NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rumah Selangorku: 9 Kelulusan Projek Dibatalkan




Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku hari ini telah bersetuju agar kelulusan bagi membina 9 projek Rumah Selangorku dibatalkan.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato' Iskandar A. Samad.

Kelulusan projek-projek tersebut telah dibatalkan kerana pemaju telah gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh 2 tahun dari tarikh kelulusan MMKN ( Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ) / EXCO.

Pembatalan projek-projek tersebut akan disahkan oleh MMKN.

Pecahan projek menurut Pihak Berkuasa Tempatan adalah seperti berikut,

1.) Majlis Perbandaran Kajang - 3 projek
2.) Majlis Perbandaran Subang Jaya - 1 projek
3.) Majlis Bandaraya Shah Alam - 1 projek
4.) Majlis Perbandaran Selayang - 2 projek
5.) Majlis Perbandaran Ampang Jaya - 1 projek
6.) Majlis Perbandaran Klang - 1 projek

Projek-projek tersebut telah diluluskan di antara tahun 2014 dan 2016.

Kerajaan Negeri mempunyai satu jawatankuasa khas untuk memantau pembinaan Rumah Selangorku iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku untuk memantau pelaksanaan projek-projek Rumah Selangorku.

Ia dianggotai oleh,

1.) Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor ( LPHS )
2.) Wakil Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar.
3.) Wakil Pejabat Tanah Galian Selangor.
4.) Wakil Pejabat Tanah Dan Daerah terlibat.
5.) Wakil Pihak Berkuasa Tempatan terlibat.

Tugas-tugas jawatankuasa ini adalah,

1.) Memantau status permohonan Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan Dan Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan ( APDL ) oleh pemaju.
2.) Membuat lawatan tapak berkala ke projek-projek dalam pembinaan.
3.) Menyelesaikan isu-isu berkaitan pembangunan yang melibatkan agensi-agensi teknikal seperti TNB, Air Selangor, IWK dan lain-lain.
4.) Melaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk tindakan selanjutnya.

Apabila pemaju diberi kelulusan untuk membina Rumah Selangorku oleh MMKN, mereka diberi tempoh 2 tahun untuk memulakan pembinaan.

Surat peringatan dan notis dikeluarkan secara berperingkat sepertimana berikut bagi pemaju yang gagal atau lewat,

1.) Surat Peringatan - 12 bulan selepas kelulusan MMKN mengarahkan pemaju mengemukakan status kemajuan dalam tempoh 14 hari.

2.) Notis 14 Hari Selepas Surat Peringatan - Peringatan untuk memulakan pembinaan atau kelulusan akan dibatalkan

3.) Notis Akhir - 6 bulan sebelum tarikh luput kelulusan MMKN di mana pemaju dimaklumkan bahawa tarikh kelulusan mereka akan luput.

4.) Notis Pembatalan - 2 tahun selepas tarikh kelulusan MMKN di mana pemaju dimaklumkan bahawa kelulusan mereka akan dibatalkan.

Kerajaan Negeri sentiasa memantau projek-projek yang telah diluluskan dan mengambil tindakan tegas ke atas pemaju yang melewat-lewatkan pembinaan projek Rumah Selangorku mereka.

Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri mengambil kira akan masalah-masalah yang dihadapi oleh pemaju seperti masalah tanah, perundangan, cerun, pencerobohan dan sebagainya.

Selain dari pembatalan kelulusan MMKN, permohonan Kebenaran Merancang untuk projek-projek lain pemaju juga ditahan jika mereka melewatkan-lewatkan pembinaan Rumah Selangorku.

Di bawah Kerajaan Negeri sekarang, pemaju tidak boleh membina Rumah Selangorku paling akhir tetapi perlu dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

Di zaman Barisan Nasional, rumah kos rendah boleh dibina selepas rumah harga bebas siap dibina.

Akibatnya rumah kos rendah tersebut tidak dibina.

YB Dato' Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusn Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
6 Februari 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo