Wajarkah PAS berperanan sebagai ‘Kingmaker’? (Siri 1)


oleh: Dr Mohd Zuhdi Marzuki


PENDAHULUAN

Di dalam dunia politik seseorang atau sesebuah parti politik akan bertindak dalam persekitaran realiti politik yang sebenar, bukannya berfantasi. Seorang figura besar politik dunia, Otto Von Bismarck, mengungkapkan bahawa “politik adalah satu seni untuk memperolehi sesuatu yang boleh dicapai” (politics is the art of the possible). Ungkapan ini selari dengan satu lagi ungkapan beliau “politik bukanlah ilmu kepastian” (politics is not an exact science). Kedua-dua ungkapan ini menyimpulkan. politik adalah kebijaksanaan bertindak untuk mencapai sesuatu yang berpotensi untuk dicapai.

Politik seperti ini di dalam Sains Politik dikenali sebagai politik sebenar atau real politics, iaitu lawan kepada politik impian atau ideal politics yang selalunya berakhir dengan kegagalan. Di dalam dokumen rasmi PAS berkaitan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), ada disebutkan pada teras keenam tentang berpolitik secara realistik, iaitu bertindak dalam persekitaran sebenar dan bukannya beretorik untuk membina persepsi yang palsu. Dalam konteks ini, jelas sekali PAS sedang mendahului parti-parti lain untuk melakukan satu anjakan paradigm dalam berpolitik di Malaysia.

Ketika mana ramai politikus dan parti politik beretorik untuk menawan atau mempertahankan Putrajaya, PAS semakin ke hadapan dalam mengamalkan kematangan dan kesejahteraan dalam berpolitik dengan mengambil kira realiti sebenar politik Malaysia yang semestinya berteraskan kepada Islam sebagai agama negara, kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai tunjang pemerintahan dan kepimpinan Melayu sebagai teras utama politik. Di samping itu, PAS juga memberi perhatian penting terhadap kedudukan geopolitik Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Hakikatnya, PAS melihat realiti politik di Malaysia bukan sekadar melihat kepada keupayaan sebenar sesebuah parti untuk meraih sokongan daripada pengundi dalam sesuatu Pilihanraya Umum (PRU), tetapi juga kemampuan kerajaan yang terbentuk selepas PRU untuk menjamin teras utama politik Malaysia dan kestabilan politik negara dari sebarang ancaman dalaman serta luaran. Menyedari hakikat itu, sasaran minimum yang disebutkan oleh Presiden PAS untuk PAS memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen adalah satu gagasan politik yang menepatireal politics di Malaysia.


REAL POLITICS DARI SUDUT SIYASAH SHAR`IYYAH

Sebagai sebuah Gerakan Islam yang menggunakan wasilah politik demokrasi, PAS sememangnya bercita-cita untuk mengembalikan sebuah pemerintahan Islam yang berdiri di atas Manhaj Nubuwwah. Perkara ini sesuatu yang pasti tidak berubah kerana ia termaktub di dalam Fasal Kelima, Perlembagaan PAS, iaitu matlamat perjuangan PAS adalah menegakkan dalam masyarakat dan pemerintahan nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah. Oleh sebab itu, segala usaha dan agenda PAS tetap menuju kepada matlamat yang diperjuangkan oleh parti.

Bagaimanapun, perjuangan untuk mencapai cita-cita tersebut bukanlah mudah malah akan menghadapi seribu satu rintangan daripada lawan yang faham atau bebal serta seteru dari kalangan orang Islam sendiri maupun golongan mustakbirin. Dengan pengertian lain, PAS tidak sekali-kali meninggalkan matlamat perjuangannya, tetapi dalam melaksanakan agenda mencapai cita-cita perjuangan itu PAS perlu mengambil kira persekitaran politik sebenar atau real politics. Kebijaksanaan pemimpin utama PAS untuk mengimbangi dua aspek inilah yang disebut sebagai seni atau art.

Sebenarnya ungkapan “the art of the possible” ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Politik Islam. Cuma yang berbeza, dalam Politik Islam seni berpolitik itu mestilah menepati Syariah atau yang sering digunakan hari ini sebagai ‘Sharia compliance’. Oleh sebab itu, seseorang pemimpin Islam dalam melaksanakan usaha dan agenda mencapai matlamat Politik Islam mestilah seorang yang mempunyai kesenian politik yang tinggi di samping faqih tentang Syariah bagi memastikan kesenian politik yang diambil tidak terbabas dari landasan Islam.

Di dalam bidang keilmuan Islam, kesenian politik berteraskan Syariah ini dikenali sebagai Siyasah Shar`iyyah. Seorang ulama, Shaykh Abd al-Wahhab Khallaf, mentakrifkan Siyasah Shar`iyyah sebagai cabang ilmu tentang sistem politik dan pemerintahan yang berasaskan kepada dasar-dasar Islam ke arah mencapai kebaikan kepada manusia dan mengelakkan kemudaratan mereka, tanpa melanggar batas-batas syarak dan asas-asas kuliyyah. Lebih menarik seorang lagi ulama, Shaykh Muhammad Na`im Yassin menggunakan ungkapan ‘seni memerintah’ secara langsung merujuk kepada ‘the art’.

Ketika banyak pihak berdiskusi tentang disiplin ilmu Siyasah Shar`iyyah ini, PAS pula sebenarnya telah mempratikkan ilmu ini sejak di awal penubuhannya. Keputusan-keputusan politik yang dibuat oleh PAS sama ada hasil daripada keputusan kolektif yang bersifat dasar oleh Majlis Syura Ulama atau pendirian Presiden PAS yang bersifat strategi, kesemuanya mempunyai kaitan langsung dengan Siyasah Shar`iyyah. Yang terkini ialah pendirian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mensasarkan PAS perlu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen untuk berperanan sebagai Kingmaker politik.

Kenyataan Presiden PAS semasa pelancaran Dana RM 1 Juta ke Wisma Darul Iman, di Rusila Terengganu, pada 12 Januari 2018, merupakan satu pendekatan Siyasah Shar`iyyah yang sesuai dengan real politics di Malaysia hari ini. Sasaran minima yang disasarkan oleh beliau iaitu memenangi 40 kerusi parlimen dan memerintah empat negeri, adalah satu sasaran bolehcapai oleh PAS pada hari ini, di samping tetap terus berusaha mencapai keputusan upset dengan memenangi majoriti mudah di parlimen iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi.


WAJAH-WAJAH TERSEMBUNYI KINGMAKER MALAYSIA

Pencatur utama politik atau kingmaker bukanlah satu istilah asing dalam Sains Politik. Ia adalah merujuk kepada seseorang atau sesuatu pihak yang mempunyai pengaruh besar untuk menentukan siapakah yang akan bakal memerintah sesebuah negara, meskipun mereka sendiri pada ketika itu tidak berpeluang menjadi pemerintah. Kemunculan istilah ini di dalam Dunia Barat dikaitkan dengan kelicikan Richard Neville semasa Wars of the Roses pada abad ke-15. Manakala dalam konteks politik Islam, ia bukanlah satu perkara asing.

a. Kingmaker Individu 

Dalam konteks politik Malaysia, peranan kingmaker yang dimainkan oleh seseorang atau sesuatu pihak bukanlah satu perkara baru. Antara individu yang jelas berperanan sebagai kingmaker suatu ketika dahulu ialah Lee Kuan Yew. Ketika Singapura bergabung dengan Malaysia pada tahun 1963, Lee Kuan Yew telah memainkan peranan ini. Walaupun harapan Lee Kuan Yew untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sukar dicapai pada ketika itu, tetapi beliau telah berusaha untuk mempengaruhi corak politik Malaysia supaya gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan boleh dicapai.

Menurut ramai pakar sejarah, sekiranya Tunku Abdul Rahman tidak bertindak menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, kemungkinan besar cita-cita Lew Kuan Yew ini boleh dicapai. Ketika menyertai Malaysia, Lee Kuan Yew telah berjanji untuk menghadkan peranan partinya, PAP, hanya di Singapura dan tidak berhasrat menyertai pilihanraya Malaysia dalam tempoh lima tahun selepas Singapura bergabung dengan Malaysia. Bagaimanapun, setahun kemudian PAP menukar keputusan untuk bertanding PRU di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Seorang lagi individu yang boleh dilihat sebagai kingmaker politik Malaysia ialah Dr Mahathir Mohamad. Beliau dilihat sebagai pencatur penting politik negara dan menentukan jatuh-bangun seorang Perdana Menteri sejak akhir 1960-an lagi. Gelombang desakan kuat terhadap Tunku Abdul Rahman sehingga beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, antaranya dijana oleh Dr Mahathir. Beliau kemudiannya mendapat tempat semula dalam UMNO dan mempengaruhi corak kepimpinan UMNO, sehingga beliau sendiri naik dari satu tangga ke tangga yang lebih tinggi.

Kemuncak peranan Dr Mahathir sebagai kingmaker, sehingga beliau sendiri berjaya memperolehi mandate sebagai Perdana Menteri dengan pengunduran Hussien Onn pada tahun 1981. Selapas 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau terus mencaturkan politik UMNO dan negara. Kedua-dua Perdana Menteri selepas beliau dipaksa tunduk kepada kehendak politik beliau. Abdullah Ahmad Badawi akhirnya melepaskan jawatan Perdana Menteri atas desakan Dr Mahathir. Hari ini, beliau berjaya pula menundukkan seteru politik lama sehingga menjadi ketua gabungan pembangkang.

Sambungan....
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget