NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuntutan pindaan perlembagaan: Politik desperado Anwar?



Terpegun seketika saya selepas membaca laporan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan satu tuntutan undang-undang di Mahkamah Persekutuan memohon supaya Seksyen 8 Akta Perlembagaan Pindaan 1994 (selain Seksyen 12 Akta Perlembagaan 1983 (Pindaan) dan Seksyen 2 Akta Perlembagaan 1984 (Pindaan)) diisytiharkan sebagai tidak sah kerana melanggar struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 8 Akta Perlembagaan Pindaan 1994 berbunyi:
"Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda—
(a) dengan menggantikan Fasal (4) dan (4A) dengan Fasal yang berikut:
"(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepada baginda memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Rang Undang-Undang itu dicapkan dengan Mohor Besar.
(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah baginda telah memperkenankannya.";
(b) dengan memotong Fasal (4B); dan (c) dalam Fasal (5), dengan menggantikan perkataan "Fasal (4B)" dengan perkataan "Fasal (4A)"."

Huraian kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994 berbunyi:
"Fasal 8 Rang Undang-Undang ini bertujuan meminda Perkara 66 Perlembagaan untuk menggantikan peruntukan Fasal (4) dan (4A). Peruntukan Fasal (4) dan (4A) yang sedia ada menetapkan suatu prosedur yang menurutnya Yang di-Pertuan Agong, selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepada baginda untuk perkenan baginda, boleh, dalam masa tiga puluh hari, mengembalikan Rang Undang-Undang itu kepada Majlis Parlimen di mana Rang Undang-Undang itu bermula supaya Rang Undang-Undang itu ditimbangkan semula oleh kedua-dua Majlis Parlimen dan kemudiannya dikemukakan semula kepada Yang di-Pertuan Agong. Fasal (4) dan (4A) yang menjadi ganti itu sebaliknya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah, dalam tempoh tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepada baginda, memperkenankan Rang Undang-Undang itu. Jika baginda tidak berbuat demikian, Rang Undang-Undang itu akan menjadi undang-undang apabila habis tempoh itu seolah-olah baginda telah memperkenankannya."

Individu yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994 di Dewan Rakyat pada 9 Mei 1994 adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada waktu itu.

Tercatat jelas dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat pada 9 Mei 1994 betapa Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994, mengucapkan begini:
“Tuan Yang di-Pertua, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994 bertujuan memperkukuhkan dan memperjelas prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang. Dari segi semangat dan cita-cita, pindaan yang dicadangkan juga akan memastikan perundangan dan sistem kehakiman berkembang sehaluan dengan arus negara serta nilai dan kenyataan masyarakat setempat.

Pindaan ini perlu dilihat sebagai langkah berterusan untuk memantapkan semua usaha pembaharuan yang menjurus ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang kukuh, dinamis dan bertunjangkan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan. Inilah iltizam Kerajaan, kesungguhan yang berasaskan hasrat untuk menunaikan amanah rakyat kerana Malaysia terbentuk dari gerakan rakyat untuk membebaskan masyarakat dari belenggu penjajahan, untuk menjayakan cita-cita pembaharuan tajdid dan reformasi islah. Pemikiran rakyat semakin matang setelah kita memasuki dekad keempat sebagai bangsa dan negara merdeka. Seterusnya dituntut penegasan terhadap prinsip-prinsip Perlembagaan berhubung kedaulatan undang-undang dan rakyat. Kesedaran ini telah menimbulkan gerakan untuk menghasilkan satu muafakat dalam bentuk Perisytiharan Raja-Raja dan Pindaan Perlembagaan Menghapuskan Kekebalan Raja-Raja.
Fasal 4 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994 bertujuan memaktubkan muafakat tersebut dengan memasukkan Perkara 40 ke dalam Perlembagaan. Pindaan ini akan menjelaskan maksud sebenar nasihat, ungkapan dengan izin, act in accordance with advice, supaya tidak ada lagi kesamaran terhadap prinsip demokrasi berparlimen dan prinsip bahawa Kerajaan perlu bertindak mengikut kehendak rakyat.

Fasal 8 dalam Rang Undang-Undang ini bertujuan meminda Perkara 66. Pindaan ini akan memastikan agar suatu Rang Undang-Undang tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menjadi undang-undang setelah diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen dan disembahkan untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan pindaan kepada Fasal (4A) seperti yang dicadangkan, melainkan dalam hal-hal yang menyentuh secara langsung keistimewaan Raja-Raja, sesuatu Rang Undang-Undang akan tetap menjadi Rang Undang-Undang setelah berakhir tempoh 30 hari ianya diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen. Agar tidak ada yang akan cuba memutarbelitkan pindaan ini sebagai langkah untuk menggugat kemuliaan Raja-Raja, saya ingin mengulangi pendirian Kerajaan bahawa pindaan dari segi hakikinya bukanlah baru. Ianya merupakan pindaan berbangkit atau, dengan izin, consequential amendment dari pindaan-pindaan sebelum ini. Tujuannya ialah sekadar memaktubkan prinsip yang disepakati iaitu kedaulatan rakyat dan kewibawaan institusi legislatif yarig mewakili kehendak rakyat. Kemuliaan Raja-Raja akan terus dipertahankan dalam konteks Raja Berperlembagaan.”

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994 ini telah ditentang hebat oleh Ahli Parlimen Kok Lanas dari Semangat 46, Datuk Sukri Haji Mohamed yang berucap begini:
“Tuan Yang di-Pertua, nampaknya dengan pembentangan suatu Akta untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk Bacaan Kali Kedua pada hari ini yang mana Bacaan Kali Pertamanya telah dibentangkan pada hari Khamis lepas, Kerajaan sekali lagi telah secara sengaja melanggar Perlembagaan dan Perintah Tetap Dewan Rakyat. Kerajaan nampaknya sudah hilang rasa tanggungjawab dan sikap untuk menghormati Perlembagaan Negara.
Tuan Yang di-Pertua, kami tidak bersetuju bahawa pindaan yang dibentangkan di hadapan Dewan pada hari ini, seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri sekejap tadi, adalah sebenarnya pindaan berbangkit daripada pindaan-pindaan terdahulu. Sesugguhnya pindaan yang dibentangkan pada petang ini adalah suatu pindaan baru yang secara langsung menyentuh prinsip-prinsip asas Perlembagaan termasuk Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Tuan Yang di-Pertua, perkara pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan ini jelas menyentuh kedudukan Raja-Raja kita, terutamanya Perkara 40 dan Perkara 66, mengenai nasihat dan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Saya ingin mengingatkan Dewan yang mulia ini bahawa adalah salah dari segi Perlembagaan mahupun adab untuk kita mengemukakan serta meluluskan Rang Undang-Undang ini tanpa terlebih dahulu dikemukakan serta mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu. Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa, "Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja".

Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana perkara yang akan kita bahaskan ini secara langsung menyentuh kedudukan Raja-Raja, seperti mana yang tertakluk dalam Perkara 38(4) tadi, saya ingin bertanya: Apakah Majlis Raja-Raja Melayu telah dimaklumkan mengenai pindaan ini? Kalau sudah, apakah Majlis itu telah memberi persetujuannya? Sekiranya belum, atas peruntukan manakah pihak Kerajaan boleh membentangkan Rang Undang-Undang yang menyentuh kedudukan Raja-Raja ini tanpa terlebih dahulu dibawa ke pengetahuan Majlis tersebut dan mendapat persetujuan Majlis tersebut? Tidakkah perbuatan meneruskan pembentangan Rang Undang-Undang ini bukan sahaja bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat tetapi juga bertentangan dengan Perlembagaan Negara? Apakah kita ingin dicap sebagai golongan yang mengkhianati Perlembagaan kerana turut mengambil bahagian dalam Perbahasan yang tidak menurut lunas-lunas Perlembagaan?
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menimbulkan tentang kesahihan Perkara 66 pada hari ini. Perkara ini menyebut tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menerima serta menolak sesuatu Rang Undang-Undang, adalah pindaan yang dibuat dalam tahun 1983 sehingga mencetuskan krisis Perlembagaan ketika itu, ianya adalah merupakan perkara yang tidak sah. Perkara ini tidak sah kerana ia juga melanggar Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang menuntut persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu. Malangnya sehingga kini, Perkara ini tidak pernah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. Oleh kerana itu, saya ingin mengingatkan di sini bahawa Perkara 66 yang hendak dibincangkan ini juga sebenarnya adalah perkara yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut yang kami anggap adalah tidak sah dan terbatal.”

Bangkangan Datuk Sukri Haji Mohamed ke atas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994 ini bagaimanapun telah ditepis tajam oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penggulungan pada 10 Mei 1994 dengan berucap begini:
“Saya terima pandangan-pandangan yang dikemukakan dan ini, umumnya yang memberikan sokongan kerana melihat kepada beberapa masalah yang telah berbangkit, dan ini ada hubungan juga dengan menghadkan 30 hari untuk diperkenankan dan terus sah sebagai undang-undang, seolah-olah telah diberikan perkenan. Memang bukan maksud saya pada hari ini untuk membawa masalah dan menimbulkan beberapa perbalahan yang berlaku, tetapi kita menerima semangat dan convention bahawa nasihat akan diterima dan keputusan Parlimen dihormati. Kita tidak terdesak untuk mengemukakan pindaan peruntukan ini jika kita tidak menghadapi apa-apa masalah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyebut perkara ini termasuk dari Jerai, Arau, Pasir Mas dan Jelutong. Apakah ada insiden yang berlaku yang menyebabkan kita terdesak untuk melakukan pindaan ini? Nyata ada, walaupun tidak di peringkat Persekutuan, ia telah kita alami di peringkat negeri.

Bukan maksud Kerajaan untuk mengadakan pindaan sewenang-wenang tanpa mengambil kira sensitiviti dan perasaan rakyat, Kerajaan dan juga Raja-Raja Melayu. Cuma saya berasa dukacita mendapat teguran daripada Yang Berhormat Kok Lanas yang tentunya agak berlainan sedikit dari semua Wakil Rakyat yang ada, termasuk daripada DAP dan PAS, selain daripada Ahli-Ahli Barisan Nasional yang memberikan pandangan. Kerana nyata Parti Semangat 46 ini mempertahankan sistem feudal. Sistem feudal ini mengukuhkan kedudukan Raja dan memberikan hak dan kuasa yang nyata mutlak kepada Raja. Kita mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan, menghormati prinsip kemuliaan Raja-Raja tetapi tidak mengenepikan kehendak dan kedaulatan rakyat. Ini yang berlaku.

Untuk Yang Berhormat dari Kok Lanas menganggap bahawa ini mencemar kedudukan Raja-Raja dan menganggap bahawa Raja-Raja sahaja berkuasa dan seolah-olah kita mahu merampas kuasa Raja-Raja dan seluruh kuasa hendak dipindahkan daripada Raja-Raja kepada Perdana Menteri. Ini tentulah satu kenyataan yang keterlaluan dan tidak berasas dan menampakkan satu keghairahan untuk mengembalikan kedudukan kepada satu zaman feudal 100-200 tahun yang lalu. Rakyat bangun menentang penjajahan, memang benar. Tetapi rakyat menentang penjajahan, mahu memerdekakan negara, bukan untuk mempertahankan sistem fuedal - penindasan oleh golongan atau kelompok. Ia mahu supaya kebebasan dan demokrasi itu dilaksanakan dengan mengambil kira pendirian dan sikap rakyat. Perdana Menteri bertanggungjawab kepada Parlimen. Perdana Menteri bertanggunjawab kepada rakyat. Kalau rakyat merasakan tidak senang dengan Kerajaan dan parti Kerajaan, rakyat boleh memilih untuk menolak parti Kerajaan. Sebab itu ada bezanya kalau dikatakan bahawa kuasa pada Menteri itu mutlak justeru kerana pindaan ini dikemukakan. Ini pandangan seorang peguam muda tetapi pemikiran usang dan lapuk, seolah-olah menyokong ungkapan "reks non protes pekare - the King can do no wrong". I hope the pronunciation is correct.”

Bila Datuk Seri Anwar Ibrahim tuntutan undang-undang di Mahkamah Persekutuan memohon supaya Seksyen 8 Akta Perlembagaan Pindaan 1994 diisytiharkan sebagai tidak sah kerana melanggar struktur asas Perlembagaan Persekutuan maka bolehlah dibayangkan betapa terdesaknya beliau di dalam berpolitik sehingga beliau tergamak untuk menelan balik segala kata-kata yang beliau sendiri ucapkan sewaktu membentangkannya di Dewan Rakyat pada 9 Mei 1994 dan sewaktu mempertahankannya dari asakan Datuk Sukri Haji Mohamed di Dewan Rakyat pada 10 Mei 1994.

Lebih melucukan lagi adalah hakikat bahawa tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dibuat dengan menggunakan hujjah yang digunakan oleh Datuk Sukri Haji Mohamed yang beliau sendiri bantai habis-habisan pada waktu itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo