Ulama terkemuka dunia berhimpun di Putrajaya




Mohd Husni Mohd Noor
[email protected]

BEBERAPA ulama terkemuka dunia akan hadir pada Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya, esok.

Pengarah Sekretariat Festival MyAQSA Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata, antara mereka termasuk ulama terkenal dari Mauritania Syeikh Muhammad Hasan Walid Al-Didu; Setiausaha Agong Kesatuan Ulama

Islam Sedunia, Syeikh Dr Ali Al-Qaradaghi; Pengerusi Wifaq Al Madaris Pakistan, Maulana Dr Abdul Razzaq Iskandar dan Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi dari Madrasah Darul Ulum Nadwatul Ulama.

Beliau berkata, ulama lain yang mengesahkan kehadiran kepada sekretariat adalah Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi dari Madrasah Darul Ulum Nadwatul Ulama, India; Ketua Kesatuan Ulama Sudan, Sheikh Dr Abdul Hayy Yusuf dan Naib Ketua Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami turut menjangkakan beberapa lagi tokoh ulama dunia akan mengesahkan kehadiran mereka dalam masa terdekat termasuk Syeikh Dr Yusuf Al Qardawi, Habib Rizieq Shihab daripada Indonesia dan ramai lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, persidangan berkenaan dianjurkan bersempena Festival MyAQSA yang bertempat di Dataran Putrajaya, Putrajaya bermula pada hari ini sehingga Ahad.

Dr Noorazman berkata, tiga acara utama yang akan diadakan sepanjang Festival MyAQSA adalah Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis; Himpunan Munajat Aqsaku dan Ekspo Aqsaku.

Menurutnya, persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis adalah
anjuran bersama Yayasan MyAQSA; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Kesatuan Ulama Palestin Diaspora dan Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qardawi.

"Program ini dianjurkan setelah mengambil kira masa depan dan suasana semasa kota suci umat Islam Baitulmaqdis yang sedang berhadapan dengan ancaman dan keadaan yang gawat akibat pengisytiharan haram Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Persidangan ini akan dihadiri oleh lebih 100 orang ulama dari hampir 30 buah negara. Seramai lebih 50 orang ulama dalam negara juga dijangka akan turut menyertai persidangan ini termasuk mufti-mufti di setiap negeri," katanya.

Katanya, antara agenda penting yang akan dibincang bersama nanti ialah mengenai peranan ummah dan negara-negara Islam dalam berhadapan dengan Zionis Israel serta konco-konconya yang semakin agresif menguasai dan merampas Baitulmaqdis yang juga milik mutlak umat Islam.

Dalam pada itu, Dr Noorazman berkata, resolusi yang bakal diputuskan di dalam persidangan ini akan diserahkan kepada ketua-ketua negara Islam dunia termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, pihaknya menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk mengambil kesempatan ini dan turun beramai-ramai bersama dengan alim ulama seluruh dunia untuk berhimpun memenuhi seluruh Dataran Putrajaya bermunajat kepada Allah S.W.T agar melindungi Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa daripada terus diceroboh dan dikuasai Zionis Israel.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Festival ini di laman sesawang MyAQSA (www.myaqsa.my) atau di laman sosial MyAQSA.

http://bit.ly/2DOjJyA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget