam.




MCA pun tumpang semangkuk dengan DAP – sudah terang lagi bersuluh diperlihatkan kiblat mereka dalam isu kedaulatan Islam ini.

Jika sedemikian, jelas jalan dan hala tuju parti-parti yang bertanding dalam PRU14 akan datang, maka semakin jelaslah pilihan yang paling wajar untuk umat Melayu-Islam lakukan.

Sudah cukup kisah diwayangkan di pentas politik. Kita sebenarnya sudah muak dengan pidato dan janji air liur yang diluahkan.

Sesungguhnya setelah enam dekad berlalu, rakyat semakin peka. Bertambah tinggi kepedulian mereka. Sudah-sudahlah membuli rakyat di parlimen dan DUN.

Kini kuasa sebenar terletak pada warga yang semakin bijaksana dan enggan dilupakan lagi. Payback time atau balasan pasti terjadi bagi politikus yang khianat dan derhaka.



________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo